Monday, 26 January 2015

Tanda peminat masih sayang saya – Zamani (kosmo)


APABILA menyentuh isu etika dan tatasusila hidup bermasyarakat, barangkali tidak adil layanan yang diberikan kepada si pesalah yang sebelah tangannya bergari diminta menyanyi walaupun bukan dengan cara paksaan.
Namun, jika diteliti kembali niat asalnya, mungkin benar jika tindakan itu dikatakan berlaku secara spontan apabila penyanyi yang selama ini dipuja dan dikagumi tiba-tiba tercongok di depan mata.
Mahu dipeluk, keterlaluan dan keadaan pula tidak mengizinkan. Maka sepotong rakaman video mendendangkan melodi berhantu milik penyanyi itu sahajalah menjadi kebanggaan.
Yang salahnya, keghairahan untuk berkongsi dengan teman-teman, keluarga dan paling jauh pun pelayar laman sosial peribadi yang turut meminati artis yang sama itu ditafsirkan menjadi sesuatu yang mengaibkan. Terbuktilah sekarang, betapa teknologi canggih boleh menjerat diri si pelaku yang tidak berfikir panjang sebelum memuat naik sesuatu video atau gambar.
Hal itulah yang berlaku kepada vokalis terkemuka, Zamani Slam ketika ditangkap pihak polis untuk membantu siasatan penyalahgunaan dadah baru-baru ini. Lebih parah kepada bahana dadah yang dikaitkan dengannya, sepotong video menunjukkan Zamani yang diminta menyanyikan lagu Gerimis Mengundang pula tersebar. Dipercayai, rakaman itu dilakukan oleh salah seorang anggota polis yang terlibat dengan operasi penangkapan Zamani.
Zamani atau nama sebenarnya, Zamani Ibrahim tidak pernah menyimpan dendam atau niat untuk memporak-perandakan periuk nasi orang lain. Dia sudah cukup matang dan sekiranya Zamani mahu memanjangkan isu tersebut, kesannya akan mendalam, malah parut kebencian terhadapnya akan bertambah parah.
Setelah empat hari direman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, Sabtu lalu, Zamani dibebaskan dengan jaminan polis tepat pukul 9.45 pagi. Zamani yang ditemani abang kandungnya, Zulfazil Ibrahim kemudian menuju ke kediaman peguamnya, Ahmad Zaharil Muhaiyar yang di terletak di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor.
Meminjam semangat mentari pagi yang membahagikan sinarnya, Zamani kelihatan bersedia menyambut kehadiran beberapa wakil media termasuk Kosmo! tanpa curiga. Tubuh cengkung terlihat tenang, bersila di satu sudut kamar di kediaman tiga tingkat itu.
 MASIH ADA TEMPAT MENGADU... Zamani ditenangkan oleh abangnya, Zulfazil Ibrahim sewaktu pertemuan dengan peguam dan media di Kota Damansara, Sabtu lalu.

Hanya menyarungkan jean, sepasang baju-T hitam berlengan pendek dan bertopi, Zamani masih ramah berbicara. Dengan wajah yang bersisa sugul dan keletihan, satu persatu butiran dari sel lokap selama empat hari yang dilalui dikongsikan Zamani. Biarpun keadaannya seperti berselubung aib, Zamani sedikit pun tidak defensif.
“Video itu bukti peminat masih sayangkan saya, mereka tetap meminta saya menyanyi untuk mereka walau bukan berada di atas pentas sekali pun. Saya tidak mahu memanjangkan cerita dan saya percaya individu terbabit pun peminat saya yang meminta untuk merakamkan saya menyanyi dengan cara baik-baik atas tujuan simpanan peribadi.
“Yang silapnya, selepas video saya menyanyikan lagu Gerimis Mengundang itu dirakam, saya tidak minta untuk melihat hasil rakaman tersebut sehingga video itu tersebar di internet dengan menampakkan tangan kanan saya bergari. Sesiapa pun tidak pernah menduga sepotong video kecoh itu boleh menyebabkan pertikaman lidah sana-sini.
“Video itu dirakam dalam keadaan saya sedang ketakutan selepas penahanan dan sedang menunggu ujian air kencing. Jujur saya katakan, penyebaran video itu sedikit sebanyak mengaibkan saya tetapi saya tidak marah kerana saya percaya individu terbabit tiada sebarang niat untuk memalukan saya atau bertujuan untuk menjatuhkan saya.
“Andai benar anda ialah peminat setia Zamani dan Slam, hentikan penyebaran video itu dan saya tiada niat untuk mengambil sebarang tindakan lanjut kerana tidak mahu menutup periuk nasi orang lain,” lentur Zamani dengan nada menggeletar.
Hamun jurugambar
Dimulakan dengan kisah tegang antara Zamani dan beberapa orang jurugambar bertugas ketika hari pertama penahanannya pada Rabu lalu, kata Zamani, ketika itu keadaan dirinya sangat kritikal. Dia ketakutan, kesejukan dan berdepan gian yang teruk.
“Saya akui ada meninggikan suara kepada petugas media, terutamanya kepada jurugambar. Pada pagi selepas saya ditangkap, saya tidak cukup tidur, gian dan apabila dibawa ke mahkamah dengan tangan bergari, badan saya kesejukan. Tambah pula suhu bilik yang ekstrem sejuk membuatkan saya tertekan dan saya meminta agar tidak dirakamkan gambar ketika itu.
“Tanpa sedar saya meninggi suara dan sehubungan itu saya memohon maaf atas kekasaran saya kepada media terbabit. Harap mereka tidak mengambil hati dan memahami situasi saya. Saya bukannya sengaja berbuat demikian,” ujar Zamani.

 ZAMANI (kiri) bersama Awie Wings ketika muncul dalam sebuah filem berjudul Bara.

Hal itu secara tidak langsung mengundang tanda tanya. Adakah mungkin Zamani mendapat layanan tidak wajar sepanjang berada dalam tempoh tahanan atau sebagai selebriti yang dikenali, mungkin ada layanan istimewa tertentu diberikan kepadanya?
“Tiada apa yang istimewa atau yang teruk. Saya dilayan sama seperti pesalah lain di dalam lokap. Mereka adil dan saksama, malah menjalankan tugas dengan amanah. Begitu juga makan minum dan tidur saya, semuanya sama seperti orang lain,” katanya yang diletakkan bersama tiga pesalah lain di dalam satu sel lokap.
Walaupun dibebaskan, prosedur yang membabitkan Zamani dan rakan wanitanya yang ditangkap bersama pada 21 Januari lalu masih belum selesai. Zamani akan ke mahkamah pada Selasa ini (esok) untuk menyambung keterangan berhubung kes penyalahgunaan dadah. Terdahulu, menerusi ujian air kencing yang dijalankan, Zamani didapati positif dadah jenis morfin.
10 tahun dibelenggu dadah
Melahirkan rasa syukur diberikan peluang untuk kembali ke pangkuan keluarganya, Zamani bagaimanapun akur dengan keputusan mahkamah ke atasnya.
“Saya lega dapat keluar, namun sedih melihatkan keadaan keluarga saya terutama abang dan pengurus peribadi saya yang telah banyak bersusah payah. Respons daripada peminat juga membuatkan saya tersentuh. Dalam keadaan sebegini, saya fikir peminat akan membenci, mencemuh dan memulaukan saya, namun lain pula jadinya.
“Salah tetap salah dan saya sudah mengaku bersalah. Apa pun, saya bersyukur dengan setiap keputusan yang akan dijatuhkan terhadap saya kelak,” tambah pemilik trofi Persembahan Vokal Lelaki Terbaik, Anugerah Industri Muzik keempat itu.
Pada masa yang sama, Zamani bagaimanapun enggan menabur janji untuk berubah menjadi insan yang lebih baik dan menjauhi najis dadah.
Demi memulihkan ketagihan yang dialaminya sejak 10 tahun lalu, Zamani akan melakukan rawatan perubatan secara moden dan tradisional.
“Insya-Allah saya akan berusaha untuk berubat dan masuk ke pusat pemulihan dadah selepas segalanya selesai. Bukan mudah untuk berjanji kerana saya tahu betapa susahnya untuk pulih daripada dadah. Namun, saya akan cuba sedaya upaya dengan bantuan keluarga.
“Sebelum ini, saya sudah dua kali masuk ke pusat pemulihan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) iaitu di Port Dickson, Negeri Sembilan pada 2010 dan di Ampang, Kuala Lumpur pada 2012, namun gagal untuk pulih sepenuhnya. Sebagai orang yang dikenali umum, situasi itu menyukarkan saya pergi ke pusat pemulihan tanpa diketahui ramai.
“Saya akui malu untuk ke sana dan takut dengan tanggapan orang ramai. Sekarang orang semua sudah tahu dan secara tidak langsung lebih memudahkan saya untuk mendapatkan rawatan pemulihan,” jelas pemilik vokal emas itu.
Kuasa peminat, sokongan Slam
Secara kebetulan, sepanjang tempoh penahanan, Zamani tidak terikat dengan sebarang aktiviti nyanyian. Kali terakhir dia membuat persembahan ialah sekitar seminggu sebelum ditahan pihak berkuasa.
“Selama ini saya lebih banyak berdiam diri. Saya tidak menyangka bahawa peminat masih menyokong saya. Saya tidak bermaksud mahu mengambil kesempatan atas kekecohan yang berlaku, apatah lagi untuk meraih simpati, saya pun malu jadi begini.
“Kejadian yang berlaku membuktikan masih ramai peminat yang sayangkan saya walaupun saya sudah tersilap langkah. Sepanjang berada di dalam lokap, saya sering memikirkan penerimaan masyarakat terhadap saya. Mungkin ini penamat kerjaya saya, namun ternyata saya silap. Merekalah (peminat) makanan semangat saya dan semakin hari saya semakin kuat,” getusnya.
Zamani mengerti andai selepas ini tiada lagi tawaran untuknya menyanyi kerana masalah yang dibikin sendiri. Katanya: “Saya sudah bersedia. Kalau ada penganjur yang mahu membatalkan jemputan nyanyian saya selepas ini, saya memahami dan menghormati hak mereka. Saya menyerahkan urusan karier kepada pihak pengurusan. Segan memang segan tetapi menyanyi itulah periuk nasi yang saya perlu hadap setiap hari.”
Sokongan untuk Zamani sudah pasti datang daripada anggota kumpulan Slam sendiri iaitu Shah Nizam Abdul Halim (gitaris), Lili Masrani (bass), Eddie Ahmad (keyboard), Razak Bajuri (gitaris) dan Osman Khalid (dram). Bagi Zamani, persaudaraan dan permuafakatan mereka satu kumpulan masih kekal sehingga ke hari ini.
“Memang sudah lama kami tidak berjumpa, mereka pastinya sentiasa ada di belakang saya, menyokong saya. Apatah lagi ketika situasi sebegini,” simpul Zamani yang ternyata masih mendapat sokongan daripada ketua kumpulan Slam, Shah.
Shah tidak pernah lokek berkongsi maklumat dan pandangan terhadap Zamani saat diminta oleh media.
Sepertimana lirik puitis dalam lagu Gerimis Mengundang ‘hanya aku separuh nyawa menahan sebak di dada’, begitu perasaan yang dirasai ketika akhir pertemuan bersama Zamani.
Benar kata pujangga, ‘kadangkala Tuhan hilangkan seketika mentari, kemudian didatangkan guruh dan petir. Puas kita mencari ke mana hilangnya mentari itu sehingga muncul pelangi indah menyerikan seluruh alam’.

Saturday, 24 January 2015

‘Saya maafkan’ (Harian Metro)

Kuala Lumpur: Bekas penyanyi Slam, Zamani Ibrahim, 43, memaafkan pihak yang bertanggungjawab merakam dan menyebar video dia disuruh menyanyi dalam keadaan tangan bergari ketika ditahan, baru-baru ini.


Abangnya, Zulfazil, 50, berkata, permintaan itu dilakukan Zamani sendiri ketika dia berjumpa dengan penyanyi itu di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang, di sini, 3.30 petang tadi.
“Dia takkan ambil apa-apa tindakan. Walaupun terkejut dengan keputusan Zamani tetapi saya bangga dengan tindakannya itu.

“Dia juga nampak sihat dan bersemangat kerana tahu ramai yang bersimpati dengannya berikutan kejadian itu,” katanya.

Zulfazil hadir ke IPD Ampang ditemani Presiden KARYAWAN Datuk Freddie Fernandez dan pengurus Zamani, Johan Aziz.

Zulfazil berkata, Zamani hanya tahu video berkenaan menjadi ‘viral’ selepas diberitahu Johan dalam pertemuan mereka petang tadi.

“Ketika bertemu saya tadi, dia bertanya sama ada penyebaran video itu serius atau tidak. Saya katakan ia serius kerana sudah menjadi viral di Internet serta menerusi aplikasi WhatsApp,” katanya.
Zulfazil berkata, dia yang mewakili keluarganya juga tidak akan mengambil tindakan kerana menghormati keputusan Zamani itu serta menyerahkannya kepada pihak polis.

Pemergian Mohammad Azlan sukar dicari ganti (SinarHarian)

Menteri Belia Dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengusung jenazah atlet paralimpik Mohammad Azlan Mat Lazim ke dalam van jenazah di bilik mayat Hospital Serdang bagi di bawa ke Kemaman, Terengganu untuk dikebumikan malam ini. - Foto Bernama Menteri Belia Dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengusung jenazah atlet paralimpik Mohammad Azlan Mat Lazim ke dalam van jenazah di bilik mayat Hospital Serdang bagi di bawa ke Kemaman, Terengganu untuk dikebumikan malam ini. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Pemergian atlet paralimpik negara, Mohammad Azlan Mat Lazim yang maut dalam kemalangan jalan raya di Serdang Raya dekat sini hari ini, disifatkan beberapa rakan sepelatih sebagai sukar dicari ganti.
   
Atlet rejam lembing paralimpik, Faridul Masri, 34, berkata beliau menganggap Allahyarham sebagai adik sendiri kerana sentiasa bersamanya terutama ketika menjalani latihan di padang Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil.
   
Beliau mengenali Allahyarham sejak 2012 ketika terpilih menyertai Program Paralimpik MSN.
   
"Walaupun dia seperti seorang yang spastik, Azlan peramah dengan semua orang ... kami baru selesai menjalani latihan pagi tadi dan tidak menyangka arwah terlibat dengan kemalangan jaya raya," katanya ketika ditemui pemberita di Rumah Mayat Hospital Serdang.
   
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dan Penaung Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Tun Jeanne Abdullah turut menziarahi jenazah Allahyarham.  
   
Berkongsi pandangan sama ialah atlet lontar peluru paralimpik negara, Addevih Majuvin, 33, yang berkata Allahyarham seorang individu yang tebal dengan sifat setiakawan dan sentiasa membantu rakan dalam kesusahan.
   
Anak jati Sabah yang menyertai Program Paralimpik MSN pada 2011 berkata: "Bila dia (Mohammad Azlan) sudah tiada, saya berasa agak sunyi kerana boleh dikatakan kami agak rapat terutama apabila turun berlatih sekali.
   
"Paling saya tidak boleh lupakan adalah kejayaan cemerlang Allahyarham meraih tiga pingat emas pada Sukan Para Asia 2014 di Korea Selatan," katanya yang turut beraksi dalam acara lempar cakera.
   
Mohammad Azlan, 24, terbunuh selepas motosikal yang ditungganginya bersama atlet lompat jauh paralimpik Farisan Jasna, 25, dilaporkan dilanggar sebuah van yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 43 tahun.
   
Kejadian kira-kira 1.45 tengah hari itu menyaksikan Mohammad Azlan meninggal dunia di tempat kejadian manakala Farisan mengalami keretakan di tangan kanan dan kini dirawat di Hospital Serdang. - Bernama

  pic gugel
Mohammad Azlan Mat Lazim <<< pic Utusan (*rasanya pic ini masa anugerah maulidul rasul 2015 baru2 ni)





Pemergian Mohamad Azlan Kehilangan Besar Buat Negara - Khairy (malaysiandigest)

KJ tidak dpt menahan sebak ketika bersama keluarga  Allahyarham  Azlan Mat Lazim  atlet paralimpik  negara/Foto: Twitter TV3 KJ tidak dpt menahan sebak ketika bersama keluarga Allahyarham Azlan Mat Lazim atlet paralimpik negara/Foto: Twitter TV3
SERDANG: Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar cukup terkesan dengan kehilangan wira paralimpik olahraga negara, Mohamad Azlan Mat Lazim yang maut akibat kemalangan jalan raya, hari ini.
Khairy jelas tidak mampu menahan sebak ketika berhadapan media dengan arwah Mohamad Azlan yang juga pemenang tiga pingat emas Sukan Para Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan digambarkan bintang sukan yang berpotensi cerah mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.
Malah pemergian atlet kelahiran Kemaman, Terengganu itu dianggap satu kehilangan yang besar buat sukan di Malaysia.
"Azlan adalah idola bagi sukan negara terutama sukan paralimpik. Sekalipun arwah baru saja masuk dalam sistem MSN (Majlis Sukan Negara) pada 2012, tapi kita sudah kenal pastinya sebagai bintang harapan dan sedang dilatih untuk Kejohanan Dunia tahun ini serta Sukan Olimpik di Rio, Brazil tahun depan.
"Negara kehilangan atlet yang hebat, yang mempunyai masa depan yang cerah," kata Khairy yang menjadi antara kenamaan pertama yang hadir ke hospital.
Pada kejadian yang dilaporkan berlaku pada 1.45 tengah hari tadi, Mohamad Azlan, 24, dikatakan membonceng motosikal bersama rakan yang juga atlet paralimpik negara, Farisan Jasna dalam perjalanan pulang dari makan tengah hari sebelum terbabit nahas itu.
Farisan, 25, dalam pada itu mengalami kecederaan patah tulang lengan kanan dan sedang menerima rawatan lanjut di hospital.
Dalam pada itu, Khairy turut menyifatkan arwah Mohamad Azlan sebagai ceria, ramah dan sentiasa tersenyum ketika mengimbas kali terakhir dia bertemu arwah Azlan sebelum kontinjen negara bergerak ke Incheon.
"Kali terakhir saya berjumpa dengan arwah ialah sebelum ke Sukan Asia dan seperti biasa, perwatakannya ceria, ramah dan sentiasa senyum.
"Arwah juga berjanji kepada saya yang dia akan membawa pulang tiga pingat emas. Menurut ibu saudaranya, dia juga anak yang baik dan sentiasa membantu ibu dan bapanya di kampung," katanya.
Pada temasya di Incheon, arwah meraih tiga pingat emas pada temasya itu menerusi acara 100 meter lelaki, 200 meter lelaki dan 400 meter lelaki dalam kategori kecacatan T38.
Selain itu, Mohamad Azlan juga dinobatkan pemenang Anugerah Sukan Terengganu (AST) 2013/2014 kategori Anugerah Khas Paralimpiad.
Difahamkan, arwah Mohammad Azlan Akan dikebumikan malam ini di negeri kelahirannya, Terengganu.

Atlet Paralimpik Mohammad Azlan Meninggal Akibat Kemalangan (Bernama)

Atlet Paralimpik Mohammad Azlan Meninggal Akibat Kemalangan

KUALA LUMPUR, 24 Jan (Bernama) -- Pemenang tiga pingat emas Sukan Para Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan Mohammad Azlan Mat Lazim meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di Serdang Raya dekat sini, hari ini.

Pengarah Cawangan Paralimpik Majlis Sukan Negara (MSN) Mohd Safrushahar Yusoff ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian itu yang turut melibatkan seorang lagi atlet lompat jauh paralimpik, Farisan Jasna.

Mohammad Azlan 24, yang juga juara pecut Sukan Para Asia dan Farisan 25, yang tinggal di asrama MSN, dikatakan menunggang motosikal untuk ke tempat riadah sempena cuti hujung minggu setelah berehat dari sesi latihan.

"Saya difahamkan motosikal ditunggangi Mohammad Azlan dan Farisan kemalangan dengan sebuah van. Mohammad Azlan dikatakan meninggal di tempat kejadian manakala Farisan dibawa ke Hospital Serdang untuk rawatan lanjut.

"Mayat Mohammad Azlan juga dibawa ke Hospital Serdang," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd Safrushahar juga melahirkan rasa sedihnya di atas kehilangan atlet paralimpik itu yang cemerlang dan merupakan ikon harapan negara ke Sukan Paralimpik di Rio 2016.



"Ini satu kehilangan besar...apa lagi yang boleh saya katakan. Sasaran utama Azlan sendiri mahu meraih emas di Kejohanan Dunia di Dubai, seterusnya meraih mata untuk melayakkan dirinya ke Sukan Paralimpik di Rio," tambahnya.

Beliau berkata motosikal yang dinaiki Mohammad Azlan dan Farisan dibeli daripada insentif kewangan hasil kemenangannya di Incheon.

Pada temasya Para Asia di Incheon Oktober tahun lepas, Mohammad Azlan, 24, yang berasal dari Kemaman, Terengganu menampilkan aksi cemerlang dengan membawa pulang tiga emas menerusi acara 100 meter, 200m dan 400m lelaki dalam kategori kecacatan T38 dan T36.

Farisan, yang berasal dari Sarawak, merupakan atlet lompat jauh kategori kecacatan T37 yang memenangi pingat emas di Sukan SEA 2013 Nay Pyi Taw, Myanmar.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serdang ACP Razimi Ahmad berkata kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal yang dinaiki kedua-dua mangsa dilanggar oleh sebuah van jenis Toyota Hiace yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 43 tahun.

Pemandu terbabit berasal dari Taman Maluri, Cheras di sini.

Beliau berkata mayat Mohammad Azlan telah dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.

"Mangsa yang meninggal berasal dari Kampung Batu 3 Jalan Air Putih, Kemaman, Terengganu, manakala maklumat mengenai rakannya tidak diperoleh kerana telah dibawa oleh ambulans ke Hospital Serdang untuk mendapatkan rawatan," katanya ketika dihubungi.

-- BERNAMA

Tuesday, 20 January 2015

Kau yang teristimewa (Hmetro)

Kuala Lumpur: Kebanyakan Orang Kurang Upaya (OKU) mempunyai 'intrinsic motivation' atau motivasi dalaman yang jauh lebih tinggi berbanding manusia normal, menyebabkan mereka tabah dan berupaya melakukan sesuatu di luar jangkaan.
Itu pandangan pakar motivasi yang jugapemilik Klinik Hushim Motivation and Counselling Consultancy, Hushim Salleh mengenai semangat juang ditonjolkan beberapa individu OKU yang mendapat perhatian masyarakat baru-baru ini.

 Semangat Raja Shamri, Amanda dan Azmi yang perlu dijadikan contoh. -  

Antaranya, kisah Ainaa Amanda Shahzali, 7, kanak-kanak kudung pergelangan tangan kanan di Kedah yang bersemangat untuk ke sekolah meskipun diejek rakan dan kisah Raja Shamri Raja Husin, 39, pakar motivasi kudung kaki kanan yang mengerah kudrat membantu mangsa banjir, malah nyaris lemas ketika menghantar bantuan banjir di Hospital Kuala Krai.

"OKU walaupun kadangkala dipandang rendah, mereka ini ada satu sifat enggan mengaku kalah yang sudah sebati dalam diri kerana sedar jika putus asa maka sukar bagi mereka untuk meneruskan kehidupan," katanya ketika dihubungi hari ini.


Justeru, katanya, golongan itu akan terus mencuba apa jua yang lazimnya dilakukan oleh individu sempurna dan jika gagal, mereka akan bangkit dan cuba melakukannya semula sehingga berjaya.
"Mereka ini juga mempunyai ketahanan mental yang kuat. Sebagai contoh, pasangan suami isteri cacat fizikal yang berniaga di pasar malam Pantai Dalam seperti yang dilaporkan Harian Metro baru-baru ini.

"Bayangkan ambil masa sejam jalan kaki ke tempat mencari rezeki yang lazimnya 10 minit bagi orang normal. Ini satu tamparan bagi individu lain yang mempunyai tubuh badan sempurna," katanya lagi.
Selain itu katanya, OKU juga bijak menggunakan bakat yang dikurniakan Tuhan untuk mengubah nasib mereka, seperti kumpulan Caliph Buskers terutama penyanyinya Azmi Saat yang membuat persembahan untuk kumpulan Mojo di malam akhir Anugerah Juara Lagu Ke-29 (AJL29) sehingga mendapat ‘standing ovation’ daripada lebih 15,000 penonton Ahad lalu

Justeru itu, Hushim berkata masyarakat perlu mengambil iktibar kisah kesungguhan OKU yang mendapat liputan meluas sebelum ini untuk dijadikan motivasi pada masa depan.

"Saya seru seluruh rakyat Malaysia, khususnya yang rapat dengan OKU agar teruskan beri semangat kepada mereka dan jangan sekali-kali kita merendahkan golongan ini kerana mereka juga punya hati dan perasaan.

"Beri mereka peluang untuk meneruskan kehidupan seperti insan lain," katanya.


Monday, 19 January 2015

Anugerah Juara Lagu -29


Nurfarahin Md Ilyas Org malaysia smua kolot nak lagu yg tarik2 suara tinggi je pastu nak suara rock2 je jadi juara.pastu dorang nak lirik lagu yg putus cinta,jumpa kekasih baru..sepesen camtu je dia nak.kena ingat ni pertandingan lagu.bukan pertandingan nyanyian atau vokal.irama,melody yg unik dan bagus akan jadi peranan penting dinobat sbgai juara.lirik pun memang penuh makna..bila baca balik lirik joe flizzow tulis ni mmg sayu je dan sebak.penuh makna tersirat....
  •  Roslina Ismail Ada yang lebih layak jadi JUARA. lagu ni tak mendidik. Lirik tak nampak moralnya ... KOSONG. Sorry to say. Nak lihat bagaimana moral & selera sosial zaman, inilah contohnya.
    Like · Reply · 4 · 11 hrs