noreryani.yusup@kosmo.com.my
BUKAN satu, bukan dua tetapi tiga. Itulah yang terjadi apabila tempoh perkahwinan yang dibina penyanyi, Siti Saerah dengan bekas suami hanya bertahan selama empat tahun selepas bercerai dengan talak tiga tahun lepas.
Perkahwinan Saerah, 32, yang dibina dengan Saiful Anuar Ahmad Shafie, 32, pada 27 Oktober 2010 hancur musnah di tengah jalan ketika tarikh ulang tahun perkahwinan mereka yang keempat pada 27 Oktober tahun lalu.
Punca kepada perceraian tersebut membingungkan banyak pihak kerana tanpa angin dan tanpa ribut, adik kepada penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza itu diceraikan dengan talak tiga.
Tabah berjalan sendirian menempuh ranjau hidup, ibu kepada tiga cahaya mata itu cekal tersenyum demi permata hati, Ummi Umaira, 4, Ahmad Daiyan, 2, dan Ahmad Aisy, setahun.
Demi menuntut sebuah kehidupan bahagia meskipun bergelar ibu tunggal, Saerah kekal optimis dengan ketentuan Ilahi untuk dirinya.
Berkesempatan bertemu Saerah dalam satu majlis di ibu kota baru-baru ini, Kosmo! berpeluang mendapatkan perkembangan terkini bekas peserta One In A Million (OIAM) musim kedua pada tahun 2008 itu.
AKUI Saerah, terkesan dengan perceraian yang berlaku, berat badannya kini semakin susut ditambah pula dengan kesibukan menguruskan perniagaan dalam talian yang diusahakannya.
Kosmo!: Sudah lama tidak mendengar khabar Saerah. Apa agaknya cerita anda sekarang?
SAERAH: (Senyum) Alhamdulillah, saya baik-baik saja. Kehidupan saya sekarang masih seperti dulu, biasa sahaja.
Selepas bergelar ibu tunggal, bagaimana kehidupan anda sekarang? Jika tidak keberatan, boleh kongsikan kepada khalayak?
Hidup sebagai seorang ibu tunggal memang susah. Apatah lagi jika terpaksa berjauhan dengan anak-anak yang masih kecil. Terkadang, hati saya tidak kuat tetapi apa yang saya mampu selain bersabar. Sebelum ini, saya banyak bertemu dengan orang yang hidup sendirian selepas perceraian. Dari situ, saya tahu bagaimana susahnya untuk berdiri di atas kaki sendiri.
Selepas hampir tiga bulan hidup sendirian, bagaimana anda kuat untuk berdepan dugaan itu?
Apa yang membuatkan saya kuat ialah sentiasa berfikiran positif. Semua kejadian ini (perceraian) ialah ketentuan daripada Yang Maha Esa. Siapalah saya untuk menolak apa yang telah ditentukan-Nya. Apa pun yang terjadi, saya harus kuat.
Dalam hidup ini, manusia tidak akan pernah lari daripada diuji. Mungkin Tuhan itu memberikan rasa bahagia kepada saya tatkala dinikahkan dengan bekas suami dan Dia tarik segala kebahagiaan yang pernah saya kecapi dahulu pada tarikh yang sama.
Mengapa pada tarikh yang sama dengan ulang tahun pernikahan berlakunya perceraian itu. Semuanya ada hikmah yang tersembunyi. Sebagai manusia, saya perlu reda dengan takdir.
SAERAH bersama tiga orang anaknya yang kini bawah jagaan bekas suaminya di Kuantan, Pahang.
Bagaimanakah dengan penjagaan anak-anak sekarang?
Anak-anak dijaga oleh bekas suami saya di Kuantan, Pahang. Sebab itulah saya harus kuat menempuh dugaan ini dan harus kuat berjauhan dengan anak-anak yang masih kecil kerana saya kini menetap di Kuala Lumpur.
Ibu mana yang boleh berjauhan dengan anak sendiri. Pergi ke mana-mana pun saya ada bawa baju dia (anak bongsu) dalam beg (sambil mengeluarkan sehelai baju bayi lalu menciumnya). Saya dan bekas suami bergilir-gilir dalam hak penjagaan anak-anak.
Bukannya niat saya untuk berjauhan dengan anak-anak sendiri tetapi bagi saya, memandangkan usia mereka yang masih kecil dan tidak mengerti apa-apa, biarlah ada pihak yang lebih berkemampuan menjaga mereka.
Saya hanya fikirkan tentang keselamatan, kesihatan, situasi dan kesenangan untuk anak-anak, itu sahaja.
Buat masa sekarang saya masih tidak mampu untuk memberikan semua itu kepada mereka. Saya hanya berniaga dalam talian dan menguruskan perniagaan berseorangan, memang saya tidak mampu. Saya tidak mahu menyusahkan kehidupan anak-anak.
Biarlah ada orang yang sesuai seperti nenek dan datuk menjaga mereka di sana. Tidaklah saya risau sangat. Mulanya, saya risau jika perceraian ini akan memberi kesan kepada anak-anak, tetapi Alhamdulillah, anak pertama saya, Ummi Umaira yang baru sahaja berusia empat tahun sudah memahami. Dia pernah cakap kepada saya, jika apa pun yang terjadi, dia akan sentiasa ada bersama saya (menahan sebak).
Jika dilihat kepada keadaan sekarang, anda kelihatan begitu kurus. Adakah kerana perceraian itu turut menjejaskan kesihatan anda?
Berat badan mula susut sejak saya selamat melahirkan anak ketiga saya, Ahmad Aisy yang kini sudah memasuki usia setahun. Kemudian, saya sibuk pula dengan urusan perniagaan dalam talian, sebab itu berat badan menurun sedikit. Saya tidak pernah amalkan diet.
Namun, saya akui mungkin juga sekarang saya kurus sebab terkesan akibat perceraian. Siapa yang tidak kecewa jika sudah buat yang terbaik, namun jodoh tidak berpanjangan.
Sudah lama tidak aktif dalam dunia hiburan, tidakkah anda rindu untuk kembali menyanyi. Atau sekarang sudah ada mana-mana tawaran yang anda dapat?
Saya akui kadangkala perasaan rindu untuk kembali menyanyi itu ada tetapi biarlah masa yang tentukan. Apa yang penting, bukan sekarang. Saya masih belum ada kekuatan untuk kembali menyanyi.
Jika ada rezeki dalam bidang itu suatu hari nanti, saya tidak menolaknya. Saya akan ambil apa sahaja peluang dan rezeki, sebab itu juga rezeki anak-anak. Buat masa sekarang saya masih belum mendapat apa-apa tawaran. Kalau ada, mungkin bukan dalam masa yang terdekat. Saya mahu kumpul kekuatan terlebih dahulu sebelum kembali berdiri di atas pentas.
No comments:
Post a Comment