AZLAN SANI ZAWAWI menurap jalan menggunakan tar yang dibelinya sendiri di Jalan Datuk Keramat, Kuala Lumpur, semalam. MINGGUAN/RUSHDI SALLEH
KUALA LUMPUR 23 Jan. – Pihak berkuasa tempatan (PBT) diminta melaksanakan tindakan lebih tegas terhadap kontraktor syarikat utiliti atau pemaju yang menjadi penyumbang masalah kerosakan jalan raya di negara ini.
Pengasas Ikatan Silaturahim Brotherhood (Brotherhood), Azlan Sani Zawawi mendakwa, masalah jalan raya berlubang dan turapan tidak sempurna disebabkan kerja-kerja utiliti serta projek pembangunan dilihat semakin serius, sekali gus boleh mengakibatkan kemalangan maut terutama membabitkan penunggang motosikal.
Jelasnya, masalah tersebut termasuk lubang penutup utiliti permukaan jalan raya yang terlalu dalam disebabkan tiada kerja-kerja menaik taraf penutup itu oleh kontraktor sehingga mengundang bahaya kepada pengguna kenderaan.
“Tindakan kompaun yang dikenakan kepada pesalah terbabit terlalu rendah iaitu dari RM500 hingga RM1,000 jika dibandingkan nyawa pengguna yang terlibat dalam kemalangan ekoran masalah itu.
“Dua tahun lalu, saya telah mencadangkan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) supaya mengenakan kompaun sehingga RM50,000 terhadap kontraktor syarikat utiliti atau pemaju yang mengakibatkan kerosakan jalan raya,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Sejak kebelakangan ini, kisah kegiatan sekumpulan anak muda yang dikenali Brotherhood menurap sendiri jalan yang rosak di negara ini menarik perhatian ramai di laman sosial.
Ramai yang menyanjung perjuangan mereka, selain ada yang kurang senang dengan tindakan kumpulan tersebut lebih-lebih lagi pihak berkuasa yang sepatutnya menjalankan tanggungjawab itu.
Azlan Sani atau lebih dikenali sebagai Lando berkata, sebanyak RM50,000 telah dibelanjakan atas inisiatif yang dilaksanakan mereka sejak 2008.
“Saya rasa terpanggil untuk melaksanakan kerja-kerja ini berikutan kematian empat sahabat akibat nahas jalan raya ekoran masalah jalan berlubang. Kesemua bahan turapan dan peralatan menggunakan wang saya sendiri.
“Pada awalnya, saya telah menampal 20 lubang dan orang ramai menganggap saya sebagai wira, namun selepas beribu-ribu lubang seluruh negara telah ditampal, kami dianggap sebagai musuh oleh segelintir pihak yang kurang senang,” katanya.
Sementara itu, Azlan Sani membayangkan tidak akan meneruskan lagi usaha tersebut jika mendapat kerjasama atau komitmen oleh semua pihak bertanggungjawab dalam mengatasi masalah kerosakan jalan raya.
No comments:
Post a Comment