AMIRA (kiri) dan Aqila melawat pusara bapa mereka di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Taman Batu Muda, Gombak baru-baru ini.
KUALA LUMPUR – Kerinduan dua beradik yang kehilangan ibu, bapa dan adik bongsu dalam kemalangan tragis di Lebuh Raya Duta-Ulu Klang (DUKE) dua tahun lalu sedikit terubat apabila mereka melawat pusara orang yang tersayang itu pada pagi 1 Syawal.
Nur Firuza Amira, 9, dan Nur Firuza Aqila, 6, berasa ceria apabila dapat memeluk dan mencium batu nisan ibunya, Allahyarham Nova Safitri Azhari, 27, bapa, Allahyarham Fairuz Nizam Husain, 35, dan adik bongsu mereka, Nur Firuza Annisa sebagai tanda kasih sayang.
Bercerita lanjut, Amira memberitahu, selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama ibu saudara, mereka menziarahi pusara ibu dan bapa bagi melepaskan rindu yang terbuku di hati.
Jelas anak kecil itu, dia dan adiknya akan berdoa selain membaca surah al-Fatihah buat ibu, bapa dan adik mereka.
“Saya juga membawa kuntuman bunga kekwa untuk diletakkan di atas pusara sebagai tanda kunjungan kami,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Taman Batu Muda, Gombak dekat sini baru-baru ini.
No comments:
Post a Comment