Menurutnya, setelah lebih seminggu penyanyi veteran itu dirawat di Hospital Teluk Intan, tiada seorang pun rakan artis atau wakil daripada persatuan artis yang melawat penyanyi berusia 77 tahun itu.

Mak Ros atau nama sebenarnya Rosiah Fatimin berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana terdapat persatuan artis yang diberikan peruntukan oleh kerajaan untuk menjaga kepentingan artis khususnya jika mereka sakit.

“Janganlah sampai ada yang sudah meninggal dunia baru nak datang. Saya berharap rakan-rakan artis mengingati perjuangan dan jasa penyanyi veteran seperti M. Daud Kilau,” katanya ketika melawat penyanyi veteran itu di Hospital Teluk Intan di sini hari ini.

Penyanyi veteran itu dimasukkan ke hospital sejak 3 Januari lalu setelah mengadu mengalami masalah membuang air kecil.

Sementara itu, M. Daud Kilau mengucapkan terima kasih dan menyatakan rasa terharu kerana dikunjungi oleh rakan seperjuangan dalam dunia seni hiburan.

“Kedatangan Mak Ros hari ini amat bermakna buat saya. Terima kasih kepada beliau kerana sudi datang dari jauh untuk melawat saya,” katanya.