Saturday, 24 January 2015

‘Saya maafkan’ (Harian Metro)

Kuala Lumpur: Bekas penyanyi Slam, Zamani Ibrahim, 43, memaafkan pihak yang bertanggungjawab merakam dan menyebar video dia disuruh menyanyi dalam keadaan tangan bergari ketika ditahan, baru-baru ini.


Abangnya, Zulfazil, 50, berkata, permintaan itu dilakukan Zamani sendiri ketika dia berjumpa dengan penyanyi itu di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang, di sini, 3.30 petang tadi.
“Dia takkan ambil apa-apa tindakan. Walaupun terkejut dengan keputusan Zamani tetapi saya bangga dengan tindakannya itu.

“Dia juga nampak sihat dan bersemangat kerana tahu ramai yang bersimpati dengannya berikutan kejadian itu,” katanya.

Zulfazil hadir ke IPD Ampang ditemani Presiden KARYAWAN Datuk Freddie Fernandez dan pengurus Zamani, Johan Aziz.

Zulfazil berkata, Zamani hanya tahu video berkenaan menjadi ‘viral’ selepas diberitahu Johan dalam pertemuan mereka petang tadi.

“Ketika bertemu saya tadi, dia bertanya sama ada penyebaran video itu serius atau tidak. Saya katakan ia serius kerana sudah menjadi viral di Internet serta menerusi aplikasi WhatsApp,” katanya.
Zulfazil berkata, dia yang mewakili keluarganya juga tidak akan mengambil tindakan kerana menghormati keputusan Zamani itu serta menyerahkannya kepada pihak polis.

No comments:

Post a Comment