APABILA menyentuh isu etika dan tatasusila hidup bermasyarakat, barangkali tidak adil layanan yang diberikan kepada si pesalah yang sebelah tangannya bergari diminta menyanyi walaupun bukan dengan cara paksaan.
Namun, jika diteliti kembali niat asalnya, mungkin benar jika tindakan itu dikatakan berlaku secara spontan apabila penyanyi yang selama ini dipuja dan dikagumi tiba-tiba tercongok di depan mata.
Mahu dipeluk, keterlaluan dan keadaan pula tidak mengizinkan. Maka sepotong rakaman video mendendangkan melodi berhantu milik penyanyi itu sahajalah menjadi kebanggaan.
Yang salahnya, keghairahan untuk berkongsi dengan teman-teman, keluarga dan paling jauh pun pelayar laman sosial peribadi yang turut meminati artis yang sama itu ditafsirkan menjadi sesuatu yang mengaibkan. Terbuktilah sekarang, betapa teknologi canggih boleh menjerat diri si pelaku yang tidak berfikir panjang sebelum memuat naik sesuatu video atau gambar.
Hal itulah yang berlaku kepada vokalis terkemuka, Zamani Slam ketika ditangkap pihak polis untuk membantu siasatan penyalahgunaan dadah baru-baru ini. Lebih parah kepada bahana dadah yang dikaitkan dengannya, sepotong video menunjukkan Zamani yang diminta menyanyikan lagu Gerimis Mengundang pula tersebar. Dipercayai, rakaman itu dilakukan oleh salah seorang anggota polis yang terlibat dengan operasi penangkapan Zamani.
Zamani atau nama sebenarnya, Zamani Ibrahim tidak pernah menyimpan dendam atau niat untuk memporak-perandakan periuk nasi orang lain. Dia sudah cukup matang dan sekiranya Zamani mahu memanjangkan isu tersebut, kesannya akan mendalam, malah parut kebencian terhadapnya akan bertambah parah.
Setelah empat hari direman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, Sabtu lalu, Zamani dibebaskan dengan jaminan polis tepat pukul 9.45 pagi. Zamani yang ditemani abang kandungnya, Zulfazil Ibrahim kemudian menuju ke kediaman peguamnya, Ahmad Zaharil Muhaiyar yang di terletak di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor.
Meminjam semangat mentari pagi yang membahagikan sinarnya, Zamani kelihatan bersedia menyambut kehadiran beberapa wakil media termasuk Kosmo! tanpa curiga. Tubuh cengkung terlihat tenang, bersila di satu sudut kamar di kediaman tiga tingkat itu.
MASIH ADA TEMPAT MENGADU... Zamani ditenangkan oleh abangnya, Zulfazil Ibrahim sewaktu pertemuan dengan peguam dan media di Kota Damansara, Sabtu lalu.
Hanya menyarungkan jean, sepasang baju-T hitam berlengan pendek dan bertopi, Zamani masih ramah berbicara. Dengan wajah yang bersisa sugul dan keletihan, satu persatu butiran dari sel lokap selama empat hari yang dilalui dikongsikan Zamani. Biarpun keadaannya seperti berselubung aib, Zamani sedikit pun tidak defensif.
“Video itu bukti peminat masih sayangkan saya, mereka tetap meminta saya menyanyi untuk mereka walau bukan berada di atas pentas sekali pun. Saya tidak mahu memanjangkan cerita dan saya percaya individu terbabit pun peminat saya yang meminta untuk merakamkan saya menyanyi dengan cara baik-baik atas tujuan simpanan peribadi.
“Yang silapnya, selepas video saya menyanyikan lagu Gerimis Mengundang itu dirakam, saya tidak minta untuk melihat hasil rakaman tersebut sehingga video itu tersebar di internet dengan menampakkan tangan kanan saya bergari. Sesiapa pun tidak pernah menduga sepotong video kecoh itu boleh menyebabkan pertikaman lidah sana-sini.
“Video itu dirakam dalam keadaan saya sedang ketakutan selepas penahanan dan sedang menunggu ujian air kencing. Jujur saya katakan, penyebaran video itu sedikit sebanyak mengaibkan saya tetapi saya tidak marah kerana saya percaya individu terbabit tiada sebarang niat untuk memalukan saya atau bertujuan untuk menjatuhkan saya.
“Andai benar anda ialah peminat setia Zamani dan Slam, hentikan penyebaran video itu dan saya tiada niat untuk mengambil sebarang tindakan lanjut kerana tidak mahu menutup periuk nasi orang lain,” lentur Zamani dengan nada menggeletar.
Hamun jurugambar
Dimulakan dengan kisah tegang antara Zamani dan beberapa orang jurugambar bertugas ketika hari pertama penahanannya pada Rabu lalu, kata Zamani, ketika itu keadaan dirinya sangat kritikal. Dia ketakutan, kesejukan dan berdepan gian yang teruk.
“Saya akui ada meninggikan suara kepada petugas media, terutamanya kepada jurugambar. Pada pagi selepas saya ditangkap, saya tidak cukup tidur, gian dan apabila dibawa ke mahkamah dengan tangan bergari, badan saya kesejukan. Tambah pula suhu bilik yang ekstrem sejuk membuatkan saya tertekan dan saya meminta agar tidak dirakamkan gambar ketika itu.
“Tanpa sedar saya meninggi suara dan sehubungan itu saya memohon maaf atas kekasaran saya kepada media terbabit. Harap mereka tidak mengambil hati dan memahami situasi saya. Saya bukannya sengaja berbuat demikian,” ujar Zamani.
ZAMANI (kiri) bersama Awie Wings ketika muncul dalam sebuah filem berjudul Bara.
Hal itu secara tidak langsung mengundang tanda tanya. Adakah mungkin Zamani mendapat layanan tidak wajar sepanjang berada dalam tempoh tahanan atau sebagai selebriti yang dikenali, mungkin ada layanan istimewa tertentu diberikan kepadanya?
“Tiada apa yang istimewa atau yang teruk. Saya dilayan sama seperti pesalah lain di dalam lokap. Mereka adil dan saksama, malah menjalankan tugas dengan amanah. Begitu juga makan minum dan tidur saya, semuanya sama seperti orang lain,” katanya yang diletakkan bersama tiga pesalah lain di dalam satu sel lokap.
Walaupun dibebaskan, prosedur yang membabitkan Zamani dan rakan wanitanya yang ditangkap bersama pada 21 Januari lalu masih belum selesai. Zamani akan ke mahkamah pada Selasa ini (esok) untuk menyambung keterangan berhubung kes penyalahgunaan dadah. Terdahulu, menerusi ujian air kencing yang dijalankan, Zamani didapati positif dadah jenis morfin.
10 tahun dibelenggu dadah
Melahirkan rasa syukur diberikan peluang untuk kembali ke pangkuan keluarganya, Zamani bagaimanapun akur dengan keputusan mahkamah ke atasnya.
“Saya lega dapat keluar, namun sedih melihatkan keadaan keluarga saya terutama abang dan pengurus peribadi saya yang telah banyak bersusah payah. Respons daripada peminat juga membuatkan saya tersentuh. Dalam keadaan sebegini, saya fikir peminat akan membenci, mencemuh dan memulaukan saya, namun lain pula jadinya.
“Salah tetap salah dan saya sudah mengaku bersalah. Apa pun, saya bersyukur dengan setiap keputusan yang akan dijatuhkan terhadap saya kelak,” tambah pemilik trofi Persembahan Vokal Lelaki Terbaik, Anugerah Industri Muzik keempat itu.
Pada masa yang sama, Zamani bagaimanapun enggan menabur janji untuk berubah menjadi insan yang lebih baik dan menjauhi najis dadah.
Demi memulihkan ketagihan yang dialaminya sejak 10 tahun lalu, Zamani akan melakukan rawatan perubatan secara moden dan tradisional.
“Insya-Allah saya akan berusaha untuk berubat dan masuk ke pusat pemulihan dadah selepas segalanya selesai. Bukan mudah untuk berjanji kerana saya tahu betapa susahnya untuk pulih daripada dadah. Namun, saya akan cuba sedaya upaya dengan bantuan keluarga.
“Sebelum ini, saya sudah dua kali masuk ke pusat pemulihan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) iaitu di Port Dickson, Negeri Sembilan pada 2010 dan di Ampang, Kuala Lumpur pada 2012, namun gagal untuk pulih sepenuhnya. Sebagai orang yang dikenali umum, situasi itu menyukarkan saya pergi ke pusat pemulihan tanpa diketahui ramai.
“Saya akui malu untuk ke sana dan takut dengan tanggapan orang ramai. Sekarang orang semua sudah tahu dan secara tidak langsung lebih memudahkan saya untuk mendapatkan rawatan pemulihan,” jelas pemilik vokal emas itu.
Kuasa peminat, sokongan Slam
Secara kebetulan, sepanjang tempoh penahanan, Zamani tidak terikat dengan sebarang aktiviti nyanyian. Kali terakhir dia membuat persembahan ialah sekitar seminggu sebelum ditahan pihak berkuasa.
“Selama ini saya lebih banyak berdiam diri. Saya tidak menyangka bahawa peminat masih menyokong saya. Saya tidak bermaksud mahu mengambil kesempatan atas kekecohan yang berlaku, apatah lagi untuk meraih simpati, saya pun malu jadi begini.
“Kejadian yang berlaku membuktikan masih ramai peminat yang sayangkan saya walaupun saya sudah tersilap langkah. Sepanjang berada di dalam lokap, saya sering memikirkan penerimaan masyarakat terhadap saya. Mungkin ini penamat kerjaya saya, namun ternyata saya silap. Merekalah (peminat) makanan semangat saya dan semakin hari saya semakin kuat,” getusnya.
Zamani mengerti andai selepas ini tiada lagi tawaran untuknya menyanyi kerana masalah yang dibikin sendiri. Katanya: “Saya sudah bersedia. Kalau ada penganjur yang mahu membatalkan jemputan nyanyian saya selepas ini, saya memahami dan menghormati hak mereka. Saya menyerahkan urusan karier kepada pihak pengurusan. Segan memang segan tetapi menyanyi itulah periuk nasi yang saya perlu hadap setiap hari.”
Sokongan untuk Zamani sudah pasti datang daripada anggota kumpulan Slam sendiri iaitu Shah Nizam Abdul Halim (gitaris), Lili Masrani (bass), Eddie Ahmad (keyboard), Razak Bajuri (gitaris) dan Osman Khalid (dram). Bagi Zamani, persaudaraan dan permuafakatan mereka satu kumpulan masih kekal sehingga ke hari ini.
“Memang sudah lama kami tidak berjumpa, mereka pastinya sentiasa ada di belakang saya, menyokong saya. Apatah lagi ketika situasi sebegini,” simpul Zamani yang ternyata masih mendapat sokongan daripada ketua kumpulan Slam, Shah.
Shah tidak pernah lokek berkongsi maklumat dan pandangan terhadap Zamani saat diminta oleh media.
Sepertimana lirik puitis dalam lagu Gerimis Mengundang ‘hanya aku separuh nyawa menahan sebak di dada’, begitu perasaan yang dirasai ketika akhir pertemuan bersama Zamani.
Benar kata pujangga, ‘kadangkala Tuhan hilangkan seketika mentari, kemudian didatangkan guruh dan petir. Puas kita mencari ke mana hilangnya mentari itu sehingga muncul pelangi indah menyerikan seluruh alam’.
No comments:
Post a Comment