Friday, 7 July 2017

Tinggal bersama mayat ibu

Gambar kenangan Siti Rohana (duduk kanan) bersama suami dan dua orang anaknya yang diambil di rumahnya di Kulai baru-baru ini.
JOHOR BAHRU – Seorang lelaki tergamam apabila menemui isterinya yang ditinggalkan selama 14 jam ketika keluar bekerja telah meninggal dunia sewaktu tidur manakala dua anaknya yang baru berusia 48 hari dan 19 bulan berada di sisi mayat wanita itu.
Mayat Siti Rohana Redzuan, 36, ditemui di atas katil bersama dua anak kecil tersebut oleh lelaki itu selepas pulang daripada kerja pada pukul 8.30 malam. Dia keluar pada pukul 6.30 pagi.
Siti Rohana merupakan guru di sebuah sekolah menengah di Kulai dan sedang dalam cuti berpantang selepas melahirkan anak keduanya.
Anak sulung pasangan itu merupakan lelaki manakala yang bongsu perempuan. Ketika ditemui, dua beradik itu berada dalam keadaan jaga.
Difahamkan, ketika ditemui oleh bapanya, dua beradik itu sedang menangis hingga termuntah-muntah selepas beberapa jam tidak dijaga oleh ibunya yang telah meninggal dunia.
Terdapat seorang jiran yang mendengar tangisan dua beradik itu namun dia menganggap tidak ada apa-apa yang terjadi selepas panggilannya tidak disahut.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Razak Md. Said berkata, berdasarkan keterangan pemandu lori itu, isterinya sedang nyenyak tidur ketika dia keluar bekerja.
“Wanita itu sedang bercuti berpantang selepas melahirkan anak keduanya. Ketika ditemui, anak sulungnya berada di kiri manakala adiknya berusia 48 hari di sebelah kanan Allahyarham.
“Laporan bedah siasat mendapati punca kematian mangsa adalah disebabkan oleh paru-paru berair dan masalah jantung,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Tambahnya, kematian mangsa disahkan oleh pegawai perubatan Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai yang datang ke rumah mangsa.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

No comments:

Post a Comment