TIMBALAN Mudir (Pengetua) Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Mohammad Azhari Mahmod, 40, bersyukur apabila doanya ketika di Madinah supaya isterinya yang mengandung serta empat anaknya selamat dalam kejadian kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah dimakbulkan Allah SWT.
Ketika kejadian, Muhammad Azhari berada di Madinah selepas selesai urusan menunaikan ibadah haji di Makkah sementara isterinya yang mengandung dua bulan serta empat anaknya berada di pusat tahfiz berkenaan ketika kejadian kebakaran di Kampung Datuk Keramat, kira-kira 5.15 pagi, Khamis lalu.
Menceritakan semula kejadian, Muhammad Azhari berkata, tiga anaknya berusia 12 dan dua tahun serta sembilan bulan berjaya diselamatkan oleh pelajar yang turut menyelamatkan diri ketika kejadian.
Sementara itu, isterinya yang mengandung bersama anaknya berusia sembilan tahun berlindung di dalam bilik air sebelum diselamatkan oleh anggota bomba."Ketika menerima berita kejadian kebakaran itu di Madinah, macam-macam perasaan ketika itu. Saya sudah terasa saya akan keseorangan dan memikirkan bagaimana untuk membina semula keluarga saya dan keluarga tahfiz ini.
"Saya solat hajat di Madinah sambil menangis dan berdoa supaya isteri dan anak-anak selamat. Alhamdulillah, selepas mendapat berita mereka selamat, itulah pemberian Allah yang memakbulkan doa saya," katanya yang baru pulang ke Malaysia, semalam.
Menurut Azhari, isterinya, Siti Che Nur Hayati Che Ahmad, 30, dan seorang anaknya Siti Nur Zulaika, 9, masih trauma dan kerap termenung kerana masih teringatkan kejadian yang menimpa serta jeritan mangsa-mangsa yang terkorban.
"Isteri dan anak saya berada di tingkat tiga iaitu tempat berlaku kebakaran. Kira-kira jam 4.30 mereka bangun untuk solat sunat dan antara individu terawal menyedari berlaku kebakaran selepas melihat api 'tajam' (berpunca dari api semburan gas) di pintu masuk.
"Keadaan jadi kelam kabut. Isteri dan seorang anak saya berlindung di dalam bilik air kerana sudah menyedari api sangat marak di pintu keluar," katanya ketika ditemui di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kampung Datuk Keramat, hari ini.
Menurutnya, tiga anaknya, Siti Nur Fatimah, 12; Siti Nur Safiyah, 2; dan Siti Nur Afifah, 9 bulan, diselamatkan oleh pelajar yang turut menyelamatkan diri melalui tingkap belakang yang dipecahkan.
"Anak-anak saya dilepaskan dari atas dan disambut oleh pelajar-pelajar di bawah termasuk anak saya berusia sembilan bulan.
"Pada hari kejadian juga adalah hari terakhir anak sulung saya menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) namun dia kuat meneruskan peperiksaan itu dengan memakai baju sekolah yang dipinjam daripada saudara," katanya.
Menurutnya, isteri dan anak-anaknya kini berada di rumah yang tidak boleh dimaklumkan lokasinya dan dimaklumkan keadaan mereka stabil termasuk dua daripada mereka yang baru keluar dari hospital.
Khamis lalu, 21 pelajar dan dua warden Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah terkorban dalam kejadian kebakaran berkenaan.
Susulan daripada kejadian itu, tujuh remaja ditahan dipercayai merancang kebakaran itu dan mereka didapati positif dadah ketika ditahan.
No comments:
Post a Comment