WAJAH Ciara Natasia, 15, kelihatan sugul saat mendengar berita mengenai nahas yang berlaku terhadap pesawat AirAsia penerbangan QZ8501 yang turut dinaiki seluruh ahli keluarganya pada Ahad lalu. Sambil mendakap potret keluarga, air matanya menitis laju disertai dengan tangisan hiba.
Kedua-dua ibu bapanya, Heru Mantotanus dan Indah Juliansih serta dua orang adik-beradiknya Niko Geovoni serta Justin Geovani merupakan antara mangsa nahas pesawat malang tersebut.
Sambil ditemani ibu saudaranya, Linda Mantotanus, dia duduk di sebuah bangku di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Indonesia bersama beberapa orang waris mangsa yang lain.
Menurut Linda, mereka sekeluarga tidak mengetahui adik lelakinya, Heru dan keluarga berada di dalam kapal terbang tersebut.
“Saya memang tahu Heru sekeluarga menghantar anak lelakinya kembali ke sekolah di Singapura menaiki pesawat AirAsia. Namun, kami tidak mengetahui mereka berada di dalam pesawat tersebut.
“Petang Ahad lalu, anak saya menelefon dan memberitahu pesawat yang terhempas itu merupakan pesawat yang dinaiki oleh keluarga Natasia. Pada mulanya saya enggan percaya tetapi setelah membuat pemeriksaan, ternyata ia benar,” jelasnya.
Dalam pada itu, waris seorang kru pesawat, Haidar Fauzi, 60, menyifatkan kejadian tersebut telah ditentukan oleh Allah dan semua pihak harus bersabar dan menerima dengan hati yang terbuka.
“Ya, pasrah, sedih tetapi kami sekeluarga sudah mengetahui ini risiko yang perlu kami terima jika anak bekerja sebagai seorang pramugari dan terlibat dengan syarikat penerbangan.
“Kami sentiasa mendoakan keselamatannya tetapi kematian itu ada di mana-mana sahaja,” kata bapa Hairunnisa, 22, pramugari pesawat tersebut.
Ahad lalu, orang ramai digemparkan dengan berita mengenai kehilangan pesawat AirAsia QZ8501 laluan Surabaya-Singapura. Pesawat yang membawa 155 orang penumpang serta tujuh orang anak kapal itu dilaporkan hilang selepas 42 minit berlepas dari Surabaya menuju ke Singapura.
Pesawat Airbus A320-200 yang berlepas dari Surabaya, Indonesia pada pukul 5.20 pagi itu dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Changi, Singapura pada pukul 8.30 pagi hari yang sama.
Ciara Natasia kelihatan sugul sambil memegang potret keluarga yang menjadi mangsa nahas.
Misi mencari
Direktor Keselamatan dan Penerbangan Indonesia, Wisnu Darjono berkata, sebelum kehilangan pesawat AirAsia QZ8501 dilaporkan, juruterbang ada memberi isyarat untuk menukar laluan daripada pusat kawalan trafik udara (ATC).
“Keadaan laluan trafik udara pada waktu itu sangat padat kerana terdapat enam pesawat yang lain turut menggunakan laluan yang sama pada waktu tersebut.
“Pada pukul 7.12 pagi juruterbangnya, Kapten Iriyanto meminta untuk naik pada ketinggian 38,000 kaki (11,582 meter) daripada kedudukan asalnya iaitu 32,000 kaki (9,754 meter), namun ATC memintanya untuk menunggu seketika kerana laluan yang begitu sesak. Bagaimanapun, pada pukul 7.18 pagi, menara kawalan memberi isyarat membenarkan pesawat tersebut menaiki ketinggian yang diminta tetapi tiada maklum balas diterima,” katanya.
Menurutnya walaupun AirAsia QZ8501 tidak memberi sebarang maklum balas, namun ia masih boleh dipantau melalui radar dari menara kawalan.
Bagaimanapun, pesawat itu gagal dikesan oleh radar ATC mulai pukul 8.18 pagi sebelum diisytiharkan hilang pada pukul 8.55 pagi.
Lantas dengan kehilangan tersebut, misi gerakan mencari pesawat mula dijalankan.
Anggota Perhubungan Udara Kementerian Perhubungan, Djoko Murjatmojo berkata, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menemui beberapa serpihan di perairan Laut Jawa yang dipercayai milik pesawat tersebut.
“Hasil daripada misi pencarian ini, kami menemui tiga serpihan berwarna merah dan putih yang merupakan simbolik kepada warna badan pesawat AirAsia di sekitar kawasan Pangkalan Bun, Kalimantan Tengah.
“Ketiga-tiga serpihan tersebut ditemui pada jarak yang berdekatan antara satu sama lain,” jelasnya.
Misteri kehilangan pesawat QZ8501 bagaimanapun terungkai selepas tiga hari pencarian dilakukan dengan penemuan tiga mayat pada Selasa lalu.
Kesemua mayat tersebut kini ditempatkan di Hospital Bhayangkara untuk menjalani proses bedah siasat dan pengenalan identiti.
Mayat salah seorang mangsa dibawa ke Surabaya.
Teori
Nahas yang melibatkan pesawat tersebut dipercayai bermula apabila juruterbang cuba mengelak awan kumulonimbus yang terbentuk disebabkan oleh keadaan cuaca buruk.
Menurut Ketua Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik Indonesia, Aandi Eka Satya, gumpalan awan tersebut selalunya cuba dielak oleh juruterbang kerana bentuknya yang tebal dan mengandungi petir dan angin.
“Juruterbang seboleh-bolehnya akan cuba mengelak daripada memasuki gumpalan awan tersebut. Ini kerana, bentuknya yang tebal dan berombak akan menyebabkan pesawat berada dalam keadaan tidak stabil dan bergoncang apabila merempuhnya.
“Daripada lokasi kejadian, memang terdapat awan jenis kumulonimbus yang tebal dan kami dapati awan tersebut berada di sekitar kawasan Belitung sehingga Kalimantan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Direktor Utama Penerbangan Indonesia, Bambang Cahyono berkata, pada waktu kejadian, terdapat enam pesawat bersama QZ8501 yang meminta izin naik daripada ketinggian 32,000 kaki ke 38,000 kaki untuk mengelakkan daripada kumpulan awan yang berisi hujan besar itu.
“Kebetulan pesawat Garuda Indonesia, Lion Air, Emirates dan yang lain-lain turut meminta izin untuk naik ke paras yang sama diminta oleh pesawat QZ8501.
“Disebabkan pada waktu itu pesawat Garuda berada di kedudukan tersebut, QZ8501 tidak dapat menaiki pada ketinggian yang dimintanya sehingga menyebabkan pesawat tersebut terhempas di lautan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Dekan Fakulti Kejuruteraan dan Aeroangkasa Institut Teknologi Bandung, Djoko Sardjadi berkata, pesawat dipercayai sudah memasuki awan ketika juruterbang menunggu kebenaran ATC Bandara Soekarno-Hatta untuk menaikkan altitud pesawat daripada 32,000 kaki kepada 38,000 kaki.
“Ketika memasuki awan Kumulonimbus yang mungkin mengandungi ais selain hujan dan petir, ia menyebabkan berlakunya gegaran yang teruk.
“Perkara tersebut berkemungkinan menyebabkan pesawat terumbang-ambing, enjin mati dengan sendiri sehingga juruterbang sukar mengawal pesawat yang dipandunya. Pesawat mungkin melayang sehingga menyentuh permukaan air secara pandu automatik,” jelasnya.
Mengandaikan pesawat tidak jatuh secara terjunam, Djoko berkata, badan pesawat itu tidak mengalami hentaman dahsyat dan besar kemungkinan hanya bahagian bawah pesawat yang rosak.
No comments:
Post a Comment