Taktikal adalah aspek percaturan perlawanan yang digarap oleh jurulatih di dalam mindanya. Secara teknikalnya bola sepak perlu bukan sahaja dimainkan dengan skil dan lenggok badan malahan dimainkan dengan aspek peraturan yang sentiasa dikemaskini di dalam pemikiran pemain.

Namun hari ini sebenarnya Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) terbeban dengan aspek baharu yang perlu diambil perhatian iaitu penyokong yang bersikap ganas dan sanggup merusuh serta bertumbuk jika pasukan yang disokong mereka tewas.

Kita bimbang sikap ganas di atas kerusi penonton akhirnya bakal melarat ke tengah padang permainan pula.

Insiden menyerang penyokong lawan pada peringkat piala sederhana besar kehebatannya, Piala AFF Suzuki 2014 separuh akhir pertama antara Harimau Malaya dan Vietnam di Stadium Shah Alam, baru-baru ini tidak dapat tidak memerlukan perhatian FAM. Sebaiknya, selesaikan isu ini terlebih dahulu sebelum kita mahu melonjak tinggi ingin menjadi pasukan bola sepak yang berada di persada dunia.
Melihat secara dekat, perlawanan timbal balas antara Malaysia menentang Thailand di Stadium Bukit Jalil hari ini, ia memerlukan anjakan paradigma yang besar dalam aspek keselamatan penyokong-penyokong dari Thailand.
Sebagai imbasan, kita harus ingat penyokong Vietnam bukan sahaja terkejut dengan aksi ganas segelintir penyokong kita malahan ia memberi impak yang amat negatif kepada penyokong-penyokong lain di mana-mana kelab bola sepak di dunia ini.

Dalam konteks Thailand ia adalah sebuah negara jiran kita yang paling dekat di utara maka seharusnya selain dari rasa serantau yang menebal kita juga perlu ada rasa insaniah yang tinggi terhadap jiran-jiran kita di sempadan Bukit Kayu Hitam tersebut. Jangan sampai ada yang terkena tinju `muay thai’ hanya kerana hilangnya semangat kesukanan yang tinggi.

Jangan pula ada antara penonton kita yang berazam ingin mengulangi episod yang sama di Stadium Shah Alam lalu dan pada hari ini di Stadium Bukit Jalil pula hingga memeningkan pihak polis menangani samseng bola sepak dan pada masa sama sekali lagi akan memberi malu yang besar kepada negara ini secara keseluruhannya. Sepatutnya rusuhan penonton perlu bersifat pencegahan dan pengajaran agar ia tidak berulang di masa depan. Kekuatan pasukan pengawal keselamatan juga perlu dipertingkatkan.

Sebarang bunga-bunga mencetus rusuhan atau pergaduhan antara penonton kedua pasukan perlu dicegah dengan mengheret keluar si pencetus angkara dalam kalangan penonton yang berpuluh ribu jumlahnya.

Sebagai sebuah negara yang agama rasminya adalah Islam, menjadi tanggungjawab kita semua sebagai rakyat Malaysia yang menonton untuk menonjolkan sisi baik agama Islam yang mempromosi keamanan dan keharmonian masyarakat.
Apa yang menyedihkan wajah agama Islam dipandang serong oleh penyokong-penyokong bukan Islam hanya kerana sikap fanatik penonton yang menganggap makan bola, tidur bola dan segalanya bola lebih perlu diperjuangkan.
Hari ini penyokong Malaysia datang ke venue perlawanan dengan semangat kenegaraan yang menebal namun harus diingat penyokong negara lain turut berkongsi perasaan yang sinonim. Maka sebaiknya kita sebagai peminat bola sepak menyokong pasukan negara dengan semangat kesukanan yang tinggi bukannya mengikut perasaan.

Sebagai penyokong kita boleh memberi semangat kepada pemain bukan sahaja dengan kata-kata malahan dengan menjaga disiplin diri dari melakukan perbuatan atau tindakan yang memalukan negara.
Mungkin bagi menunjukkan sikap ‘fair play’ pemain boleh memberhentikan permainan jika mereka melihat berlaku kekecohan di barisan penonton,.

Justeru kepada pihak berkuasa dan pengurusan stadium carilah cara untuk mengelakkan insiden pergaduhan antara dua orang penonton ini, menjadi sengketa diplomatik antara negara. Di dalam dunia media sosial semua kelab bola sepak tidak kira negara mahupun kelab sepatutnya menghentikan pemikiran dangkal bersaing meminati pasukan bola sepak hingga menyebabkan ada yang bermasam muka kerana komen-komen yang menyakitkan hati. Sepatutnya sukan menyatukan dunia bukan memecahbelahkan solidariti sebagai masyarakat sejagat.

Hentikan rusuhan bola sepak, tingkatkan semangat kesukanan, ingatlah bola sepak bukan segala-galanya, kerana kita bukan mahu hidup aman selama 90 minit semata-mata di stadium tetapi selama-lamanya di dunia nyata.