Saturday, 27 December 2014

Padah redah banjir ambil kertas SPM (malaysiakini)


Guru, Nurhayati Sulong sanggup bergadai nyawa berpatah balik ke rumahnya dalam keadaan banjir yang semakin buruk semata-mata untuk mengambil kertas peperiksaan SPM yang belum diselesaikan.

Dalam perjalanan semula ke pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Geliga, Nurhayati, 37, maut bila bot yang dinaikinya terbalik dihanyutkan arus deras Rabu lalu.

Suami Nurhayati, Suhaimi Awang, 37, turut terkorban dalam tragedi itu yang berlaku bila bot berkenaan karam selepas terperangkap dalam pusaran air di Kampung Che Akob.  

Tiga anggota bomba dan tiga mangsa banjir lain bersama mereka selamat.    

Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman cukup terharu dengan tragedi itu.

"Saya amat merasa tersentuh dengan apa yang berlaku kerana saya dapat maklumat Allahyarham Cikgu Nurhayati ini, dia pulang ke rumah semata-mata hanya untuk mengambil kertas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang masih belum selesai ditanda.

"Ini satu pengorbanan yang sangat besar.

"Dia seorang guru yang hebat. Tanpa memikirkan keselamatan diri, beliau tetap nak balik mengambil kertas soalan SPM," katanya.  

Menteri Besar bercakap kepada pemberita ketika ditemui di Hospital Kemaman selepas menziarahi jenazah Suhaimi hari ini.

Sebagai menghargai khidmat bakti pasangan itu, Ahmad Razif berkata pihaknya akan menjaga segala kebajikan dan pendidikan serta akan mengambil keenam-enam anak mangsa sebagai anak angkat kerajaan negeri.

Mereka ialah Nor Syafiqah Syahira, 12; Nor Izah Insyirah, 11; Muhammad Ifran Irshad, 9; Nur Intisar Iedihar, 6; Muhammad Aqil Amsyar, 4; serta anak bongsu Nor Adifa Arissa, yang merupakan bayi berusia 4 bulan.

"Bantuan khas kepada anggota keluarga mangsa akan kita putuskan sebaik selesai urusan pengkebumian," kata Ahmad Razif.

Mayat Nurhayati ditemui tersangkut pada ranting kayu kira-kira 4.25 petang semalam kira-kira 700 meter dari tempat bot mereka terbalik manakala mayat suaminya pula ditemukan kira-kira pukul 12.20 tengah hari ini kira-kira 10 meter dari lokasi isteri.

Dalam pada itu ibu kepada Suhaimi, Zariah Awang Jusoh, 70, berkata beliau sedih mengenangkan hasrat Allahyarham yang tidak kesampaian.

Mereka sekeluarga sepatutnya menyertai 'reunion' Sekolah Menengah Agama Al Falah Kemaman pada Khamis lepas dan bercuti di Johor pada Jumaat (semalam), kata Zariah.

Bernama

Thursday, 25 December 2014

Mangsa banjir lebih 100,000 orang [kosmo]

SEKUMPULAN orang mengharungi banjir akibat limpahan Sungai Kelantan di Kota Bharu semalam.

KOTA BHARU – Keadaan banjir tidak menampakkan tanda-tanda akan reda apabila 100,961 penduduk di Kelantan, Pahang, Terengganu, Perak, Perlis dan Kedah terpaksa berpindah ekoran banjir besar yang melanda di negara ini semalam berbanding 67,730 mangsa kelmarin.
Menurut portal rasmi banjir kerajaan negeri Kelantan, negeri itu mencatat jumlah mangsa banjir paling tinggi melibatkan 38,030 orang, diikuti Terengganu (28,918), Pahang (28,578), Perak (5,065), Perlis (278) dan Kedah (92).
Tinjaun Kosmo! mendapati kawasan rendah di bandar Kota Bharu dilimpahi air secara mendadak dalam tempoh yang singkat.
Setelah 10 tahun tidak berdepan dengan kejadian serupa, air bah sudah pun melimpah kawasan di sekitar bandar Kota Bharu sehingga ke Stadium Sultan Muhammad IV, Hospital Raja Perempuan Zainab II diikuti Wisma Persekutuan, dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan.
SEKUMPULAN orang mengharungi banjir akibat limpahan Sungai Kelantan di Kota Bharu semalam.

Kebanyakan tempat di bandar Kota Bharu sudah dimasuki air di Berek 12, Lundang, Wakaf Che Yeh sehingga ke Tunjung.
Setakat ini, cuma kawasan menghala ke Panji, Pengkalan Chepa dan Kubang Kerian yang belum dinaiki air.
Penduduk di sekitar bandar Kota Bharu dilihat bukan sahaja bergegas mengemas barang atau berpindah ke tempat selamat bahkan juga kedai-kedai runcit dipenuhi orang ramai yang membuat pembelian panik.
Antara barang runcit yang dibeli ialah beras, makanan segera, roti dan juga bekalan air minuman.

Nenek Siti Nurhaliza naik bot ke hospital [kosmo]


BEBERAPA penduduk mendukung Teh menaiki sebuah bot untuk dibawa ke hospital di Batu Dua, Kuala Lipis semalam.

KUALA LUMPUR – Nenek penyanyi No.1 negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, Teh Te’ek yang berusia 90 tahun terpaksa menaiki sebuah bot selepas jalan raya ke Hospital Kuala Lipis, Pahang digenangi air akibat banjir tengah hari semalam.
Teh dibantu ibu Siti Nurhaliza, Siti Salmah Bachik, 62, adik lelakinya, Mohd. Ali, 33, dan beberapa penduduk kampung menaiki bot tersebut di Batu Dua, Kuala Lipis bagi membawanya menjalani rawatan dialisis.
Menurut Siti Nurhaliza, 35, yang dihubungi Kosmo! semalam, kediaman keluarganya yang terletak di Taman Pertama, Sungai Kerpan tidak dilanda banjir.
“Ini merupakan kali pertama nenek terpaksa menaiki bot ke hospital. Pada awalnya, mereka menaiki kereta. Bagaimanapun, beberapa jalan utama ke bandar, air naik begitu tinggi menyebabkan mereka terpaksa menaiki bot dengan dibantu orang ramai. Selepas itu, mereka menyambung menaiki kereta ke Hospital Kuala Lipis,” katanya.

Wednesday, 24 December 2014

Komik dakwah Nik Wafdi [kosmo]

Oleh MUHAMMAD AYMAN GHAFFA

NIK WAFDI menunjukkan dua buku siri komik hadis Hari-Hari Sayang Nabi yang telah berada di pasaran sejak tahun lalu.














SELAMA 14 tahun menjadi kartunis majalah Ujang yang terkenal dengan slogan Lawak Antarabangsa, nama Nik Mohammad Wafdi Nik Jaafar, 43, dikenali melalui lukisan Mahaguru Tandoori Payat.
Menggunakan gelaran Nik dalam setiap karyanya, melukis merupakan bakatnya sejak kecil.
Berada di kemuncak kerjaya, Nik Mohammad Wafdi atau dikenali dengan panggilan Nik Wafdi mengambil keputusan untuk mengundurkan diri daripada majalah Ujang pada tahun 2010. Namun, pengunduran itu bukan satu titik noktah kerjayanya sebagai seorang kartunis.
Melalui fasa perubahan diri, Nik Wafdi mula terfikir untuk melakukan usaha dakwah melalui karya lukisannya. Niat itu bermula selepas beliau mengabdikan dirinya dengan banyak membaca kitab agama dan hadis selama setengah tahun.
Nik Wafdi menerbitkan dua buah buku komik berkonsepkan dakwah yang bertajuk 101 Reaksi Hati dan 101 Doa Mohon Makbul bersama Telaga Biru Sdn. Bhd.
Usaha dakwah melalui lukisan Nik Wafdi semakin mendapat perhatian apabila dia diberi peluang untuk menghasilkan siri komik hadis bertajuk Hari-Hari Sayang Nabi: Hidupkan Hari Cantikkan Akhlak (Hari-Hari Sayang Nabi) bersama Humaira Bookstore Enterprise (Humaira) pada tahun lalu.
“Hari-Hari Sayang Nabi merupakan satu persepsi atau gambaran untuk memperjelaskan hadis sahih yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim. Karakter kanak-kanak menjadi tunjang dalam lukisan saya dalam komik ini untuk menarik minat pembaca terhadap hadis-hadis,” ujarnya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Hari-Hari Sayang Nabi memuatkan sebanyak 64 hadis pilihan yang mendidik hati dan mencuit iman dengan ilustrasi kartun yang menarik. Penceritaan diadaptasi daripada hadis-hadis sahih juga menyentuh dan berkait rapat dengan situasi umat Islam masa kini

Nilai etika
Watak dan penceritaan dalam komik Hari-Hari Sayang Nabi juga mengandungi nilai etika dan prinsip moral yang harus dijadikan panduan dan gaya hidup.
Antara tajuk yang dipaparkan ialah Enam Hak Muslim, Bulan Puasa, Berani Bagi Tahu, Lihat Hati Bukan Paras Rupa, Bakhil bin Haloba dan Tanda Orang Munafik.
“Kesemua hadis dalam komik ini dipetik daripada buku karangan Ustaz Zahazan Mohamed yang bertajuk 300 Hadis Bimbingan Ke Arah Mencari Reda Allah. Hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim mudah difahami oleh segenap lapisan masyarakat. Paling penting hadisnya sahih.
“Pengisian utama dalam komik ini adalah mengenai akhlak, amalan mulia, akidah dan ilmu tasawuf. Saya juga melakukan banyak perubahan gaya lukisan setiap karakter kartun dalam komik ini untuk menarik minat kanak-kanak agar mereka dapat mengaitkan setiap situasi dengan diri mereka,” ujarnya yang kini merupakan seorang pelukis ilustrasi bebas.
Terbaharu, Nik Wafdi telah menerbitkan komik hadis Hari-Hari Sayang Nabi edisi kedua bersama Humaira yang telah menembusi pasaran sejak Jun lalu. Menerusi komik hadis Hari-Hari Sayang Nabi: Suburkan Iman, Tingkatkan Amalan, Nik Wafdi berkolaborasi dengan rakan lamanya di majalah Ujang iaitu Shaari Sulong, 41, atau lebih dikenali dengan gelaran Aie.
Menariknya mengenai edisi kedua komik hadis, ia menggabung cerpen, sajak dan kartun dalam buku setebal 125 muka surat. Buku tersebut tidak hanya tertumpu kepada elemen karikatur yang mengajak ke arah kebaikan tetapi ia turut menyelitkan kisah-kisah masyarakat yang diterjemah dalam bentuk penulisan cerpen.
“Siri kedua komik hadis ini merupakan cubaan pertama Aie dalam penghasilan buku dakwah. Saya banyak memberi idea penulisan sebaliknya setiap karikatur dan lukisan dalam komik ini dilukis oleh Aie. Diharap kedua-dua komik ini mampu melahirkan perasaan cinta dan sayang seluruh umat Islam kepada Rasulullah SAW,” ujarnya menutup bicara.
Pembaca boleh melihat karikatur dakwah yang dihasilkan oleh Nik Wafdi di laman Facebook dengan carian Nik Wafdi.

Monday, 22 December 2014

Dah sampai Sabak Bernam [metro]

Sabak Bernam: Kejadian puting beliung di beberapa kawasan sawah di daerah ini, petang semalam menjadi bualan penduduk setempat yang ternyata terkejut dengan fenomena yang jarang berlaku itu.
Difahamkan, kejadian itu berlaku kira-kira jam 5.30 petang dalam tempoh 20 minit sebelum kembali reda.

Komander Operasi Kanan Bomba Selangor Mohd Hissam Sidik berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang maklumat mengenai kerosakan di di daerah ini selepas kejadian itu.
Menurutnya, antara kawasan yang dilanda puting beliung ialah Kampung Parit 1 Barat, Kampung Parit 8 Gambut, Kampung Parit 2 dan Parit 4 Sungai Haji Dorani, Kampung Panchang Bedena, Kampung Parit 6 dan Kampung Sungai Nipah Baroh.

Beliau berkata, setakat ini kejadian dipercayai hanya berlaku di kawasan lapang dan tidak membabitkan rumah penduduk kampung.

“Pihak kami juga akan memantau sekiranya kejadian ini kembali berulang dan berlakunya kerosakan pada rumah penduduk,” katanya.


Friday, 19 December 2014

Penyokong perlu jaga disiplin {utusan}

ABDUL RAZAK IDRIS  |  20 Disember 2014 2:06 AM
Kartun harimau malaya
ZAMAN permainan bola sepak berseni dan penuh kemahiran individu sudah lama mati. Hari ini skil individu sahaja tidak cukup kerana permainan bola sepak sudah menjadi permainan bercorak taktikal dan bersifat teknikal sepasukan.
Taktikal adalah aspek percaturan perlawanan yang digarap oleh jurulatih di dalam mindanya. Secara teknikalnya bola sepak perlu bukan sahaja dimainkan dengan skil dan lenggok badan malahan dimainkan dengan aspek peraturan yang sentiasa dikemaskini di dalam pemikiran pemain.

Namun hari ini sebenarnya Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) terbeban dengan aspek baharu yang perlu diambil perhatian iaitu penyokong yang bersikap ganas dan sanggup merusuh serta bertumbuk jika pasukan yang disokong mereka tewas.

Kita bimbang sikap ganas di atas kerusi penonton akhirnya bakal melarat ke tengah padang permainan pula.

Insiden menyerang penyokong lawan pada peringkat piala sederhana besar kehebatannya, Piala AFF Suzuki 2014 separuh akhir pertama antara Harimau Malaya dan Vietnam di Stadium Shah Alam, baru-baru ini tidak dapat tidak memerlukan perhatian FAM. Sebaiknya, selesaikan isu ini terlebih dahulu sebelum kita mahu melonjak tinggi ingin menjadi pasukan bola sepak yang berada di persada dunia.
Melihat secara dekat, perlawanan timbal balas antara Malaysia menentang Thailand di Stadium Bukit Jalil hari ini, ia memerlukan anjakan paradigma yang besar dalam aspek keselamatan penyokong-penyokong dari Thailand.
Sebagai imbasan, kita harus ingat penyokong Vietnam bukan sahaja terkejut dengan aksi ganas segelintir penyokong kita malahan ia memberi impak yang amat negatif kepada penyokong-penyokong lain di mana-mana kelab bola sepak di dunia ini.

Dalam konteks Thailand ia adalah sebuah negara jiran kita yang paling dekat di utara maka seharusnya selain dari rasa serantau yang menebal kita juga perlu ada rasa insaniah yang tinggi terhadap jiran-jiran kita di sempadan Bukit Kayu Hitam tersebut. Jangan sampai ada yang terkena tinju `muay thai’ hanya kerana hilangnya semangat kesukanan yang tinggi.

Jangan pula ada antara penonton kita yang berazam ingin mengulangi episod yang sama di Stadium Shah Alam lalu dan pada hari ini di Stadium Bukit Jalil pula hingga memeningkan pihak polis menangani samseng bola sepak dan pada masa sama sekali lagi akan memberi malu yang besar kepada negara ini secara keseluruhannya. Sepatutnya rusuhan penonton perlu bersifat pencegahan dan pengajaran agar ia tidak berulang di masa depan. Kekuatan pasukan pengawal keselamatan juga perlu dipertingkatkan.

Sebarang bunga-bunga mencetus rusuhan atau pergaduhan antara penonton kedua pasukan perlu dicegah dengan mengheret keluar si pencetus angkara dalam kalangan penonton yang berpuluh ribu jumlahnya.

Sebagai sebuah negara yang agama rasminya adalah Islam, menjadi tanggungjawab kita semua sebagai rakyat Malaysia yang menonton untuk menonjolkan sisi baik agama Islam yang mempromosi keamanan dan keharmonian masyarakat.
Apa yang menyedihkan wajah agama Islam dipandang serong oleh penyokong-penyokong bukan Islam hanya kerana sikap fanatik penonton yang menganggap makan bola, tidur bola dan segalanya bola lebih perlu diperjuangkan.
Hari ini penyokong Malaysia datang ke venue perlawanan dengan semangat kenegaraan yang menebal namun harus diingat penyokong negara lain turut berkongsi perasaan yang sinonim. Maka sebaiknya kita sebagai peminat bola sepak menyokong pasukan negara dengan semangat kesukanan yang tinggi bukannya mengikut perasaan.

Sebagai penyokong kita boleh memberi semangat kepada pemain bukan sahaja dengan kata-kata malahan dengan menjaga disiplin diri dari melakukan perbuatan atau tindakan yang memalukan negara.
Mungkin bagi menunjukkan sikap ‘fair play’ pemain boleh memberhentikan permainan jika mereka melihat berlaku kekecohan di barisan penonton,.

Justeru kepada pihak berkuasa dan pengurusan stadium carilah cara untuk mengelakkan insiden pergaduhan antara dua orang penonton ini, menjadi sengketa diplomatik antara negara. Di dalam dunia media sosial semua kelab bola sepak tidak kira negara mahupun kelab sepatutnya menghentikan pemikiran dangkal bersaing meminati pasukan bola sepak hingga menyebabkan ada yang bermasam muka kerana komen-komen yang menyakitkan hati. Sepatutnya sukan menyatukan dunia bukan memecahbelahkan solidariti sebagai masyarakat sejagat.

Hentikan rusuhan bola sepak, tingkatkan semangat kesukanan, ingatlah bola sepak bukan segala-galanya, kerana kita bukan mahu hidup aman selama 90 minit semata-mata di stadium tetapi selama-lamanya di dunia nyata.

Thursday, 11 December 2014

Juara 
yang hilang Popular hanya seketika

Vince Chong
SEBULAN lalu, kira-kira pukul 11.45 malam, Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bergema dengan laungan nama Firman diumumkan sebagai juara Akademi Fantasia 2014 (AF2104).

Dengan wajah gembira Firman melangkah ke depan menerima trofi kemenangan sambil disaksikan kedua orang tuanya. Tiada yang lebih hebat buat pemuda kelahiran Tawau, Sabah ini selain dapat memberikan kegembiraan kepada ibu dan bapanya.

Semua itu hanya memori buat sang juara seperti Firman. Mengimbas kembali rancangan realiti yang mencari penyanyi serba boleh terbitan Astro ini, AF sebenarnya telah melahirkan ramai bintang dalam industri seni kita.
Bermula dengan musim pertama pada 2003 yang menobatkan Vince sebagai juara sulungnya diikuti dengan Zahid (AF2), Mawi (AF3), Faizal (AF4), Mila (AF5), Stacy (AF6) dan Hafiz (AF7), Shahir (AF8), Hazama (AF9) dan Faizul (AF2013).
Juga tidak dinafikan AF sebuah rancangan yang menggunakan kuasa pengundi seratus peratus sememangnya sudah menjadi pelopor kepada rancangan realiti TV di Malaysia sehingga meninggalkan impak kepada industri hiburan tempatan khususnya.

Namun, kelibat juara yang dilahirkan menerusi program itu tidak dilihat keserlahannya. Hanya beberapa nama sahaja seperti Hafiz dan Stacy berjaya menyinar dalam industri. Ke mana semua juara gah itu pergi?

Kita mulakan dengan juara pertama Vince. Kelibat lelaki berbangsa Cina dengan nama penuh Vincent Chong Ying-Cern, 35, sudah lama tidak kedengaran. Selepas mengeluarkan album kedua berjudul Janji Vince pada 2006, dia terus hilang dan kembali dengan album kompilasi Percayalah Sayang pada 2007.
Kisah mengenainya juga jarang diperkatakan selepas itu dan baru-baru ini hanya timbul cerita perkahwinannya yang diadakan secara rahsia.
Berbanding Vince, penyanyi Zahid pula hanya dikenali kerana kepetahannya ketika mengendalikan radio Era FM sebagai juruhebah.

Jarang sekali mendengar dia membuat lagu baharu memandangkan dia merupakan insan yang dilahirkan menerusi program pencarian bakat nyanyi. Cuma ucapan tahniah diberikan kepada Zahid kerana sudah selamat bergelar ayah baru-baru ini.

Mungkin Mawi yang ketika menyertai program itu pada 2005 meraih populariti sangat memberangsangkan. Dia juga sempat digelar ‘Raja SMS’ ketika itu kerana banyak meraih undi penonton dalam AF.

Tapi, dia tidak hanya membuktikan semua itu di AF. Selepas AF, dia juga banyak mencipta kejayaan dengan melahirkan album dan menjadi pelakon.

Malah dia juga berjaya meraih beberapa anugerah sebagai Artis Baharu Lelaki Popular, Penyanyi Lelaki Popular dan paling manis apabila dinobatkan sebagai Artis Paling Popular sempena dua edisi Anugerah MTV (2005 dan 2007). Turut membuktikan kemampuannya sebagai penyanyi ialah lagu berjudul Aduh Saliha yang dinobatkan sebagai Lagu Paling Popular dalam Anugerah Planet Muzik 2006.

Bagaimanapun, kehebatan AF sebagai program nyanyian sekali lagi teruji apabila juara keempat bernama Faizal atau nama sebenar Mohammad Faizal Ramly tidak menunjukkan sebarang tanda AF akan terus membara dalam hati peminat.
Malah, penyanyi kelahiran Marang, Terengganu terus senyap selepas keluar AF dan sebarang kejayaan tidak terus dicipta oleh sang juara ini.

Sementara itu, muncul pula juara wanita pertama pada musim kelima AF. Memberi kemenangan kepada Mila Jirin pada masa itu mengejutkan ramai pihak. Pada awal kemunculannya di dalam AF, wanita kelahiran Pulau Pinang ini tidak menunjukkan sebarang tanda bahawa dia akan mengungguli carta AF.

Benar kata orang, kalau kita berusaha, pasti tuah itu akan menyebelahi kita. Begitu juga dengan Mila, kisah kejayaan jarang sekali dilaporkan berbanding kisah cintanya.

Tinggal sebentar Mila, hadir pula Shahir, juara yang memiliki rupa paras yang menjadi idaman ramai wanita. Nama yang dicipta dalam bidang muzik jarang sekali didengar berbanding kontroversi cinta bersama selebriti popular seperti Rozita Che Wan dan Erra Fazira yang menjadi perhatian umum.

Sekarang lelaki ini sudah senyap dan tidak nampak sebarang perkembangan dalam kerjayanya.
Begitu juga Hazama dan Faizul yang menjadi juara selepas itu. Kehadiran mereka dalam pentas hiburan mesti dirindui oleh peminat, tetapi mana silapnya? Adakah disebabkan diri sendiri atau pihak yang menguruskan sebelum itu?
Bakat dan minat semua juara ini seolah-olah terumbang-ambing dan tidak tahu ke mana hendak membawa hala tuju kerjaya mereka. Harapan sudah tentu mahu melihat banyak kejayaan yang akan ditempa oleh mereka selepas ini.
Dua nama juara AF yang mungkin tidak perlu disebut. Baik Hafiz atau Stacy ramai yang telah melihat kejayaan demi kejayaan dua anak muda masing-masing dari Sarawak dan Sabah ini.

Taring kehebatan yang mereka miliki sebagai penyanyi memang patut dipuji. Ini baru juara sebenar yang diingini.
Mungkin dua orang juara ini sudah cukup untuk menutup kelemahan juara-juara AF yang lain.
Apa lagi, AF sering menjadi bualan sejak menemui peminat sepuluh tahun lalu. Banyak juga perubahan yang telah dilakukan oleh pihak AF bagi mencantikkan program tersebut.

Yang penting mereka tidak dibiarkan terkontang-kanting mencari arah sendirian serta tapak di dalam bidang seni.
- See more at: http://www.utusan.com.my/hiburan/juara-8232-yang-hilang-1.34369#sthash.qMq5MoW4.dpuf

Kutukan jadi cinta (Utusan)

Lagu Mawarku satukan Zul dan Isma

ISMA dan Zul tidak mudah melatah dengan gosip liar, sebaliknya
Lain orang, lain cara yang digunakan untuk memikat. Begitu juga kisahnya dengan pasangan kali ini Zulkefli Majid (Zul), 41, dan isteri, Ismaliza Ismail (Isma), 35.

Mereka mula mengenali antara satu sama lain ketika Zul mengadakan persembahan anjuran Telekom untuk lagu duet Mawarku bersama Datuk Siti Nurhaliza.
Namun, Siti tidak dapat membuat persembahan bersama dan tempatnya diganti oleh Isma yang ketika itu merupakan salah seorang vokalis bagi kombo Telekom.

Bermula daripada situ, perkenalan dimulakan dan mereka mula aktif untuk berduet bersama terutamanya menerusi lagu Mawarku.
Di awal perkenalan, jelas Isma, Zul sering kali memberi komen yang negatif buatnya namun tidak disangka pula, dalam hati lelaki itu tersimpan satu perasaan cinta pada Isma.
“Saya pada mulanya tidak ada perasaan apa-apa terhadap dia, cuma ketika itu jika tiada rakan duet, Zul sering menjemput saya membuat persembahan bersama.
“Namun, ada satu ketika saya pernah dilanda demam campak dan Zul antara orang yang terawal dan paling kerap melawat saya.
“Ketika itu saya sudah mula merasakan yang Zul menyimpan hasrat terhadap saya,” jelasnya.
Tanpa disangka-sangka, enam bulan selepas perkenalan mereka, Zul telah membuat sesuatu yang tidak dijangka dan mahu melanjutkan hubungan mereka lebih daripada sekadar rakan.
“Semasa saya sedang bekerja, ibu menelefon saya dan memberitahu keluarga Zul datang merisik saya.
“Masa itu memang terkejut kerana Zul sikit pun tidak memberitahu saya yang dia mahu datang untuk merisik. Malah, perancangan merisik itu sendiri saya tidak tahu,” jelasnya.

Ketika itu, jelas Isma, hatinya sudah terbuka buat Zul dan akhirnya, pasangan ini bernikah pada 16 April 1998.
Hasil perkongsian hidup selama 16 tahun, pasangan ini dikurniakan lima orang anak, Muhammad Haiqal Aiman, 16, Muhammad Haiqal Aydiel, 15, Seri Aida Merlissa, 13, Seri Ayreen Merlynda, 11, dan Seri Adryana Mercella, tujuh tahun.
Pasangan Zul dan Isma sering kali dikaitkan dengan gosip rumah tangga yang goyah.

Tohmahan itu bukan sekali dua, malah sudah banyak kali hingga ada yang menganggap pasangan ini sudah tidak hidup sebagai suami isteri lagi sedangkan mereka bahagia melayari kehidupan mereka.
Bagi Isma sendiri, dia sudah jemu hendak melayan setiap kontroversi yang mengaitkan hubungannya dengan pelbagai dugaan.

“Saya sedikit pun tidak mengendahkan apa yang digosipkan tentang hubungan kami sebagai suami isteri kerana saya tahu rumah tangga kami berada dalam keadaan baik.

“Semua yang digosipkan itu adalah tidak benar jadi mengapa saya perlu terhegeh-hegeh hendak percaya sesuatu yang tidak betul,” jelasnya.

Tambah Isma, melayari bahtera perkahwinan selama 16 tahun dan dikurniakan lima orang anak sudah cukup untuk membuktikan kebahagiaan mereka.

“Memang benar, sedangkan lidah lagi tergigit, apatah lagi hubungan suami isteri. Tetapi, mengapa saya perlu bertengkar tentang isu yang tidak wujud.
“Senang cerita, kami bukan yang cepat melatah. Setiap yang berlaku akan dibawa berbincang terlebih dahulu sebelum sesuatu keputusan dibuat,” jelasnya.

Tambah Zul pula, dia bersyukur kerana Isma merupakan seorang yang sangat memahami kehidupan seorang artis.
“Sewaktu saya berkahwin dengan dia, saya bergelar artis ketika itu dan dia memahami kehidupan artis bagaimana. Itu yang dia tidak mudah melatah,” jelasnya.

Jelasnya, jika ada gosip yang berkaitan dengan rumah tangga mereka sekalipun, ia akan dibawa berbincang dahulu untuk mengetahui perkara sebenar.
Berkahwin dengan Isma adalah perkahwinan kedua buat Zul dan semestinya, banyak perkara yang dititikberatkan pada perkahwinan keduanya.

“Memang tempoh enam bulan saya berkenalan dan merisik ketika itu adalah masa yang sangat sekejap.
“Tetapi, bagi saya, kalau sudah cinta, buat apa kita sekadar cakap sahaja, lebih baik kita buktikan terus,” katanya.
Namun, jelas Zul, bukan mudah untuk membuat keputusan merisik tanpa diketahui oleh Isma sendiri apatah lagi ini adalah perkahwinan kedua buatnya.

Jelas Zul lagi, selepas gagal dengan perkahwinan pertama, dia banyak belajar tentang kehidupan berumah tangga.
Bagi Zul, dia bersyukur kerana perkahwinan bersama dengan Isma hingga ke hari ini membawa kebahagiaan buat mereka berdua.

Bercerita tentang pengalaman merisik, jelas Zul, dia sebenarnya takut untuk ke rumah Isma apatah lagi bapa wanita itu adalah seorang yang garang.
“Saya takut sebenarnya nak ke sana. Lagipun, rombongan keluarga saya ke sana tanpa diketahui. Tetapi saya yakin ketika itu Isma akan setuju,” jelasnya ketawa.

Monday, 8 December 2014

Ribut landa dua kampung {kosmo}

 MOHD. KHALID (kanan) menunjukkan bumbung rumahnya yang tercabut selepas dilanda ribut dan angn kencang di Kampung Tengku Hussein, Manjoi, Ipoh semalam.

IPOH – Lebih 50 buah rumah di Kampung Tengku Hussein dan Kampung Sungai Tapah di Manjoi di sini rosak teruk selepas dilanda ribut dan angin kencang semalam. Bagaimanapun, tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian pada pukul 2.45 petang yang melibatkan lebih 40 buah rumah di Kampung Tengku Hussien dan 10 buah kediaman di Kampung Sungai Tapah.
Salah seorang mangsa, Mohd. Khalid Mohd. Tahir, 60, dari Kampung Tengku Hussien berkata, kejadian ribut itu merupakan kali ketiga berlaku sepanjang 35 tahun dia menetap di kampung tersebut.
Bagaimanapun kata pesara tentera itu, kejadian pada petang berkenaan disifatkan yang terburuk pernah berlaku apabila memusnahkan hampir 70 peratus kediamannya.
SEORANG petugas Majlis Bandaraya Ipoh menyaksikan keadaan bumbung rumah yang diterbangkan angin kencang di Kampung Tengku Hussein di Manjoi, Ipoh semalam.

“Ketika kejadian, saya sedang bersiap-siap mahu membakar sate manakala 12 lagi anggota keluarga yang lain termasuk cucu yang baru berusia 1 bulan berada dalam rumah.
“Tiba-tiba, angin kuat yang datangnya dari arah rumah jiran melanda rumah saya menyebabkan bumbung mula berter­bangan disusuli bunyi-bunyi pe­cah. Pada masa itu, kami hanya mampu menyorok di kawasan selamat,’’ katanya ketika ditemui di sini semalam.

Harimau separuh nafas [kosmo]

 SAFIQ menjaringkan gol tunggal Harimau Malaya menerusi sepakan penalti pada minit ke-13 namun jaringannya itu gagal membantu skuad negara mengatasi Vietnam apabila tewas 1-2.

--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
MUNGKIN tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa peluang skuad Harimau Malaya untuk melangkah ke final Piala AFF Suzuki 2014 hampir tertutup.
Ramalan tersebut adalah berdasarkan kekalahan 1-2 yang dialami skuad kendalian Dollah Salleh itu kepada Vietnam pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Shah Alam malam tadi.
Kelebihan beraksi di gelanggang sendiri itu gagal dimanfaatkan sebaik mungkin dan sudah pasti misi pada separuh akhir kedua di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi pada Khamis ini tentunya lebih sukar.
Jika Vietnam mampu memperoleh kedudukan selesa di Shah Alam, sudah pasti aksi di Hanoi nanti lebih mudah buat mereka membelasah Harimau.
 VU HUY TOAN (depan) menjaringkan gol pembukaan Vietnam pada minit ke-32 pada aksi separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki menentang Harimau Malaya di Stadium Shah Alam malam tadi, sekali gus membantu pasukannya meraih kemenangan 2-1.

Begitupun, Harimau Malaya masih belum mengalah dan mereka mengharapkan akan berlaku keajaiban pada perlawanan kedua nanti.
Pada perlawanan malam tadi, Harimau Malaya bermula garang apabila mendahulu 1-0 pada minit ke-14 menerusi sepakan penalti oleh Safiq Rahim.
Begitupun, kegembiraan mereka tidak kekal lama kerana Vietnam pantas menyamakan kedudukan pada minit ke-32 menerusi jaringan Vo Huy Toan sebelum Nguyen Van Quyet melengkapkan kemenangan 2-1 itu menerusi jaringan pada minit ke-60.
Dengan kemenangan tersebut, Vietnam hanya perlu keputusan seri pada aksi kedua nanti manakala Harimau Malaya perlu mencari dua gol tanpa balas jika masih berhajat untuk meneruskan perjuangan pada kempen kali ini.

Sunday, 7 December 2014

Taufik Hidayat tak dapat percaya isu doping Chong Wei (beritaharian)

JUMAAT, 21 NOVEMBER 2014 @ 3:44 PM

JAKARTA: Bekas juara Olimpik, Taufik Hidayat menasihatkan pemain badminton lain untuk lebih berwaspada dalam soal pemakanan dan pengambilan suplemen.
Jaguh dari Indonesia itu berkata demikian agar tiada pemain lain akan ditimpa malang seperti dialami Datuk Lee Chong Wei yang diuji positif menggunakan dadah terlarang.
Taufik berkata pemain nombor satu dunia dari Malaysia itu mungkin mengambil dadah jenis dexamethasone secara tidak sengaja.
Namun, dia beranggapan Chong Wei seharusnya lebih peka mengenai bahan yang dimasukkan ke dalam badannya itu.
"Saya masih tidak boleh mempercayai sehingga sekarang. Saya tidak pasti sama ada dia melakukannya secara sengaja.
"Mungkin ada kesilapan berlaku ketika dia menerima rawatan ke atas kecederaan itu," kata Taufik kepada Jakarta Globe.
"Pemain bertaraf dunia seperti Chong Wei seharusnya sudah tahu apa yang diambil dan apa yang masuk ke dalam badannya.
"BAM (Persatuan Badminton Malaysia) adalah badan profesional yang mengawasi pemain mereka dengan baik"
Chong Wei digantung sementara daripada sebarang kejohanan selepas sampel B ujian air kencing di sahkan positif di sebuah makmal di Norway, awal bulan ini.
Jika bersalah dia mungkin digantung selama dua tahun.
"Atlet harus tahu apa yang mereka makan dan minum dan bukan hanya kepada latihan harian mereka," kata Taufik.
"Mereka harus tahu setiap benda yang masuk ke dalam badan mereka. Atlet hanya mempunyai dua musuh - diri mereka dan doping." - AFP

Datuk Siti Nurhaliza ungguli tiga kategori di AIM 21 [beritaharian]

Oleh Zaidi Mohamad

KUALA LUMPUR: Daripada lapan pencalonan yang diterima Datuk Siti Nurhaliza Tarudin menerusi Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-21, penyanyi yang sudah bertahan hampir dua dekad itu berjaya menang tiga kategori.
Kategori yang dimenangi Siti, malam ini ialah Album Terbaik (Fragmen), Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu Wanita dan Rakaman Album Terbaik (Konsert Lentera Timur)
Photo: @ctdk di #AIM21 

Kredit gambar oleh:
Instagram : @eirwanahmad
FB : eirwanahmad
Antara penyampai anugerah yang diberi mandat pada malam itu nanti ialah Adibah Noor, Aisyah Aziz, Alif Satar, Amyra Rosli, Amar Baharin, Mizz Nina dan Noh Hujan.
Antara senarai artis yang membuat persembahan pula seperti Akim & The Majistret, Sleeq, Dayang Nurfaizah, Hazama dan Joe Flizzow termasuk kumpulan dari seberang, Nidji.
Hos Hlive, Dahlia Shazwan dan penyampai radio ERA FM, Haniff juga dipilih sebagai hos red karpet.
Di bawah adalah disenaraikan kategori lain diumumkan pada acara yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra dan dikendalikan Zizan Razak serta Faizal Ismail sebagai hos.
1) Lagu Pop Etnik Terbaik: Akar Kita Zapin (Ihab Ismail)
2) Lagu Nasyid Terbaik: Rindu Allah Sayang Allah (Iwan Syahman dan Iwan Junior)
3) Lagu Inggeris Tempatan Terbaik: No More (SonaOne)
4) Lagu Hip Hop Terbaik: Apa Khabar (Joe Flizzow menampilkan SonaOne)
Photo: @flizzow di #AIM21 malam tadi.

Kredit gambar oleh:
Instagram : @eirwanahmad
FB : eirwanahmad Photo: @flizzow dan hujan di pentas #AIM21.

Kredit gambar oleh:
Instagram : @eirwanahmad
FB : eirwanahmad
5) Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Berkumpulan): Hujung Waktu (Azhael)
6) Persembahan vokal duo/kolaborasi Terbaik Di Dalam Lagu: Selamanya Bahagia (Nora menampilkan Musyi, Putri dan Aliff)
7) Artis Baru terbaik: Poova
8) Video Muzik Terbaik: Falling (Yuna)
9) Lagu Pop Terbaik: Sesal separuh nyawa (Alyah)
Photo: @alyah81 bersama trofi kemenangannya di #AIM21 @alyah81 bersama trofi kemenangannya di #AIM21
10) Lagu Rock Terbaik: Rentak Laguku (Bunkface menampilkan Amy Search)
11) Lagu Bahasa Melayu Terbaik Yang Dipersembahkan Oleh Artis Luar Negara:Salahkah (Hafiz Suip dan Datuk Rossa)
12) Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu (Mahligai kayangan, Salamiah Hassan).
13) Kulit Album Terbaik (#1, stacy)
14) Anugerah Sri Wirama (Datuk Ramli Sarip)
15) Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu Lelaki: Akim (Mewangi)
16) Lagu Terbaik: No More (SonaOne)
Photo: @itssonaone semasa pembukaan #AIM21.

Kredit gambar oleh:
Instagram : @eirwanahmad
FB : eirwanahmad @itssonaone semasa pembukaan #AIM21.
 @syarifsleeq @alifsleeq di #AIM21 

Saturday, 6 December 2014

Kembara, M. Nasir dan senandung hidup rakyat [utusan]

KU SEMAN KU HUSSAIN  |  07 Disember 2014 1:29 AM

Ada dua sebab yang memaksa saya meredah hujan lebat pada senja Ahad 30 November untuk ke Istana Budaya dan memberikan masa selama dua jam 30 minit kepada Konsert Kembara yang dianggotai M. Nasir. Pertama kerana Kumpulan Kembara dan keduanya kerana M. Nasir. Dia adalah antara sejumlah kecil orang yang saya ambil tahu tentang karyanya walaupun M. Nasir tidak kenal saya.

M. NASIR semasa konsert Kembara di Istana Budaya 30 November lalu . M. NASIR semasa konsert Kembara di Istana Budaya 30 November lalu .

Pengalaman menonton konsert M. Nasir sebelum ini meyakinkan Konsert Kembara tidak mengecewakan. Ia boleh dianggap sebuah retrospektif tiga dekad Kembara yang dianggotai M. Nasir, A.Ali dan Sahlan.
Mereka mengisi vakum lagu-lagu Melayu yang ada signifikan dengan sosialisasi di Kuala Lumpur awal dekad 1980-an. Banyak lagu Melayu era itu seperti lagu sekarang yang mempromosi telatah cinta yang murah dan mentah. Tetapi Kembara berbeza, mereka menyanyikan lagu-lagu sosial tentang kehidupan, kerakusan kota dan tidak terkecuali pengabdian insan kepada Tuhan dalam apa keadaan sekalipun.

Kepada golongan marhaen dan gelandangan, Kembara sangat memahami getir hidup mereka. Sebabnya lagu Kembara bukan ekskapisme daripada realiti pahit kepada kemanisan yang palsu seperti filem Hindustan. Kembara meniupkan harapan bahawa kepahitan adalah kemanisan yang tertunda. Mereka berjiwa besar dan tidak merintih nasib. Idealisme tiga anak muda ini bukanlah jenis lelaki dalam banyak lagu Melayu yang patah hati kerana wanita, hidup yang bersisa tenggelam dalam air mata.

Ketika Kembara di puncak kemahsyuran pada awal 1980-an, saya menjadi buruh kasar di Kuala Lumpur dan berteduh di pondok setingan di belakang Angkasapuri di Kampung Kerinchi. Di kota yang ganas ini garis pemisah dosa dan pahala, kemanusiaan dan kebinatangan terlalu nipis. Warganya sangat individualistik dam materialistik, tetapi mujurlah Kembara sangat memahami orang seperti saya.

Lagu Sesat Di Kuala Lumpur membuatkan seolah-olah ada orang yang mengerti perihal kami yang sebati dengan hanyir lorong di celah bangunan tatkala mengalas perut sebelum pulang ke pondok setingan. Kembara seperti memerhati kami apabila mereka menyanyikan lagu Hati Emas, Gerhana, Duit, Impian Anak Jalanan, Senandung Buruh Kasar, Kolar Biru, Bas No 13 dan Kutu.

Saya sangat percaya M. Nasir adalah faktor Kembara menjadi begitu unik dan berbeza dengan banyak kumpulan muzik atau penyanyi lain. Kembara ditubuhkan di Singapura kemudian melintasi Tambak Johor dengan kemasyhuran Ekspress Rakyat tahun 1981. Lagu-lagu Kembara yang sebahagian besar dicipta oleh M. Nasir dan lirik oleh S. Amin Shahab dan M. Nasir sendiri melihat hidup dari sisi yang berbeza. Saya boleh simpulkan bahawa lagu mereka enak didengar serta ada wacana besar.

Kembara mengangkat suara-suara kecil yang terlindung. Popularnya lagu mereka memberi harapan keperitan warga marhaen juga turut dihayati para menteri kita. Cukuplah sekadar mereka bersiul-siul, setidak-tidaknya mereka diberi jiwa untuk merasa. Saya percaya M. Nasir menghayati kehidupan di sekelilingnya atau mungkin dia juga turut bergelut dalam kerakusan kota ini.

Bukan tidak ada kumpulan muzik atau penyanyi yang popular ketika itu. Tetapi maaf cakaplah sebahagian besarnya menerawang di alam mimpi. Lagu-lagu mereka tidak memberikan kekuatan untuk “bertarung” dalam gelombang ganas Kuala Lumpur. Mereka melayukan semangat dan cita-cita anak muda Melayu untuk berdepan realiti sebaliknya diracun dengan keseronokan palsu di ruang yang asing.

Seingat saya Kembara tidak banyak lagu percintaan. Yang paling diingati hanyalah Keroncong Untuk Ana, selebihnya lagu-lagu tentang kehidupan, kesunyian dalam kembara insan kepada Tuhannya. Cuba hayati lagu Kepada-Mu Kekasih dan Malam, sunyinya dapat kita rasakan. Inilah yang dilangsungkan oleh M. Nasir selepas bergiat secara solo apabila selalu tampil dengan karya-karya yang menjentik minda dalam longgokan lagu Melayu yang rendah martabatnya.

Karya agung M. Nasir seperti Andalusia, Tanya Itu Sama Hud Hud, Anak-anak Kita, Phoenix Bangkit, Bonda, Kepada-Mu Kekasih atau Inang Pulau Kencana menyumbang kepada karya lagu Melayu yang bercitra tinggi. Bunyi-bunyian yang diolah diangkat dari alam Melayu. Inilah antarabangsanya ciptaan M. Nasir kerana tidak ditemui dalam alam dan milieu sosial masyarakat negara lain di dunia.

Hakikatnya kita ketandusan pemikir dan seniman dalam dunia hiburan. Yang banyak adalah “kelkatu malam” yang berpeleseran mencari gemerlapan. Mereka menyuburkan hedonisme yang lebih merosakkan daripada membangunkan insan. Tidak banyak seperti M. Nasir yang memberikan sumbangan besar dalam khazanah lagu Melayu. Tetapi seperti orang politik, dia tidak terlepas daripada satu dua individu yang mahu menjatuhkan. Kontroversi “Siapa Mahathir” tahun 1995 sangat getir. Dia tenang dan akhirnya kebenaran berada bersamanya. Mereka terlupa M. Nasir bukan orang politik yang dengan mudah “dibunuh” oleh persepsi.

Mangga bertaburan atas lantai (hmetro)

Alor Gajah: Beberapa jemaah Masjid Saga, Ayer Paabas, di sini, terkejut selepas mendapati mangga pada dua tabung besi di masjid berkenaan bersepai di atas lantai selepas diumpil pencuri, awal pagi kelmarin.
Malah, sejumlah wang tersimpan sejak dua minggu lalu turut lesap.
Naib Pengerusi Masjid Saga Wahit Kadam, 67, berkata, dia mengetahui kejadian itu selepas dimaklumkan seorang jemaah yang ingin menunaikan solat Subuh jam 5.30 pagi.
“Saya bersama beberapa jemaah memeriksa tabung yang diletakkan di kiri serta kanan pintu masuk dan mendapati ia sudah terbuka manakala, dua mangga bertaburan atas lantai.
“Pada awalnya saya hanya memeriksa pintu jeriji besi hadapan dan mendapati terdapat kesan umpilan dipercayai menggunakan benda keras,” katanya ketika ditemui.
Beliau berkata, dua minggu lalu, masjid itu turut kehilangan wang tabung dipercayai dilakukan pencuri sama.
“Sehari selepas wang derma dalam dua tabung itu dikeluarkan, kedua-dua tabung besi berkenaan diumpil pencuri yang dipercayai datang pada waktu tengah malam namun pencuri terbabit balik dengan tangan kosong kerana wang tabung sudah dikeluarkan.
“Namun pada kali ini, dianggarkan wang derma RM300 dilarikan pencuri terbabit. Kejadian dipercayai dilakukan lebih seorang berdasarkan cara mereka meleraikan dua mangga hingga bersepai sebelum melarikan diri melalui pintu hadapan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Muhammad Ismail Muhammad Yusuf mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan dan berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Disember 2014 @ 5:13 AM
Dua mangga kunci hancur diumpil pencuri.