“SAYA tenang kerana saya tahu dia sudah selamat di syurga Allah. Saya bangga dengan dia,” kata Surianty Mohamed, 39, ibu kepada Muhammad Danieal Md Amin, 14, yang maut dalam tragedi pusat tahfiz, Darul Quran Ittifaqiyah, terbakar, Khamis lalu.
Muhammad Danieal adalah seorang daripada 21 pelajar tahfiz yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Batu Caves.
Ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bunut Payong, Kota Bharu, hari ini, Surianty kelihatan tenang bercerita mengenai anak sulung daripada empat beradik itu.
Katanya, dia tidak ralat kehilangan anak kesayangan yang diharapkan menjadi pembimbing keluarga kerana menyedari darjat anak itu yang sudah diangkat Allah SWT.
Malah, wanita itu juga gembira kerana arwah sempat memberitahu sudah menghafaz enam juzuk al-Quran walaupun belum sempat memperdengarkan bacaan ayat suci itu di hadapannya.
"Kelazimannya, apabila dia pulang ke sini (Kota Bharu) dia akan minta saya dengar bacaan al-Quran yang sudah dihafaznya dan dalam panggilan telefon terakhir kami sebelum kejadian itu berlaku, dia ada beritahu saya sudah dapat menghafaz juzuk keenam.
"Suaranya seperti biasa, gembira beritahu sudah dapat menghafaz selain berkata: "Umi nanti abang balik, umi dengar bacaan abang dan betulkan jika ada salah”.
"Malangnya, saya tidak sempat dengar bacaan itu. Saya reda dan tidak ada apa yang saya ralatkan lagi kerana dia sudah selamat di sisi Allah SWT. Alhamdulillah. Malah sebelum dia dikebumikan, saya sempat mengucup wajahnya sebanyak tiga kali," katanya.
Mengimbas kejadian itu, Surianty memberitahu sudah menjangkakan bakal kehilangan insan kesayangan apabila bermimpi melakukan kenduri besar-besaran kira-kira dua minggu sebelum tragedi berkenaan.
Ia kemudian disusuli dengan mimpi melihat mayat kanak-kanak yang rentung, terbaring di hadapannya, dua hari sebelum kejadian itu.
"Saya memang kerap dapat petanda dalam mimpi seperti mimpi kenduri besar-besaran itu, selalunya membawa kepada kematian dalam kalangan keluarga atau orang terdekat.
"Dua minggu sebelum itu, saya alami mimpi sama begitu selama tiga kali. Kemudian mimpi terakhir adalah melihat mayat kanak-kanak rentung terbaring di hadapan saya pada malam Selasa.
"Pada 9 pagi Khamis, kakak angkat yang tinggal di Kuala Lumpur menelefon minta tengok berita di televisyen mengenai pusat tahfiz arwah yang terbakar. Ketika itu hati saya sudah terdetik, anak saya meninggal dunia walaupun masih belum dimaklumkan statusnya.
"Saya sudah mengagaknya kerana rasa tidak sedap hati dan mimpi-mimpi berkenaan," katanya yang berhajat melakukan kenduri tahlil untuk arwah di tiga pusat tahfiz di Kota Bharu dalam masa terdekat.
Dalam kejadian Khamis lalu, pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, terbakar dipercayai akibat perbuatan khianat menyebabkan 24 orang maut termasuk dua guru.
Seramai 11 mangsa termasuk Muhammad Danieal dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Batu Caves, manakala, sembilan lagi di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang; Taman Kosas; Dato Keramat; Taman Medan, Jalan Klang Lama; Bukit Kuari, Cheras dan Puchong.
Tiga lagi jenazah masing-masing akan dikebumikan di tanah perkuburan di Paroi Jaya, Seremban (Negeri Sembilan), Pengkalan Kubur (Kelantan) dan Sungkai (Perak).
No comments:
Post a Comment