Monday, 8 December 2014

Harimau separuh nafas [kosmo]

 SAFIQ menjaringkan gol tunggal Harimau Malaya menerusi sepakan penalti pada minit ke-13 namun jaringannya itu gagal membantu skuad negara mengatasi Vietnam apabila tewas 1-2.

--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
MUNGKIN tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa peluang skuad Harimau Malaya untuk melangkah ke final Piala AFF Suzuki 2014 hampir tertutup.
Ramalan tersebut adalah berdasarkan kekalahan 1-2 yang dialami skuad kendalian Dollah Salleh itu kepada Vietnam pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Shah Alam malam tadi.
Kelebihan beraksi di gelanggang sendiri itu gagal dimanfaatkan sebaik mungkin dan sudah pasti misi pada separuh akhir kedua di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi pada Khamis ini tentunya lebih sukar.
Jika Vietnam mampu memperoleh kedudukan selesa di Shah Alam, sudah pasti aksi di Hanoi nanti lebih mudah buat mereka membelasah Harimau.
 VU HUY TOAN (depan) menjaringkan gol pembukaan Vietnam pada minit ke-32 pada aksi separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki menentang Harimau Malaya di Stadium Shah Alam malam tadi, sekali gus membantu pasukannya meraih kemenangan 2-1.

Begitupun, Harimau Malaya masih belum mengalah dan mereka mengharapkan akan berlaku keajaiban pada perlawanan kedua nanti.
Pada perlawanan malam tadi, Harimau Malaya bermula garang apabila mendahulu 1-0 pada minit ke-14 menerusi sepakan penalti oleh Safiq Rahim.
Begitupun, kegembiraan mereka tidak kekal lama kerana Vietnam pantas menyamakan kedudukan pada minit ke-32 menerusi jaringan Vo Huy Toan sebelum Nguyen Van Quyet melengkapkan kemenangan 2-1 itu menerusi jaringan pada minit ke-60.
Dengan kemenangan tersebut, Vietnam hanya perlu keputusan seri pada aksi kedua nanti manakala Harimau Malaya perlu mencari dua gol tanpa balas jika masih berhajat untuk meneruskan perjuangan pada kempen kali ini.

No comments:

Post a Comment