Saturday, 24 January 2015

Pemergian Mohamad Azlan Kehilangan Besar Buat Negara - Khairy (malaysiandigest)

KJ tidak dpt menahan sebak ketika bersama keluarga  Allahyarham  Azlan Mat Lazim  atlet paralimpik  negara/Foto: Twitter TV3 KJ tidak dpt menahan sebak ketika bersama keluarga Allahyarham Azlan Mat Lazim atlet paralimpik negara/Foto: Twitter TV3
SERDANG: Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar cukup terkesan dengan kehilangan wira paralimpik olahraga negara, Mohamad Azlan Mat Lazim yang maut akibat kemalangan jalan raya, hari ini.
Khairy jelas tidak mampu menahan sebak ketika berhadapan media dengan arwah Mohamad Azlan yang juga pemenang tiga pingat emas Sukan Para Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan digambarkan bintang sukan yang berpotensi cerah mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.
Malah pemergian atlet kelahiran Kemaman, Terengganu itu dianggap satu kehilangan yang besar buat sukan di Malaysia.
"Azlan adalah idola bagi sukan negara terutama sukan paralimpik. Sekalipun arwah baru saja masuk dalam sistem MSN (Majlis Sukan Negara) pada 2012, tapi kita sudah kenal pastinya sebagai bintang harapan dan sedang dilatih untuk Kejohanan Dunia tahun ini serta Sukan Olimpik di Rio, Brazil tahun depan.
"Negara kehilangan atlet yang hebat, yang mempunyai masa depan yang cerah," kata Khairy yang menjadi antara kenamaan pertama yang hadir ke hospital.
Pada kejadian yang dilaporkan berlaku pada 1.45 tengah hari tadi, Mohamad Azlan, 24, dikatakan membonceng motosikal bersama rakan yang juga atlet paralimpik negara, Farisan Jasna dalam perjalanan pulang dari makan tengah hari sebelum terbabit nahas itu.
Farisan, 25, dalam pada itu mengalami kecederaan patah tulang lengan kanan dan sedang menerima rawatan lanjut di hospital.
Dalam pada itu, Khairy turut menyifatkan arwah Mohamad Azlan sebagai ceria, ramah dan sentiasa tersenyum ketika mengimbas kali terakhir dia bertemu arwah Azlan sebelum kontinjen negara bergerak ke Incheon.
"Kali terakhir saya berjumpa dengan arwah ialah sebelum ke Sukan Asia dan seperti biasa, perwatakannya ceria, ramah dan sentiasa senyum.
"Arwah juga berjanji kepada saya yang dia akan membawa pulang tiga pingat emas. Menurut ibu saudaranya, dia juga anak yang baik dan sentiasa membantu ibu dan bapanya di kampung," katanya.
Pada temasya di Incheon, arwah meraih tiga pingat emas pada temasya itu menerusi acara 100 meter lelaki, 200 meter lelaki dan 400 meter lelaki dalam kategori kecacatan T38.
Selain itu, Mohamad Azlan juga dinobatkan pemenang Anugerah Sukan Terengganu (AST) 2013/2014 kategori Anugerah Khas Paralimpiad.
Difahamkan, arwah Mohammad Azlan Akan dikebumikan malam ini di negeri kelahirannya, Terengganu.

No comments:

Post a Comment