SEBAGAI seorang pencinta haiwan, Nur Aqilah Darudzaman memang gemar ke zoo. Sekiranya tempat yang ditujui mempunyai zoo, Nur Aqilah pasti tidak akan melepaskan peluang melapangkan masa menjenguk haiwan-haiwan di zoo tersebut. Zoo Negara di Hulu Klang, Selangor misalnya, antara ‘penginapan’ haiwan paling digemari wanita berusia 26 tahun itu.
Memori pertamanya tentang Zoo Negara dirakam seawal umur empat tahun. Ketika itu, pelawat masih berpeluang bergambar bersama Orang Utan. Masih terasa bebanan tangan salah seekor Orang Utan yang melingkari bahu kecilnya ketika itu. Menginjak dewasa, dia kembali ke Zoo Negara untuk beberapa kali bagi melihat haiwan-haiwan kegemarannya terutama zirafah.
Keredupan panorama zoo yang dipayungi pohon-pohon besar itu juga memberi kenyamanan kepada Nur Aqilah untuk berjalan kaki dari seksyen ke seksyen. Zoo berkeluasan 44 hektar itu bagaikan satu balapan senaman kepada pekerja swasta itu, cuma ia diceriakan flora dan fauna yang menjadi penyembuh kepada keletihan berjalan. Di situ juga, Nur Aqilah bertemu janji bersama teman lelaki yang kini suaminya. Pada awal perkenalan, mereka pernah merancang untuk menjalankan sesi fotografi praperkahwinan di Zoo Negara.
“Obsesi saya terhadap zoo tidak terhenti di situ. Selepas tamat belajar, saya pernah mencari-cari kerja menerusi laman web Zoo Negara kerana keinginan bekerja dengan haiwan sangat kuat. Pernah juga timbul penyesalan kerana tidak mengambil jurusan zoologi,” imbas Nur Aqilah yang berpendapat bahawa keluasan Zoo Negara kini sudah mencukupi, tetapi memerlukan penambahan bilangan haiwan kerana kebanyakannya ditempatkan secara berpasangan.
HUTSON (kanan) dan Ismail mendukung tiga ekor anak Orang Utan bernama Jacko, Suzan dan Jane.
Berkomunikasi
Selain berharap untuk dibenarkan berkomunikasi secara langsung bersama haiwan seperti waktu dahulu, Nur Aqilah juga mengimpikan peluang untuk pelawat bermain bersama anak harimau dan anak singa. Dia juga mengidamkan keberadaan koala di Zoo Negara yang merupakan haiwan ikonik Australia itu.
Nur Aqilah merupakan antara jutaan rakyat Malaysia yang pernah mencipta kenangan manis di Zoo Negara. Sejak pintunya dibuka kepada umum secara rasmi pada 14 November 1963, Zoo Negara telah menerima kunjungan lebih 37 juta pelawat sehingga tahun 2010. Dua tahun lalu, genap 50 tahun destinasi pelancongan awal negara itu beroperasi. Bermula dengan tiga jenis haiwan iaitu Orang Utan, buaya dan singa, Zoo Negara kini menjadi kediaman kepada lebih 5,000 ekor haiwan daripada 500 spesies.
Diilhamkan oleh Perdana Menteri pertama Malaysia, Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, Zoo Negara dibangunkan oleh Tan Sri Victor Massy Hutson yang juga memelihara seekor harimau Malaya bernama Nicky, lapan ekor buaya air masin dan tiga ekor Orang Utan (Jacko, Suzan dan Jane) di laman rumahnya seluas dua hektar. Pada awalnya, Tunku Abdul Rahman mencadangkan zoo itu didirikan di Tasik Perdana, Kuala Lumpur, tetapi selepas mengambil kira pembangunan mendatang di lokasi tersebut, Taman Rimba Templer, Selangor pula menjadi sebutan.
Akhirnya, sebidang tanah milik kerajaan negeri Selangor di Hulu Klang dipilih. Tasik buatan dihasilkan dan menggunakan kira-kira 1.5 hektar kawasan, haiwan-haiwan kepunyaan peribadi Hutson dibawa masuk menjadi penghuni terawal Zoo Negara. Allahyarham Datuk Ismail Hutson, salah seorang daripada tiga anak angkat Hutson sendiri memikul buaya dan mendukung anak singa ketika operasi perpindahan pertama dilaksanakan. Difahamkan, kesemua haiwan itu sangat jinak dengan Ismail kerana telah dipelihara sejak kecil.
Selepas bersetuju menggunakan nama Zoo Negara, Persatuan Zoologi Malaysia (MZS) kemudiannya ditubuhkan bagi memenuhi objektif utamanya terhadap menguruskan zoo pertama di dalam negara itu. Ketiadaan modal bagi melaksanakan projek Zoo Negara di bawah pelan kerajaan ketika itu juga mendorong kepada penubuhan MZS.
DUA ekor panda yang dibawa masuk ke Zoo Negara pada pertengahan tahun lalu menjadi simbol persahabatan antara Malaysia-China.
Bantuan
Mujur banyak badan bukan kerajaan (NGO) menghulur bantuan dalam pelbagai bentuk termasuk pembiayaan operasi penangkapan haiwan di Afrika.
“Zirafah antara haiwan yang kami tangkap sendiri di Afrika. Malah, kesemua zirafah di zoo-zoo di seluruh Malaysia datangnya dari Zoo Negara. Pada awal pembukaannya, Zoo Negara meraih populariti luar biasa. Kita pernah menjangkau 12,000 hingga 13,000 pelawat sehari kerana pada masa itu, belum wujud sebarang taman tema dan pusat beli-belah juga masih kurang.
“Sekarang orang mempunyai banyak pilihan lokasi bersiar-siar pada hujung minggu dan musim cuti sekolah. Kita tidak mampu mengulangi kunjungan seramai itu setakat ini dan paling banyak pun adalah ketika musim perayaan yang hampir mencecah 10,000 orang sehari,” ujar Timbalan Presiden Zoo Negara, Rosly@Rahmat Ahmat Lana ketika ditemui Kosmo!.
Kegemilangan Zoo Negara dapat dilihat sekitar tahun 1980-an dan 1990-an, saat KFC membuka restorannya di dalam zoo tersebut. Iklan di kaca televisyen dan promosi besar-besaran melibatkan restoran makanan segera itu dan Zoo Negara juga melonjakkan kedatangan pelawat sehingga ia mampu mencatatkan kunjungan seramai 1.2 juta orang setahun. Namun, apabila KFC menutup restorannya pada tahun 2001, ditambah dengan kekangan modal untuk tujuan penambahbaikan infrastruktur, tarikan Zoo Negara semakin luntur.
Kemelut kewangan Zoo Negara menjadi bualan. Kontroversi tentang desakan penduduk sekitarnya agar lokasinya dipindahkan turut menghimpit ikon liburan masyarakat itu. Hanya selepas dua ekor panda dari China, Fu Wa dan Feng Yi dibawa masuk pada pertengahan tahun lalu, imejnya diperbaharui, Zoo Negara kembali meniti di bibir orang tempatan. Justeru, perancangan masa depan kembali rancak dilaksanakan.
Sempena kedatangan haiwan simbol persahabatan Malaysia-China itu, kerajaan telah mengeluarkan belanja bagi membantu Zoo Negara mencantikkan beberapa seksyen termasuk pintu masuk utama, kandang gajah, Orang Utan dan badak air.
Menurut Rosly, populariti panda pasti menurun dalam tempoh beberapa tahun mendatang dan tempohnya di Zoo Negara hanyalah selama sedekad sebelum ia dikembalikan ke China. Bagi mengekalkan momentum tarikan dalam kalangan orang ramai, beberapa haiwan berprofil tinggi seperti komodo, panda merah (China), burung cenderawasih (Indonesia) dan monyet emas (golden monkey) sedang dalam perancangan untuk dibawa masuk ke Zoo Negara.
Sejenis spesies itik yang telah pupus di benua Asia juga bakal diterima Zoo Negara bagi tujuan pembiakbakaan. Kepulangan itik itu ke habitat asalnya berjaya direalisasikan selepas ia ditemui di Slovakia dan dibiakbaka di negara tersebut. Selain itu, setiap haiwan berprofil tinggi seperti gajah, harimau, beruang matahari, tapir dan Orang Utan akan diraikan mengikut hari jadinya.
No comments:
Post a Comment