Tuesday, 19 September 2017

Skuad berbasikal para luar biasa

Skuad berbasikal para Malaysia meraikan kejayaan menyapu bersih 5 pingat emas yg ditawarkan pada hari kedua Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 di Velodrom Nasional Malaysia di Nilai Negeri Sembilan semalam.

----------------------------------------------------------------------------------------------------------------

PASUKAN berbasikal trek para negara melakar kejutan buat kali kedua apabila sekali lagi menyapu bersih kelima-lima pi­ngat emas yang ditawarkan pada sai­ngan terakhir acara berbasikal pada Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 di Velodrom Nasional Malaysia di Nilai, Negeri Sembilan semalam.
Kejutan itu bermakna skuad yang dibimbing oleh Mohd. Johari Nayan berjaya membolot 12 pingat emas secara keseluruhan selepas terdahulu mendominasi ketujuh-tujuh acara yang dipertandingkan kelmarin.
Menurut Johari, dia serta pasukannya sama sekali tidak menyangka pasukan negara boleh menyapu bersih kesemua emas yang ditawarkan kerana hanya enam emas menjadi sasaran mereka sebelum ini.
“Saya tidak sangka kami dapat meraih kesemua emas dalam masa dua hari. Ini adalah pencapaian yang sa­ngat membanggakan lebih-lebih lagi ia kali pertama dipertandingkan pada Sukan Para ASEAN. Bagi saya, ini adalah permulaan baik untuk pa­sukan para trek negara.
“Misi kami pada acara trek telah selesai dengan jayanya dan selepas ini, kami perlu fokus kepada acara lebuh raya pula. Kita masih sasarkan empat emas pada perlumbaan Rabu dan Khamis ini serta fokus lebih ter­arah pada acara ujian masa individu.
“Tidak mustahil kita boleh me­ngulangi pencapaian sama dengan me­nyapu bersih 12 emas yang ditawarkan atau melebihi sasaran pingat yang dibuat,” katanya semalam.
Sebagai rekod, skuad berbasikal trek para negara secara rasminya sudah melepasi sasaran 10 emas secara keseluruhan apabila membolot 12 emas dalam tempoh dua hari.
Dalam perkembangan lain, kelibat bekas pemenang pingat gangsa remaja dunia 2014, Muhammad Firdaus Mohd. Zonis telah mencuri tumpuan ramai apabila dia berjaya meraih emas pertamanya pada kejohanan tersebut semalam.
Atlet berusia 21 tahun itu yang menjadi jurumudi untuk Mohd. Amin Najmi Romzi dinobatkan sebagai juara pada acara 4,000 meter kejar mengejar individu lelaki (B) apabila menamatkan perlumbaan dengan catatan satu minit 13.212 saat (s) meninggalkan rakan senegara, Mohd. Afiq Afify Rizan dan Muhammad Khairul Adha Rasol yang me­raih perak dengan kelebihan 8.514s.

No comments:

Post a Comment