Masih kekal dengan personalitinya, Siti Nordiana, 32 atau Nana tidak pernah lekang menguntum senyuman manis semasa saya menyambut ketibaannya di pintu utama Hotel Sunway Putra Kuala Lumpur, lokasi pertemuan kami.

Madahnya penuh kelembutan, persis gadis ayu di kampung-kampung yang menjaga tatasusila bersesuaian dengan adab ketimuran. Tiada bezanya sebelum dan selepas mencipta kemasyhuran menerusi Gegar Vaganza 2 (GV2).

Diketahui umum akan statusnya sebagai ibu tunggal, juara GV2 ini akui bukan mudah untuk memikul bebanan yang terdapat di bahunya, apatah lagi persepsi umum terhadap seseorang wanita yang bergelar janda lebih banyak negatifnya berbanding yang positif.

Mengenali wanita berasal dari Seremban, Negeri Sembilan itu, Nana pernah melalui tahap kehidupan berbeza sebagai anak seni tatkala mula bertapak pada tahun 1999, ketika umurnya 15 tahun.

Berbekalkan single pertama iaitu Cinta Hanya Sandaran, Nana menerima tempias populariti apabila lagu ciptaan Adnan Abu Hassan itu ‘meletup-letup’ di persada muzik tanah air.

Kesempatan itu digunakan Nana untuk mengembangkan bakat seninya apabila bergelar pelakon dengan membintangi beberapa telefilem yang berjaya memahat namanya sebagai salah seorang pelakon di persada seni lakon tempatan.

Tahun silih berganti, sinar kemasyhuran yang dimiliki Nana semakin kusam dan akhirnya wanita itu pernah dikelaskan sebagai artis suam-suam kuku dek kerjayanya yang tenggelam timbul.

Dalam pada itu, Nana pernah memberitahu bahawa akan memikirkan soal jodoh apabila Rayyan telah berusia sembilan tahun iaitu pada tahun hadapan.

Akur bahawa wanita mana yang tidak mahudihadirkan seorang lelaki bergelar suami untuk mencurahkan segala kasih dan sayang, Nana sedar masanya belum sampai buat dirinya.

“Bukan saya tidak mahu berkahwin, tapi seperti masih belum puas untuk berkasih sayang dengan Rayyan. Takut nanti dia rasa tersisih pula kalau Nana tiba-tiba kahwin dan ada suami lain.

“Lagipun, jujur saya katakan, diri ini masih perlukan kekuatan untuk mengharungi alam rumah tangga buat kali kedua selepas gagal dalam perkahwinan sebelum ini,” ujar Nana memberi penjelasan.

Menurut firasatnya, Rayyan masih lagi kecil untuk memahami segala yang telah dilalui Nana. Sebab itulah anaknya itu sukar untuk membenarkannya berkahwin lain kerana tidak mahu lelaki yang akan menjadi suaminya kelak merampas kebahagiaan yang dikecapi anak tunggal itu.

“Saya rasa salah satu sebab mengapa tidak berkahwin lagi sehingga sekarang adalah sebab anak saya. Dia sendiri tidak boleh terima jika saya berkahwin dan ada lelaki lain yang mendekati. Mungkin dia kecil lagi dan banyak perkara yang dia tidak faham lagi.

“Agaknya, Rayyan selalu berasakan bapanya masih ada walaupun dia sendiri sudah tahu yang Faizal sudah kembali ke rahmatullah. Jadi, sehingga kini saya belum fikir untuk berumahtangga lagi kerana bukan senang untuk seorang lelaki hendak menerima saya bersama anak saya” beritahunya.