SELAMA 14 tahun menjadi kartunis majalah Ujang yang terkenal dengan slogan Lawak Antarabangsa, nama Nik Mohammad Wafdi Nik Jaafar, 43, dikenali melalui lukisan Mahaguru Tandoori Payat.
Menggunakan gelaran Nik dalam setiap karyanya, melukis merupakan bakatnya sejak kecil.
Berada di kemuncak kerjaya, Nik Mohammad Wafdi atau dikenali dengan panggilan Nik Wafdi mengambil keputusan untuk mengundurkan diri daripada majalah Ujang pada tahun 2010. Namun, pengunduran itu bukan satu titik noktah kerjayanya sebagai seorang kartunis.
Melalui fasa perubahan diri, Nik Wafdi mula terfikir untuk melakukan usaha dakwah melalui karya lukisannya. Niat itu bermula selepas beliau mengabdikan dirinya dengan banyak membaca kitab agama dan hadis selama setengah tahun.
Nik Wafdi menerbitkan dua buah buku komik berkonsepkan dakwah yang bertajuk 101 Reaksi Hati dan 101 Doa Mohon Makbul bersama Telaga Biru Sdn. Bhd.
Usaha dakwah melalui lukisan Nik Wafdi semakin mendapat perhatian apabila dia diberi peluang untuk menghasilkan siri komik hadis bertajuk Hari-Hari Sayang Nabi: Hidupkan Hari Cantikkan Akhlak (Hari-Hari Sayang Nabi) bersama Humaira Bookstore Enterprise (Humaira) pada tahun lalu.
“Hari-Hari Sayang Nabi merupakan satu persepsi atau gambaran untuk memperjelaskan hadis sahih yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim. Karakter kanak-kanak menjadi tunjang dalam lukisan saya dalam komik ini untuk menarik minat pembaca terhadap hadis-hadis,” ujarnya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Hari-Hari Sayang Nabi memuatkan sebanyak 64 hadis pilihan yang mendidik hati dan mencuit iman dengan ilustrasi kartun yang menarik. Penceritaan diadaptasi daripada hadis-hadis sahih juga menyentuh dan berkait rapat dengan situasi umat Islam masa kini
Nilai etika
Watak dan penceritaan dalam komik Hari-Hari Sayang Nabi juga mengandungi nilai etika dan prinsip moral yang harus dijadikan panduan dan gaya hidup.
Antara tajuk yang dipaparkan ialah Enam Hak Muslim, Bulan Puasa, Berani Bagi Tahu, Lihat Hati Bukan Paras Rupa, Bakhil bin Haloba dan Tanda Orang Munafik.
“Kesemua hadis dalam komik ini dipetik daripada buku karangan Ustaz Zahazan Mohamed yang bertajuk 300 Hadis Bimbingan Ke Arah Mencari Reda Allah. Hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim mudah difahami oleh segenap lapisan masyarakat. Paling penting hadisnya sahih.
“Pengisian utama dalam komik ini adalah mengenai akhlak, amalan mulia, akidah dan ilmu tasawuf. Saya juga melakukan banyak perubahan gaya lukisan setiap karakter kartun dalam komik ini untuk menarik minat kanak-kanak agar mereka dapat mengaitkan setiap situasi dengan diri mereka,” ujarnya yang kini merupakan seorang pelukis ilustrasi bebas.
Terbaharu, Nik Wafdi telah menerbitkan komik hadis Hari-Hari Sayang Nabi edisi kedua bersama Humaira yang telah menembusi pasaran sejak Jun lalu. Menerusi komik hadis Hari-Hari Sayang Nabi: Suburkan Iman, Tingkatkan Amalan, Nik Wafdi berkolaborasi dengan rakan lamanya di majalah Ujang iaitu Shaari Sulong, 41, atau lebih dikenali dengan gelaran Aie.
Menariknya mengenai edisi kedua komik hadis, ia menggabung cerpen, sajak dan kartun dalam buku setebal 125 muka surat. Buku tersebut tidak hanya tertumpu kepada elemen karikatur yang mengajak ke arah kebaikan tetapi ia turut menyelitkan kisah-kisah masyarakat yang diterjemah dalam bentuk penulisan cerpen.
“Siri kedua komik hadis ini merupakan cubaan pertama Aie dalam penghasilan buku dakwah. Saya banyak memberi idea penulisan sebaliknya setiap karikatur dan lukisan dalam komik ini dilukis oleh Aie. Diharap kedua-dua komik ini mampu melahirkan perasaan cinta dan sayang seluruh umat Islam kepada Rasulullah SAW,” ujarnya menutup bicara.
Pembaca boleh melihat karikatur dakwah yang dihasilkan oleh Nik Wafdi di laman Facebook dengan carian Nik Wafdi.
No comments:
Post a Comment