Tuesday, 19 September 2017

Suspek datang, pura-pura tak tahu {metro}

Anngota polis mengawal lalulintas dan pergerakan orang ramai di hadapan Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yg terbakar bg memastikan kelancaran trafik dan menjaga keselamatan org ramai di Kg Datuk Keramat


BERPURA-PURA tidak mengetahui apa yang berlaku. Itu lakonan seorang daripada suspek yang dipercayai dalang kebakaran meragut 23 nyawa penghuni Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, dekat Jalan Keramat Hujung apabila kembali ke lokasi beberapa jam selepas kejadian.

Malah, suspek berusia 15 tahun itu dikatakan ke lokasi untuk melihat kesan perbuatan khianat mereka tanpa perasaan bersalah.

Lakonan mantap suspek itu nyata tidak dapat dihidu sesiapa apabila turut berbual dengan seorang pelajar tahfiz pusat itu seperti tidak mengetahui apa yang berlaku.

Pelajar tahfiz terbabit ketika ditemui mengakui tidak mengesyaki apa-apa kerana suspek terbabit memberi reaksi seperti orang ramai yang datang menyaksikan kejadian, tertanya-tanya mengenai apa yang sedang berlaku.

"Saya terjumpa dia (suspek) jam 8 pagi hari kejadian.

"Dia datang dekat saya dan tanya macam mana boleh jadi macam ni. Masa tu saya tidak syak apa-apa sampailah dapat tahu dia salah seorang yang ditahan polis," katanya ketika ditemui, hari ini.

Pelajar berkenaan bersyukur kerana terselamat kerana kebetulan pulang ke rumah keluarganya malam sebelum kejadian.

"Saya sedang tidur sebelum dikejutkan oleh ibu yang memaklumkan pusat tahfiz terbakar.

"Saya ingat ibu bergurau tetapi sebaik mengetahui kejadian itu, saya dan bapa terus ke lokasi.

"Sebaik tiba, saya dapati asrama pusat tahfiz sudah musnah. Saya tak sangka akan kehilangan ramai kawan dan ustaz (warden)," katanya.

Dalam kejadian 5.15 pagi 15 September lalu, 23 penghuni Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah terkorban selepas tingkat tiga premis itu yang menempatkan asrama terbakar.

No comments:

Post a Comment