Lain orang, lain cara yang digunakan untuk memikat. Begitu juga kisahnya dengan pasangan kali ini Zulkefli Majid (Zul), 41, dan isteri, Ismaliza Ismail (Isma), 35.
Mereka mula mengenali antara satu sama lain ketika Zul mengadakan persembahan anjuran Telekom untuk lagu duet Mawarku bersama Datuk Siti Nurhaliza.
Namun, Siti tidak dapat membuat persembahan bersama dan tempatnya diganti oleh Isma yang ketika itu merupakan salah seorang vokalis bagi kombo Telekom.
Bermula daripada situ, perkenalan dimulakan dan mereka mula aktif untuk berduet bersama terutamanya menerusi lagu Mawarku.
Di awal perkenalan, jelas Isma, Zul sering kali memberi komen yang negatif buatnya namun tidak disangka pula, dalam hati lelaki itu tersimpan satu perasaan cinta pada Isma.
“Saya pada mulanya tidak ada perasaan apa-apa terhadap dia, cuma ketika itu jika tiada rakan duet, Zul sering menjemput saya membuat persembahan bersama.
“Namun, ada satu ketika saya pernah dilanda demam campak dan Zul antara orang yang terawal dan paling kerap melawat saya.
“Ketika itu saya sudah mula merasakan yang Zul menyimpan hasrat terhadap saya,” jelasnya.
Tanpa disangka-sangka, enam bulan selepas perkenalan mereka, Zul telah membuat sesuatu yang tidak dijangka dan mahu melanjutkan hubungan mereka lebih daripada sekadar rakan.
“Semasa saya sedang bekerja, ibu menelefon saya dan memberitahu keluarga Zul datang merisik saya.
“Masa itu memang terkejut kerana Zul sikit pun tidak memberitahu saya yang dia mahu datang untuk merisik. Malah, perancangan merisik itu sendiri saya tidak tahu,” jelasnya.
Ketika itu, jelas Isma, hatinya sudah terbuka buat Zul dan akhirnya, pasangan ini bernikah pada 16 April 1998.
Hasil perkongsian hidup selama 16 tahun, pasangan ini dikurniakan lima orang anak, Muhammad Haiqal Aiman, 16, Muhammad Haiqal Aydiel, 15, Seri Aida Merlissa, 13, Seri Ayreen Merlynda, 11, dan Seri Adryana Mercella, tujuh tahun.
Pasangan Zul dan Isma sering kali dikaitkan dengan gosip rumah tangga yang goyah.
Tohmahan itu bukan sekali dua, malah sudah banyak kali hingga ada yang menganggap pasangan ini sudah tidak hidup sebagai suami isteri lagi sedangkan mereka bahagia melayari kehidupan mereka.
Bagi Isma sendiri, dia sudah jemu hendak melayan setiap kontroversi yang mengaitkan hubungannya dengan pelbagai dugaan.
“Saya sedikit pun tidak mengendahkan apa yang digosipkan tentang hubungan kami sebagai suami isteri kerana saya tahu rumah tangga kami berada dalam keadaan baik.
“Semua yang digosipkan itu adalah tidak benar jadi mengapa saya perlu terhegeh-hegeh hendak percaya sesuatu yang tidak betul,” jelasnya.
Tambah Isma, melayari bahtera perkahwinan selama 16 tahun dan dikurniakan lima orang anak sudah cukup untuk membuktikan kebahagiaan mereka.
“Memang benar, sedangkan lidah lagi tergigit, apatah lagi hubungan suami isteri. Tetapi, mengapa saya perlu bertengkar tentang isu yang tidak wujud.
“Senang cerita, kami bukan yang cepat melatah. Setiap yang berlaku akan dibawa berbincang terlebih dahulu sebelum sesuatu keputusan dibuat,” jelasnya.
Tambah Zul pula, dia bersyukur kerana Isma merupakan seorang yang sangat memahami kehidupan seorang artis.
“Sewaktu saya berkahwin dengan dia, saya bergelar artis ketika itu dan dia memahami kehidupan artis bagaimana. Itu yang dia tidak mudah melatah,” jelasnya.
Jelasnya, jika ada gosip yang berkaitan dengan rumah tangga mereka sekalipun, ia akan dibawa berbincang dahulu untuk mengetahui perkara sebenar.
Berkahwin dengan Isma adalah perkahwinan kedua buat Zul dan semestinya, banyak perkara yang dititikberatkan pada perkahwinan keduanya.
“Memang tempoh enam bulan saya berkenalan dan merisik ketika itu adalah masa yang sangat sekejap.
“Tetapi, bagi saya, kalau sudah cinta, buat apa kita sekadar cakap sahaja, lebih baik kita buktikan terus,” katanya.
Namun, jelas Zul, bukan mudah untuk membuat keputusan merisik tanpa diketahui oleh Isma sendiri apatah lagi ini adalah perkahwinan kedua buatnya.
Jelas Zul lagi, selepas gagal dengan perkahwinan pertama, dia banyak belajar tentang kehidupan berumah tangga.
Bagi Zul, dia bersyukur kerana perkahwinan bersama dengan Isma hingga ke hari ini membawa kebahagiaan buat mereka berdua.
Bercerita tentang pengalaman merisik, jelas Zul, dia sebenarnya takut untuk ke rumah Isma apatah lagi bapa wanita itu adalah seorang yang garang.
“Saya takut sebenarnya nak ke sana. Lagipun, rombongan keluarga saya ke sana tanpa diketahui. Tetapi saya yakin ketika itu Isma akan setuju,” jelasnya ketawa.
No comments:
Post a Comment