ZURICH, Switzerland Pemenang anugerah Ballon d’Or 2014, Cristiano Ronaldo mengakui dia sangat merindui bekas pengurus Manchester United, Alex Ferguson serta peminat-peminat setia The Red Devils meskipun mendedahkan mahu memenangi lebih banyak trofi buat Real Madrid.
Jelas Ronaldo, dia memberikan pujian kepada pengendali Scotland itu kerana membantunya untuk mencapai kualiti pada tahap tertinggi sekarang ini dan seperti biasa, Ronaldo juga memberitahu bahawa dia tidak menolak kemungkinan bahawa akan kembali pulang ke Old Trafford pada suatu hari nanti.
Ronaldo yang telah menghabiskan enam musim bersama The Red Devils, berkata: “Saya sentiasa memikirkan mengenai United. Ia adalah permulaan terbaik dalam karier saya dan saya tahu peminat-peminat United masih memberikan sokongan kepada saya. Saya masih belum menerima apa-apa mesej daripada Ferguson tetapi saya kerap menghubunginya.
“Beliau memberitahu saya supaya berusaha dengan lebih gigih dan saya masih ingat lagi pujiannya, ‘Ronaldo, kamu kini adalah pemain terbaik. Jadi, jangan terlalu bekerja keras sehingga merosakkan diri sendiri’. Ferguson adalah seorang jurulatih yang benar-benar hebat dan saya sentiasa merinduinya,” ujarnya.
Ronaldo meninggalkan Old Trafford ketika berusia 24 tahun dengan menyertai kelab idamannya sejak kecil, Real yang mana dia telah meledak 285 gol sepanjang 274 perlawanan buat kelab gergasi Sepanyol tersebut.
Dalam perkembangan lain, Ronaldo telah menikmati prestasi terbaik tahun lalu yang mana dia berjaya membimbing Real memenangi Liga Juara-Juara termasuk meledak 17 gol dalam kempen kejohanan Eropah tersebut.
Ronaldo berjaya mempertahankan anugerah yang diraihnya pada tahun lalu apabila mendapat undian sebanyak 37,66 peratus manakala pencabar terdekat dari Barcelona, Lionel Messi yang menduduki podium kali ketujuh berturut-turut menduduki calon tiga terbaik Ballon d’Or sekadar meraih 15.76 peratus.
Manakala penjaga gol Jerman, Manuel Neuer yang berjaya membantu Jerman memenangi Piala Dunia 2014 mendapat undian sebanyak 15.72 peratus. Anugerah tersebut disampaikan oleh Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Sepp Blatter. – Agensi
No comments:
Post a Comment