Kuala Lumpur: Kebanyakan Orang Kurang Upaya (OKU) mempunyai 'intrinsic motivation' atau motivasi dalaman yang jauh lebih tinggi berbanding manusia normal, menyebabkan mereka tabah dan berupaya melakukan sesuatu di luar jangkaan.
Itu pandangan pakar motivasi yang jugapemilik Klinik Hushim Motivation and Counselling Consultancy, Hushim Salleh mengenai semangat juang ditonjolkan beberapa individu OKU yang mendapat perhatian masyarakat baru-baru ini.
Semangat Raja Shamri, Amanda dan Azmi yang perlu dijadikan contoh. -
Antaranya, kisah Ainaa Amanda Shahzali, 7, kanak-kanak kudung pergelangan tangan kanan di Kedah yang bersemangat untuk ke sekolah meskipun diejek rakan dan kisah Raja Shamri Raja Husin, 39, pakar motivasi kudung kaki kanan yang mengerah kudrat membantu mangsa banjir, malah nyaris lemas ketika menghantar bantuan banjir di Hospital Kuala Krai.
"OKU walaupun kadangkala dipandang rendah, mereka ini ada satu sifat enggan mengaku kalah yang sudah sebati dalam diri kerana sedar jika putus asa maka sukar bagi mereka untuk meneruskan kehidupan," katanya ketika dihubungi hari ini.
Justeru, katanya, golongan itu akan terus mencuba apa jua yang lazimnya dilakukan oleh individu sempurna dan jika gagal, mereka akan bangkit dan cuba melakukannya semula sehingga berjaya.
"Mereka ini juga mempunyai ketahanan mental yang kuat. Sebagai contoh, pasangan suami isteri cacat fizikal yang berniaga di pasar malam Pantai Dalam seperti yang dilaporkan Harian Metro baru-baru ini.
"Bayangkan ambil masa sejam jalan kaki ke tempat mencari rezeki yang lazimnya 10 minit bagi orang normal. Ini satu tamparan bagi individu lain yang mempunyai tubuh badan sempurna," katanya lagi.
Selain itu katanya, OKU juga bijak menggunakan bakat yang dikurniakan Tuhan untuk mengubah nasib mereka, seperti kumpulan Caliph Buskers terutama penyanyinya Azmi Saat yang membuat persembahan untuk kumpulan Mojo di malam akhir Anugerah Juara Lagu Ke-29 (AJL29) sehingga mendapat ‘standing ovation’ daripada lebih 15,000 penonton Ahad lalu
Justeru itu, Hushim berkata masyarakat perlu mengambil iktibar kisah kesungguhan OKU yang mendapat liputan meluas sebelum ini untuk dijadikan motivasi pada masa depan.
"Saya seru seluruh rakyat Malaysia, khususnya yang rapat dengan OKU agar teruskan beri semangat kepada mereka dan jangan sekali-kali kita merendahkan golongan ini kerana mereka juga punya hati dan perasaan.
"Beri mereka peluang untuk meneruskan kehidupan seperti insan lain," katanya.
No comments:
Post a Comment