Friday, 8 December 2017

Penghormatan Terbaik ‘Logan’ Untuk Pengakhiran Wolverine {mstar}

FILEM: Logan
PENGARAH: 
James Mangold

PELAKON:
 Hugh Jackman, Patrick Stewart, Dafne Keen, Richard E. Grant, Boyd Holbrook dan Stephen Merchant

GENRE: 
Drama/Aksi

DURASI: 
138 minit

PENGEDAR: 
20th Century Fox

TARIKH TAYANGAN: 
2 Mac 2017





SELESAI menonton filem Logan arahan James Mangold (Walk The Line, 2005) baru-baru ini, perasaan suka dan duka terbit di benak hati penulis.
Dukanya hati penulis apabila Logan merupakan naskhah terakhir yang menyaksikan watak adiwira, Wolverine diangkat ke layar perak.

Barangkali semuanya adalah kerana keadaan kesihatan pelakon utamanya, Hugh Jackman yang tidak mengizinkan kerana kanser kulit di samping Jackman mahu mengibarkan bendera putih untuk watak ikonik itu sementara namanya masih di puncak.

Pernah Jackman mengatakan dalam satu temu bual tidak berapa lama dulu bahawa salah satu faktor dia membuat keputusan untuk bersara daripada terus memainkan watak Wolverine kerana tidak mahu khalayak menjadi bosan tatkala usianya juga semakin meningkat.

Memang ternyata Jackman dilihat layak membawakan watak berkenaan kerana acuan Wolverine itu sememangnya sudah dibikin untuk aktor kelahiran Australia ini.

Sementelah sudah 10 kali Jackman yang juga bekas calon Oscar itu menghidupkan watak Wolverine di layar perak.

Tujuh daripadanya adalah menerusi francais filem X-Men dan selebihnya untuk tiga buah filem solo Wolverine iaitu X-Men Origins: Wolverine (2009), The Wolverine (2013) dan Logan (2017).

Konflik Logan turut memaparkan bagaimana Logan perlu menerima hakikat dan realiti bahawa dia memiliki anak perempuan, Laura yang tidak pernah dibayangkannya selama ini.

Justeru, bagi memberikan penghormatan terakhir buat Logan dan Wolverine, filem Logan dilihat sebagai naskhah terbaik untuk berbuat demikian.

Ternyata, Mangold bersama-sama Scott Frank dan Michael Green memberikan evolusi terhadap filem ini dengan tidak mengikut acuan konvensional adaptasi komik yang sudah menjadi trend di Hollywood.

Sebaliknya, mereka mengambil pendekatan baharu dan mengubah struktur filem itu menjadi sebuah naskhah asli biarpun Logan diinspirasikan daripada novel grafik, Old Man Logan yang diterbitkan pada tahun 2008.

Sebagai pengarah, Mangold bijak menginterpretasikan cerita tersebut dan menjadikan ia lebih luhur, jujur, realistik dan sarat dengan pelbagai rasa lalu memberikan jiwa yang bukan sembarangan buat Logan.

Mungkin sebahagian besar peminat setia komik X-Men mengharapkan Logan menjadi sebuah filem adiwira tipikal.

Ternyata Logan bukan seperti itu kerana filem ini dibikin dengan cara seolah-olah mahu memberi gambaran sebenar tentang kehidupan Wolverine di masa hadapan pasca dunia tidak lagi didiami oleh komuniti mutan.

Sehubungan itu, tiada watak utama X-Men dalam filem ini selain Profesor Charles Xavier (Patrick Stewart) dan Caliban (Stephen Merchant) yang hidup di dunia ketika itu kerana ada sesuatu yang menunggu  mereka di masa hadapan.


Penulis melihat Logan sebagai sebuah cerita baharu yang layak untuk dipertandingkan dalam acara anugerah yang sebelum ini memandang sebelah mata dan menutup peluang terhadap filem adaptasi komik.

Dalam erti kata lain, Logan seperti kelahiran semula francais filem X-Men seperti mana yang pernah dilakukan oleh Christopher Nolan menerusi legasi filem Batman miliknya terutama The Dark Knight (2008).



Selain jalan cerita dan lakon layar yang kukuh, Logan turut diperkuatkan dengan aspek lain terutama sinematografi dan suntingan yang memberikan nilai tambah buat kecemerlangan Logan sebagai sebuah filem cereka.

Sinematografi oleh John Mathieson telah menghidupkan lagi filem ini untuk memberikan mood dan ekspresi yang dialami oleh watak-watak terutama Wolverine yang berhadapan dengan pelbagai masalah terutama kesakitan luaran dan dalam selain faktor usianya sendiri.

Jackman sendiri telah menumpahkan emosinya semaksimum dan menyerlahkan jiwa yang mendalam untuk filem ini.

Tidak dinafikan lagi, Logan adalah watak Wolverine terbaik Jackman sepanjang lebih 15 tahun dia membawakan watak berkenaan.

Apa yang menjadikan Logan bertambah menarik apabila Logan berhadapan dengan musuh baharu, X-24 yang merupakan klon dirinya sendiri yang dicipta oleh Dr. Zander Rice (Richard E. Grant).


Metaforanya watak X-24 itu apabila Logan seolah-olah melihat dirinya sendiri dan pernah menjadi ganas sedemikian rupa sewaktu mudanya.

Dalam erti kata lain, Logan berperang dengan diri sendiri dan mengetahui dirinya banyak berubah disebabkan X-Men dan Profesor X pada penghujung usianya.

Perasaan duka yang menyelubungi penulis tadi mula bertukar gembira apabila melihat masa depan francais filem ini yang pastinya akan memberikan gambaran jelas bahawa sesuatu yang lebih hebat dan besar akan terhasil kelak.


Watak Laura Kinney (Dafne Keen) memberikan gambaran jelas bahawa Wolverine baharu akan muncul selepas ini.

Lebih-lebih lagi selepas watak Laura (Dafne Keen) yang merupakan anak Logan dan terhasil menerusi persenyawaan antara manusia dan mutan mula diperkenalkan dalam filem ini.

Di sinilah penulis melihat kreativiti karyawan Hollywood yang tahu bilakah masanya untuk menoktahkan kisah X-Men dan mula untuk memperkenalkan generasi baharu X-Men.

Apatah lagi, pada babak-babak akhir, watak-watak baharu sudah mula diperkenalkan kepada khalayak biarpun tidak secara menyeluruh dan generasi baharu ini semuanya adalah senasib dengan Laura.

Sudah pasti, babak pengakhiran filem ini secara jelas menunjukkan bahawa kisah X-Men tidak akan mati sebaliknya akan terus hidup dengan kisah yang lebih segar untuk menarik perhatian penonton terutama golongan milenial kelak.

*** Penulis 
SHAZRYN MOHD FAIZAL
adalah bekas wartawan hiburan dan graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi penulis tanpa dipengaruhi sesiapa.

Friday, 1 December 2017

‘Smurfs: The Lost Village’ Naskhah Sudut Pandang Wanita [mstar]


FILEM: Smurfs: The Lost Village
PENGARAH: Kelly Asbury
PENYUMBANG SUARA: Demi Lovato, Mandy Patinkin, Joe Manganiello, Meghan Trainor, Rainn Wilson, Michelle Rodriguez dan Julia Roberts
GENRE: Animasi
DURASI: 90 minit
PENGEDAR: Sony Pictures Releasing International
TARIKH TAYANGAN: 6 April 2017

SEBELUM anda menonton filem Smurf: The Lost Village (bagi mereka yang masih belum berbuat demikian atau ada perancangan untuk menontonnya), jangan kelirukan diri anda dengan mengaitkan filem ini dengan dua buah filem Smurfs sebelum ini iaitu The Smurfs (2011) dan The Smurfs 2 (2013).
Penulis berkata demikian kerana Smurfs: The Lost Village tiada kaitan langsung dengan dua filem yang disebutkan di atas.
Pertamanya, dua filem terdahulu itu merupakan gabungan filem cereka dan animasi berkomputer manakala filem Smurfs yang baharu ini merupakan filem animasi sepenuhnya.
Dalam erti kata lain, Smurfs: The Lost Village merupakan sebuah naskhah baharu bagi memancing peminat filem animasi khususnya untuk menonton komuniti The Smurfs dalam dunia yang berbeza.
Sekadar berkongsi maklumat, secara teknikalnya, Smurf: The Lost Village bukanlah filem animasi The Smurfs yang pertama.

Sebaliknya, watak francais komik ciptaan Pierre Culliford atau nama penanya, Peyo itu pernah dizahirkan secara animasi ke layar perak sebanyak dua kali menerusi The Adventures of Smurfs (1965) yang memiliki lima cerita di dalamnya dan The Smurfs and the Magic Flute (1976).
Justeru, mungkin menyedari jiwa sebenar The Smurfs terletak pada penerbitan animasi telah mendorong Sony Pictures Animation untuk menghasilkan filem animasi baharu ini selain untuk mengabadikan nostalgia peminat watak makhluk kerdil berwarna biru itu yang pernah mencetuskan fenomena luar biasa lebih empat dekad lalu.
Seperti mana yang disebutkan, Smurfs: The Lost Village sememangnya sebuah cerita baharu yang mengambil pendekatan berbeza terutama dari sudut tema filem itu sendiri.
Secara ringkasnya, filem animasi arahan Kelly Asbury (Gnomeo & Juliet, 2011 dan Shrek 2, 2004) ini memfokuskan kepada satu-satunya watak wanita dalam dunia The Smurfs iaitu Smurfette (penyumbang suara oleh Demi Lovato) yang mahu mencari siapakah dirinya yang sebenar.
Sementelah, dia sendiri dicipta daripada tanah liat dan dihidupkan oleh ahli sihir jahat bernama Gargamel (Rainn Wilson) untuk melunaskan misinya menghancurkan koloni The Smurfs.

Namun, Smurfette kemudiannya diberikan ‘nyawa’ baharu oleh Papa Smurfs (Mandy Patinkin) dan merubahkan ia menjadi sebahagian daripada keluarga The Smurfs.

Pun begitu, Smurfette merasakan dirinya masih lagi ada kekurangan dan persoalan yang tidak berjawab tentang identiti dirinya sehingga dia nekad untuk keluar dari zon selesanya dan mencari jawapan untuk segala permasalahannya.

Tanpa disedari, sedang dalam perjalanan menuju ke destinasi selepas mendapat tahu bahawa ada puak lain yang mendiami di satu bahagian terceruk hutan di kawasan tempat tinggal mereka, Smurfette telah diekori tiga sahabatnya, Hefty Smurf (Joe Manganiello), Clumsy Smurf (Jack McBrayer) dan Brainy Smurf (Danny Pudi).

Bermula detik itu bermulalah pengembaraan mereka yang penuh mencabar dan warna-wani lebih-lebih lagi turut disertai oleh Gargamel dan dua pembantunya, si kucing Azrael (Frank Welker) dan seekor burung bernama Monty yang mahu menculik Smurfs sebanyak mungkin bagi melunaskan misi jahatnya untuk menjadi ahli sihir yang lebih berkuasa.
Sehinggalah apabila Smurfette, Hefty, Clumsy dan Brainy menemui perkampungan yang dicari yang diketuai oleh Smurf Willow (Julia Roberts) bersama-sama penduduknya yang kesemuanya adalah wanita.


Dari sudut pandang penulis sebagai seorang audiens, Smurfs: The Lost Village menonjolkan sisi wanita moden yang memiliki pemikiran sendiri, mencari pembebasan diri, masih mengekalkan ciri-ciri wanita sejati selain membuktikan bahawa mereka juga sebenarnya mampu menjadi pemimpin yang baik.
Kesemua ini dapat dilihat menerusi watak-watak yang ditonjolkan seperti Smurfette, Smurf Willow, Smurf Storm (Michelle Rodriguez), Smurf Blossom (Ellie Kemper) dan Smurf Lily (Ariel Winter) yang menggambarkan karakter wanita yang disebutkan.
Barangkali disebabkan juga penulis lakon layarnya juga adalah dua orang wanita, Stacey Harman dan Pamela Ribbon yang mahu memberikan nafas baharu dalam karakter The Smurfs itu sendiri yang sebelum ini penceritaannya banyak berkisar tentang kuasa lelaki.
Bahkan, watak Papa Smurf yang sering kali dijadikan sebagai ketua dan penyelesai masalah juga tidak terlalu ditonjolkan dalam filem Smurfs: The Lost Village sebagai tanda bahawa wanita sebenarnya juga berkebolehan menyelesaikan masalah mereka tanpa perlu dibantu lelaki.
Babak akhir melibatkan Smurfette dan Gargamel juga secara jelas menunjukkan bahawa biarpun wanita sering kali dianggap sebagai objek yang lemah dan tidak berupaya mempertahankan diri mereka, tetapi adegan itu membuktikan sebaliknya.

Penyanyi terkenal, Demi Lovato menyumbangkan suaranya untuk watak Smurfette
 
Biarpun begitu, Smurfs: The Lost Village bergerak dengan perlahan dan menimbulkan sedikit rasa bosan di awalnya namun, momentum itu mula menaik secara berperingkat sehinggalah ia ke pengakhirannya.
Dalam konteks penerbitannya sebagai filem animasi, ia masih boleh dinikmati dan dapat memberikan hiburan untuk seisi keluarga selain meninggalkan nostalgia untuk mereka yang membesar dengan watak-watak comel ini. 
*** Penulis SHAZRYN MOHD FAIZAL(shazryn.faizal@gmail.com) ialah bekas wartawan hiburan dan graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi penulis tanpa dipengaruhi sesiapa.

Saturday, 21 October 2017

TOMBIRUO : Lapan hari tayangan kutip RM4j

SALAH satu babak aksi menampilkan watak Ejim (kiri) dalam filem Tombiruo: Penunggu Rimba yang ditayangkan di pawagam sejak 12 Oktober lalu.

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

KUALA LUMPUR – Selepas lapan hari ditayangkan di pawagam sejak 12 Oktober lalu, filem Tombiruo: Penunggu Rimba yang diadaptasi dari karya novelis thriller nombor satu tanah air, Ramlee Awang Murshid mencatat kutipan melebihi RM4 juta.
Presiden dan Ketua Astro Shaw, Najwa Abu Bakar ketika mendedahkan perkara itu berkata, pihaknya berasa amat gembira dengan sambutan orang ramai terhadap filem tersebut.
“Filem ini berdasarkan novel yang disukai ramai tulisan Ramlee Awang Murshid, mempunyai nilai produksi yang tinggi selain babak aksi yang mendebarkan, pelakon yang hebat dan promosi yang bagus,” ujarnya kepada Kos­mo! di sini semalam.
Bagaimanapun Najwa berkata, masih terlalu awal untuk membuat jangkaan tentang sasaran kutipan panggung filem arahan dua pengarah, Nasir Jani dan Seth Larney itu.
“Saya harap sambutan menggalakkan ini akan berterusan dan penonton menyerbu pawagam pada hujung minggu ini bersama ahli keluarga serta rakan-rakan,” katanya.
Sementara itu, teraju utama filem tersebut, Zul Ariffin, 30, berasa amat berbaloi berlakon dalam naskhah yang menelan kos pembikinan sebanyak RM6 juta itu.

Monday, 2 October 2017

Selamat tinggal GP Malaysia

KEHANGATAN saingan F1 di Sepang akan menjadikan kenangan buat rakyat Malaysia selepas penganjuran kali terakhir musim ini.

PENGANJURAN sukan permotoran No. 1 dunia, Formula Satu (F1) untuk saingan Grand Prix (GP) menyaksikan sejumlah 110,604 peminat terhibur dengan perlumbaan berprestij itu di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang berakhir semalam.
Sebagai rekod, rakyat Malaysia terpaksa mengucapkan ‘sayonara’ kepada perlumbaan premier dan termahal pada pe­ringkat antarabangsa itu lebih awal selepas kerajaan Malaysia mencapai persetujuan dengan Persekutuan Automotif Antarabangsa (FIA) untuk menamatkan kontrak yang sepatutnya berakhir pada 2018.
Meskipun mendapat sambutan menggalakkan pada edisi kali ini, Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali tetap mengakui sebahagian besar tiket dibeli oleh peminat F1 luar negara yang majoriti­nya dari Australia, England dan Singapura.
“Kami telah menerima maklum balas yang cukup positif daripada agensi-agensi pelancongan yang me­laporkan bahawa kehadiran pelancong ke dalam negara adalah disebabkan mahu menyaksikan GP Malaysia.
Mercedes driver Lewis Hamilton of Britain leads the field into turn one at the start of the Malaysian Formula One Grand Prix in Sepang, Malaysia, Sunday, Oct. 1, 2017. (Eric To/AP)

“Sasaran kami adalah untuk menjual seba­nyak 80,000 tiket dan kami berjaya melepasi angka tersebut dan secara keseluruhan, saya cukup ber­puas hati pada pe­nganjuran terakhir ini,” katanya pada sidang akhbar semalam.
Kehadiran yang direkodkan pada edisi kali ini mencatat peningkatan mendadak berbanding yang diraih sejak tiga musim lepas yang gagal melepasi angka keseluruhan 100,000 penonton sepanjang tiga hari saingan tersebut dilangsungkan.
Bagaimanapun, rekod tersebut masih gagal untuk mengatasi ‘klimaks’ GP Malaysia yang dicatatkan pada edisi 2008 yang me­nyaksikan jumlah kehadiran penonton seramai 126,690, sebelum diikuti edisi 2013 (123,4000).
Sementara itu, Razlan menolak kemungkinan bahawa dominasi pasukan Mercedes yang ditaja oleh syarikat minyak terbesar negara, Petronas bermula 2014 menjadi punca kehadiran penonton semakin merosot sejak tiga edisi lalu.
“Saya rasa alasan tersebut tidak sepatutnya ditimbulkan kerana isu dominasi ini telah berlaku sejak sekian lama dalam kancah F1. Sebelum penguasaan Mercedes, kita terlebih dahulu menyaksikan dominasi Red Bull dan Ferrari,” katanya.
Force India has taken a swipe at McLaren.Source:Getty Images

Turut hadir pada sidang akhbar tersebut adalah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamid; Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif F1, Chase Carey; Pengerusi SIC, Tan Sri Azmah Yahya dan Ketua Kumpulan Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin.
Dalam perkembangan sama, Carey mengakui terhutang budi dengan Malaysia sejak penganjurannya pada 1999, sekali gus mengembangkan lagi populariti sukan permotoran itu di mata peminat sekitar Asia Tenggara.

“Kami akui akan terasa kehilangan kehangatan GP Malaysia tetapi saya juga boleh sahkan bahawa ada menerima tawaran daripada beberapa negara Asia yang lain.
“Kami sangat menghargai sokongan padu yang diberikan oleh penonton Asia tetapi saya percaya slot ini akan diisi de­ngan lebih baik pada kalendar F1 pada masa depan memandangkan kami turut mendapat permintaan yang tinggi dari benua lain,” katanya.

Friday, 22 September 2017

Trump minta PBB bantu etnik Rohingya

AP - SEBAHAGIAN etnik Rohingya menunggu diagihkan bekalan makanan di kem pelarian dekat Kutupalong, Bangladesh kelmarin.

PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB) – Presiden Amerika Syarikat, Do­nald Trump meminta Majlis Keselamatan PBB mengambil langkah tegas dan cepat untuk menghentikan keganasan terhadap penduduk Rohingya.
Naib Presiden Mike Pence semasa menyuarakan hasrat Trump pada mesyuarat Majlis Keselamatan berkata, krisis di Myanmar itu kini merupakan ancaman kepada keamanan dunia.
Pence menuduh tentera Myanmar bertindak balas terhadap serangan militan di pos-pos kerajaan dengan kekejaman yang dahsyat, membakar kampung serta menghalau penduduk Rohingya dari rumah mereka.
“Melainkan jika keganasan ini dihentikan secara adil, ia hanya akan menjadi lebih buruk. Semua ini bakal menyemai benih kebencian dan huru-hara yang mungkin memusnahkan rantau ini untuk generasi akan datang selain mengancam keamanan kita semua,” kata Pence.
Kenyataan Pence merupakan tindak balas paling lantang kerajaan Amerika Syarikat (AS) terhadap ke­ga­nasan di Rakhine yang bermula pada 25 Ogos lalu sehingga memaksa 422,000 orang Rohingya melarikan diri ke Bangladesh.
Diplomat memberitahu, Majlis Keselamatan boleh mempertimbangkan menggunakan kenyataan rasmi jika keadaan masih tidak bertambah baik, tetapi China dan Rusia tidak bersetuju dengan tindakan lebih kukuh yang memerlukan penggunaan resolusi veto.
Pence mengulangi gesaan AS supaya tentera Myanmar menghentikan keganasan dan menyokong usaha diplomatik untuk penyelesaian jangka panjang Rohingya.
Seramai 15 ahli Majlis Keselamatan PBB bertemu sebanyak dua kali secara tertutup sejak krisis Rohingya bermula dan minggu lepas mengeluarkan kenyataan tidak rasmi kepada akhbar yang mengutuk keadaan di negara tersebut serta dan mendesak pihak berkuasa Myanmar menamatkan keganasan. – Reuters

PM Bangladesh minta Myanmar bawa pulang Rohingya

AFP - PELARIAN Rohingya berlindung di dalam paip simen di kem pelarian Kutupalong yang terletak di daerah Ukhia, Bangladesh semalam.

DHAKA, Bangladesh – Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina semalam menggesa Myanmar mengambil semula sebahagian daripada 420,000 etnik Muslim Rohingya yang melarikan diri daripada keganasan di negara yang didominasi penganut Buddha itu.
Hasina yang bercakap kepada aktivis Bangladesh di New York ketika menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut menggesa tekanan lebih hebat antarabangsa terhadap Myanmar berhubung krisis terbaharu yang berlaku sejak tiga minggu lalu, lapor media.
“Kami telah memberitahu Myanmar, mereka adalah rakyat kamu dan kamu mesti mengambil mereka semula, memberikan mereka perlindungan, memastikan mereka selamat dan tiada lagi penindasan serta penyeksaan,” katanya pada mesyuarat lewat kelmarin di New York.
Tambahnya, Bangladesh sedang melakukan usaha-usaha diplomatik untuk memujuk Myanmar membawa pulang pelarian Rohingya.
“Tetapi kerajaan Myanmar tidak bertindak balas terhadap gesaan itu. Malah, Myanmar meletakkan halangan di sepanjang sempadan untuk menghentikan kepulangan etnik Rohingya ke tanah air mereka,” katanya.
Pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi berkata dalam satu ucapan pada awalnya bahawa negara itu akan mengambil semula pelarian yang telah disahkan.
Myanmar menganggap etnik Rohingya sebagai pendatang haram dari Bangladesh dan menolak kewarganegaraan mereka, walaupun telah hidup di negara itu sejak beberapa dekad.
Dalam satu mesyuarat negara-negara Islam di luar perhimpunan PBB tersebut, Hasina berkata, Yangon mengetuai kempen propaganda untuk menggelar etnik Rohingya sebagai Benggali, sambil menambah bahawa mereka perlu diberi kerakyatan Myanmar.
Hasina turut meminta bantuan kemanusiaan segera daripada negara-negara Islam untuk mengatasi kemasukan etnik Rohingya yang melarikan diri dengan apa yang digelar pembersihan etnik, lapor agensi berita BSS.
“Ia adalah malapetaka kemanusiaan yang tidak dapat ditanggung. Saya telah melawat mereka dan mendengar cerita-cerita tentang penderitaan mereka, terutamanya wanita dan kanak-kanak.
“Saya ingin anda semua datang ke Bangladesh dan mendengar daripada mereka tentang kekejaman di Myanmar,” katanya.
Seramai 420,000 etnik Rohingya kini berlindung di khemah pelarian dekat bandar sempadan Cox’s Bazar akibat keganasan tentera di Myanmar. – AFP

Ziyad pecah rekod Para ASEAN

ZIYAD meraikan kejayaan merangkul pingat emas bersama para penyokong Malaysia termasuk Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar (kanan) di Stadium Nasional, Bukit Jalil semalam.

JUARA dunia, Muhammad Ziyad Zolkefli ternyata sukar ditewaskan oleh mana-mana pencabar apabila mudah menjuarai pingat emas bagi acara lontar peluru kategori F20 (masalah pem­belajaran) pada Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 semalam.
Bukan itu sahaja, Ziyad, 27, turut berjaya melakar rekod ba­haru temasya dengan catatan 16.81 meter (m) pada aksi final di Stadium Nasional, Bukit Jalil tersebut.
Atlet dari Gombak, Selangor itu memadam rekod lama, 15.69m yang diciptanya sewaktu memenangi pingat emas di Naypyidaw, Myanmar.
Ia sekali gus membakar semangat pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Rio 2016 dan Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 itu untuk melayakkan diri ke Sukan Asia 2018 di Jakarta dan Palembang, Indonesia.
“Saya gembira dengan pencapaian hari ini (semalam). Saya mahu konsisten dengan lontaran sejauh 16m hingga 17m dan kalau boleh mencecah 18m tahun depan.
“Saya akan mencuba yang terbaik untuk layak ke Sukan Asia. Saingan pada kejohanan itu lebih sukar berbanding di sini atau sewaktu Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) baru-baru ini,” katanya.
Pingat perak lontar peluru F20 semalam dimenangi seorang lagi atlet para negara, Mohamad Aliff Mohamad Awi (12.79m), manakala tempat ketiga menjadi milik wakil Thailand, Sanepoot Boonkong dengan catatan 11.99m.
Ia menyaksikan Ziyad kini memegang semua rekod acara lontar peluru F20 bermula Sukan Para ASEAN, Sukan Para Asia, benua Asia, Sukan Paralimpik dan dunia.
Jika berjaya layak ke Sukan Asia, Ziyad bakal menjadi atlet olahraga para pertama negara bersaing dengan atlet-atlet normal pada pentas berprestij Asia itu seperti dilakukanya pada KL2017 baru-baru ini.
Pada KL2017, Ziyad muncul atlet olahraga para pertama memenangi pingat apabila meraih tempat ketiga acara lontar peluru.

Skuad berbasikal para Malaysia cukup luar biasa

SKUAD berbasikal para Malaysia menggungguli 22 pingat emas daripada 26 acara yang dipertandingkan pada Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 kali ini.

ACARA berbasikal para negara boleh dikategorikan sebagai lubuk emas pada Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 selepas mengungguli 22 acara daripada 26 yang dipertandingkan bagi di­siplin trek dan lebuh raya.
Meskipun perlumbaan berbasikal masih baharu dan pertama kali dianjurkan pada Sukan Para ASEAN ini, namun aksi terakhir lebuh raya yang berlangsung di Dataran Putrajaya semalam me­nyaksikan pasukan negara berjaya meraih enam emas daripada tujuh yang dipertandingkan.
Kelmarin, skuad berbasikal para kebangsaan turut merangkul empat emas.
Ketua jurulatih berbasikal para negara, Mohd. Johari Nayan menganggap kejayaan yang diraih oleh pasukan bimbingannya sangat luar biasa dan me­ngatasi jangkaan awal yang ditetapkan.
“Para pelumba ini sa­ngat luar biasa dan melepasi jangkaan 10 emas yang kita sasarkan pada pe­ringkat awal. Alhamdulillah, semua yang kita rancang berjalan lancar.
“Ini merupakan permulaan untuk skuad berbasikal para negara menempa nama pada peringkat antarabangsa.
“Saya rasa kesemua pelumba ini bersemangat dan berlumba-lumba untuk meraih kemenangan, bahkan sukan para ini diberi layanan sama seperti sukan normal termasuk dari segi insentif dan sebagainya,” katanya semalam.
Sebagai rekod, acara berbasikal trek yang membuka tirai pada Ahad dan Isnin lalu telah menyaksikan pasukan berbasikal para negara membolot kesemua 12 emas yang dipertandingkan.
Ia menyaksikan skuad berbasikal menyumbangkan 22 emas, 12 perak dan lima gangsa secara keseluruhan.
Dalam perkembangan sama, pengurus pasukan, Mohd. Asri Abdul Mubin berharap kejayaan luar biasa yang diraih oleh pelumba para negara ini mampu membuka mata banyak pihak.
“Kita berharap sukan berbasikal para ini sema­kin berkembang di Malaysia dan akan muncul lebih ramai bakat baharu pada masa akan datang,” katanya.

Simbah petrol di tingkat tiga

WAN MOHD. NOR mendedahkan hasil siasatan bomba mendapati suspek menyimbah petrol pada rak tuala, rak kasut dan dinding asrama di aras tiga pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah pada sidang akhbar di Putrajaya semalam.
PUTRAJAYA – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengesahkan bangunan tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kuala Lumpur sengaja dibakar selepas siasatan mendapati suspek me­nyimbah cecair pe­trol pada rak tuala, rak kasut dan dinding di hadapan pintu masuk asrama di tingkat tiga sebelum menyalakan api.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Wan Mohd. Nor Ibrahim berkata, kebakaran tersebut kemudian merebak ke siling dan membakar pintu masuk dan seluruh bilik asrama.
Jelas beliau, api merebak de­ngan cepat kerana suspek bertindak melepaskan gas daripada dua buah silinder gas petroleum cecair (LPG) yang diletakkan di hadapan pintu bilik asrama itu.
Oleh kerana api marak de­ngan cepat dan bahang semakin me­ningkat, mangsa yang sedang tidur tidak dapat menyelamatkan diri.
TONG gas (dalam bulatan) yang dipercayai diangkat oleh suspek dari tingkat bawah ke tingkat tiga asrama untuk membakar pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kuala Lumpur minggu lalu.
“Pasukan penyiasatan kebakaran JBPM telah menemui bahan bukti dalam insiden tersebut iaitu dua buah silinder gas LPG berwarna hijau berbelang merah di hadapan pintu masuk bilik asrama. Kedua-dua silinder tersebut telah kosong dan injap silinder juga dalam keadaan terbuka.
“Selain itu, Unit Pengesan bomba telah mengesan dan mengambil sampel kesan kebakaran di hadapan pintu masuk bilik asrama. Sampel tersebut dianalisa oleh pegawai kimia di Makmal Penyiasatan Kebakaran Kuala Lumpur yang mendapati empat sampel berkenaan me­ngandungi cecair mudah me­nyala jenis petrol.
“Sampel cecair itu pula ditemui pada rak tuala, rak kasut dan dinding hadapan pintu masuk asrama itu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat JBPM di sini semalam.

Tuesday, 19 September 2017

Isteri kata api 'tajam' [metro]

TIMBALAN Mudir (Pengetua) Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Mohammad Azhari Mahmod, 40, bersyukur apabila doanya ketika di Madinah supaya isterinya yang mengandung serta empat anaknya selamat dalam kejadian kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah dimakbulkan Allah SWT.
Ketika kejadian, Muhammad Azhari berada di Madinah selepas selesai urusan menunaikan ibadah haji di Makkah sementara isterinya yang mengandung dua bulan serta empat anaknya berada di pusat tahfiz berkenaan ketika kejadian kebakaran di Kampung Datuk Keramat, kira-kira 5.15 pagi, Khamis lalu.
Menceritakan semula kejadian, Muhammad Azhari berkata, tiga anaknya berusia 12 dan dua tahun serta sembilan bulan berjaya diselamatkan oleh pelajar yang turut menyelamatkan diri ketika kejadian.
Sementara itu, isterinya yang mengandung bersama anaknya berusia sembilan tahun berlindung di dalam bilik air sebelum diselamatkan oleh anggota bomba.

"Ketika menerima berita kejadian kebakaran itu di Madinah, macam-macam perasaan ketika itu. Saya sudah terasa saya akan keseorangan dan memikirkan bagaimana untuk membina semula keluarga saya dan keluarga tahfiz ini.

"Saya solat hajat di Madinah sambil menangis dan berdoa supaya isteri dan anak-anak selamat. Alhamdulillah, selepas mendapat berita mereka selamat, itulah pemberian Allah yang memakbulkan doa saya," katanya yang baru pulang ke Malaysia, semalam.

Menurut Azhari, isterinya, Siti Che Nur Hayati Che Ahmad, 30, dan seorang anaknya Siti Nur Zulaika, 9, masih trauma dan kerap termenung kerana masih teringatkan kejadian yang menimpa serta jeritan mangsa-mangsa yang terkorban.

"Isteri dan anak saya berada di tingkat tiga iaitu tempat berlaku kebakaran. Kira-kira jam 4.30 mereka bangun untuk solat sunat dan antara individu terawal menyedari berlaku kebakaran selepas melihat api 'tajam' (berpunca dari api semburan gas) di pintu masuk.

"Keadaan jadi kelam kabut. Isteri dan seorang anak saya berlindung di dalam bilik air kerana sudah menyedari api sangat marak di pintu keluar," katanya ketika ditemui di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kampung Datuk Keramat, hari ini.

Menurutnya, tiga anaknya, Siti Nur Fatimah, 12; Siti Nur Safiyah, 2; dan Siti Nur Afifah, 9 bulan, diselamatkan oleh pelajar yang turut menyelamatkan diri melalui tingkap belakang yang dipecahkan.

"Anak-anak saya dilepaskan dari atas dan disambut oleh pelajar-pelajar di bawah termasuk anak saya berusia sembilan bulan.

"Pada hari kejadian juga adalah hari terakhir anak sulung saya menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) namun dia kuat meneruskan peperiksaan itu dengan memakai baju sekolah yang dipinjam daripada saudara," katanya.

Menurutnya, isteri dan anak-anaknya kini berada di rumah yang tidak boleh dimaklumkan lokasinya dan dimaklumkan keadaan mereka stabil termasuk dua daripada mereka yang baru keluar dari hospital.

Khamis lalu, 21 pelajar dan dua warden Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah terkorban dalam kejadian kebakaran berkenaan.

Susulan daripada kejadian itu, tujuh remaja ditahan dipercayai merancang kebakaran itu dan mereka didapati positif dadah ketika ditahan.

Suspek datang, pura-pura tak tahu {metro}

Anngota polis mengawal lalulintas dan pergerakan orang ramai di hadapan Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yg terbakar bg memastikan kelancaran trafik dan menjaga keselamatan org ramai di Kg Datuk Keramat


BERPURA-PURA tidak mengetahui apa yang berlaku. Itu lakonan seorang daripada suspek yang dipercayai dalang kebakaran meragut 23 nyawa penghuni Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, dekat Jalan Keramat Hujung apabila kembali ke lokasi beberapa jam selepas kejadian.

Malah, suspek berusia 15 tahun itu dikatakan ke lokasi untuk melihat kesan perbuatan khianat mereka tanpa perasaan bersalah.

Lakonan mantap suspek itu nyata tidak dapat dihidu sesiapa apabila turut berbual dengan seorang pelajar tahfiz pusat itu seperti tidak mengetahui apa yang berlaku.

Pelajar tahfiz terbabit ketika ditemui mengakui tidak mengesyaki apa-apa kerana suspek terbabit memberi reaksi seperti orang ramai yang datang menyaksikan kejadian, tertanya-tanya mengenai apa yang sedang berlaku.

"Saya terjumpa dia (suspek) jam 8 pagi hari kejadian.

"Dia datang dekat saya dan tanya macam mana boleh jadi macam ni. Masa tu saya tidak syak apa-apa sampailah dapat tahu dia salah seorang yang ditahan polis," katanya ketika ditemui, hari ini.

Pelajar berkenaan bersyukur kerana terselamat kerana kebetulan pulang ke rumah keluarganya malam sebelum kejadian.

"Saya sedang tidur sebelum dikejutkan oleh ibu yang memaklumkan pusat tahfiz terbakar.

"Saya ingat ibu bergurau tetapi sebaik mengetahui kejadian itu, saya dan bapa terus ke lokasi.

"Sebaik tiba, saya dapati asrama pusat tahfiz sudah musnah. Saya tak sangka akan kehilangan ramai kawan dan ustaz (warden)," katanya.

Dalam kejadian 5.15 pagi 15 September lalu, 23 penghuni Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah terkorban selepas tingkat tiga premis itu yang menempatkan asrama terbakar.

Aaronators FC menyumbang RM8,260 [metro]



PELAKON popular Aaron Aziz menyerahkan sumbangan berjumlah RM8,260 kepada Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah menerusi pengetuanya Mohd Zahid Mahmod, semalam.

Sumbangan hasil kutipan daripada #ProjekDermaKilamtAaronatorsfc itu adalah usahanya membantu meringankan beban mangsa dan keluarga mangsa.

Aaron berkata, dia terpanggil untuk mengumpul sumbangan kerana cukup terkesan dengan tragedi menyayat hati itu.

“Pelajar tahfiz terbabit pernah menyertai dua acara anjuran kelab peminat saya iaitu Aaronators FC sebelum ini ketika pembukaan kafe Kidz & Creme yang kami usahakan dulu. Kali kedua pada sambutan ulang tahun kelab peminat saya tiga tahun lalu.

“Saya cukup terkesan dengan pemergian mereka dan inilah usaha yang terbaik kami lakukan bagi membantu mereka.

“Terima kasih tidak terhingga kepada Aaronators FC serta isteri saya atas usaha ini. Tidak ketinggalan kepada sesiapa juga yang membantu untuk ‘repost’ mengenai projek itu di laman sosial,” katanya kepada Harian Metro.

Wakil Aaronators FC yang dikenali sebagai Liza turut bersyukur apabila pelakon berkenaan bersetuju dengan usaha itu.

“Kami tanya tuan punya badan dulu dan dia terus setuju. Kami memang sangat terkesan dengan tragedi itu.

“Selain sumbangan berkenaan, kami ada perancangan untuk kembali ke pusat tahfiz berkenaan dan memberikan sokongan moral kepada mereka,” katanya.

'Saya tahu dia selamat di syurga' (Metro)

Surianty masih menyimpan wang pemberian Allahyarham Muhammad Danieal

“SAYA tenang kerana saya tahu dia sudah selamat di syurga Allah. Saya bangga dengan dia,” kata Surianty Mohamed, 39, ibu kepada Muhammad Danieal Md Amin, 14, yang maut dalam tragedi pusat tahfiz, Darul Quran Ittifaqiyah, terbakar, Khamis lalu.
Muhammad Danieal adalah seorang daripada 21 pelajar tahfiz yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Batu Caves.
Ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bunut Payong, Kota Bharu, hari ini, Surianty kelihatan tenang bercerita mengenai anak sulung daripada empat beradik itu.
Katanya, dia tidak ralat kehilangan anak kesayangan yang diharapkan menjadi pembimbing keluarga kerana menyedari darjat anak itu yang sudah diangkat Allah SWT.
Malah, wanita itu juga gembira kerana arwah sempat memberitahu sudah menghafaz enam juzuk al-Quran walaupun belum sempat memperdengarkan bacaan ayat suci itu di hadapannya.
"Kelazimannya, apabila dia pulang ke sini (Kota Bharu) dia akan minta saya dengar bacaan al-Quran yang sudah dihafaznya dan dalam panggilan telefon terakhir kami sebelum kejadian itu berlaku, dia ada beritahu saya sudah dapat menghafaz juzuk keenam.
"Suaranya seperti biasa, gembira beritahu sudah dapat menghafaz selain berkata: "Umi nanti abang balik, umi dengar bacaan abang dan betulkan jika ada salah”.
"Malangnya, saya tidak sempat dengar bacaan itu. Saya reda dan tidak ada apa yang saya ralatkan lagi kerana dia sudah selamat di sisi Allah SWT. Alhamdulillah. Malah sebelum dia dikebumikan, saya sempat mengucup wajahnya sebanyak tiga kali," katanya.
Mengimbas kejadian itu, Surianty memberitahu sudah menjangkakan bakal kehilangan insan kesayangan apabila bermimpi melakukan kenduri besar-besaran kira-kira dua minggu sebelum tragedi berkenaan.
Ia kemudian disusuli dengan mimpi melihat mayat kanak-kanak yang rentung, terbaring di hadapannya, dua hari sebelum kejadian itu.
"Saya memang kerap dapat petanda dalam mimpi seperti mimpi kenduri besar-besaran itu, selalunya membawa kepada kematian dalam kalangan keluarga atau orang terdekat.
"Dua minggu sebelum itu, saya alami mimpi sama begitu selama tiga kali. Kemudian mimpi terakhir adalah melihat mayat kanak-kanak rentung terbaring di hadapan saya pada malam Selasa.
"Pada 9 pagi Khamis, kakak angkat yang tinggal di Kuala Lumpur menelefon minta tengok berita di televisyen mengenai pusat tahfiz arwah yang terbakar. Ketika itu hati saya sudah terdetik, anak saya meninggal dunia walaupun masih belum dimaklumkan statusnya.
"Saya sudah mengagaknya kerana rasa tidak sedap hati dan mimpi-mimpi berkenaan," katanya yang berhajat melakukan kenduri tahlil untuk arwah di tiga pusat tahfiz di Kota Bharu dalam masa terdekat.
Dalam kejadian Khamis lalu, pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, terbakar dipercayai akibat perbuatan khianat menyebabkan 24 orang maut termasuk dua guru.
Seramai 11 mangsa termasuk Muhammad Danieal dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Batu Caves, manakala, sembilan lagi di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang; Taman Kosas; Dato Keramat; Taman Medan, Jalan Klang Lama; Bukit Kuari, Cheras dan Puchong.
Tiga lagi jenazah masing-masing akan dikebumikan di tanah perkuburan di Paroi Jaya, Seremban (Negeri Sembilan), Pengkalan Kubur (Kelantan) dan Sungkai (Perak).

Pusat tahfiz mula operasi November | Tragedi Pusat Tahfiz terbakar

KUALA LUMPUR – Seramai 20 orang pelajar dijangka bakal memulakan pengajian di bangunan asal pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang baru siap dinaik taraf pada awal November ini.
Bangunan tersebut terletak kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian kebakaran yang mengorbankan 21 pelajar dan dua guru dalam kebakaran me­nyayat hati Khamis lalu.
Bangunan yang terbakar itu merupakan penempatan sementara untuk menempatkan pelajar pusat tahfiz bagi membolehkan bangunan asal dinaik taraf.
Menurut Pengetua pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Mohd. Zahid Mahmood (gambar bawah), pusat tahfiz berkenaan bakal menerima 20 pelajar iaitu 14 mangsa yang terselamat dan enam pelajar yang tidak terlibat dalam insiden itu kerana tidak tidur di asrama pada hari kejadian.
“Sepatutnya pusat tahfiz ber­kenaan akan memulakan operasi pada awal September ini, tetapi disebabkan insiden yang tidak diingini itu maka kita terpaksa melanjutkan operasinya pada November ini.
Zahid menunjukkan bangunan asal Darul Quran Ittifaqiyah yang baru siap dinaik taraf dan dijangka bakal memulakan operasinya awal November depan

Ponteng sekolah sampai 139 hari | Tragedi Pusat Tahfiz terbakar

Kejadian kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Kearamat Hujung Kuala Lumpur pada Khamis lalu mengorbankan 21 org pelajar & 2 org guru

KUALA LUMPUR – Tidak hadir ke sekolah sehingga 139 hari daripada 192 hari persekolahan merupakan antara punca enam daripada tujuh Geng Budak Jahat Keramat yang menjadi dalang kes bakar pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah Khamis lalu dibuang sekolah.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid (gambar kecil) berkata, seorang daripada suspek tersebut yang berusia 18 tahun pula berjaya menamatkan persekolahan dan menyambung pengajian ke sebuah institusi pengajian tinggi walaupun dia didapati tidak lagi belajar di sana ketika ini.
“Memang mereka pernah bersekolah tetapi akibat masalah disiplin, kesemua suspek tersebut telah berhenti belajar dan kita dapati ia berlaku antara tahun 2012 hingga 2016.

Skuad berbasikal para luar biasa

Skuad berbasikal para Malaysia meraikan kejayaan menyapu bersih 5 pingat emas yg ditawarkan pada hari kedua Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 di Velodrom Nasional Malaysia di Nilai Negeri Sembilan semalam.

----------------------------------------------------------------------------------------------------------------

PASUKAN berbasikal trek para negara melakar kejutan buat kali kedua apabila sekali lagi menyapu bersih kelima-lima pi­ngat emas yang ditawarkan pada sai­ngan terakhir acara berbasikal pada Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 di Velodrom Nasional Malaysia di Nilai, Negeri Sembilan semalam.
Kejutan itu bermakna skuad yang dibimbing oleh Mohd. Johari Nayan berjaya membolot 12 pingat emas secara keseluruhan selepas terdahulu mendominasi ketujuh-tujuh acara yang dipertandingkan kelmarin.
Menurut Johari, dia serta pasukannya sama sekali tidak menyangka pasukan negara boleh menyapu bersih kesemua emas yang ditawarkan kerana hanya enam emas menjadi sasaran mereka sebelum ini.
“Saya tidak sangka kami dapat meraih kesemua emas dalam masa dua hari. Ini adalah pencapaian yang sa­ngat membanggakan lebih-lebih lagi ia kali pertama dipertandingkan pada Sukan Para ASEAN. Bagi saya, ini adalah permulaan baik untuk pa­sukan para trek negara.
“Misi kami pada acara trek telah selesai dengan jayanya dan selepas ini, kami perlu fokus kepada acara lebuh raya pula. Kita masih sasarkan empat emas pada perlumbaan Rabu dan Khamis ini serta fokus lebih ter­arah pada acara ujian masa individu.
“Tidak mustahil kita boleh me­ngulangi pencapaian sama dengan me­nyapu bersih 12 emas yang ditawarkan atau melebihi sasaran pingat yang dibuat,” katanya semalam.
Sebagai rekod, skuad berbasikal trek para negara secara rasminya sudah melepasi sasaran 10 emas secara keseluruhan apabila membolot 12 emas dalam tempoh dua hari.
Dalam perkembangan lain, kelibat bekas pemenang pingat gangsa remaja dunia 2014, Muhammad Firdaus Mohd. Zonis telah mencuri tumpuan ramai apabila dia berjaya meraih emas pertamanya pada kejohanan tersebut semalam.
Atlet berusia 21 tahun itu yang menjadi jurumudi untuk Mohd. Amin Najmi Romzi dinobatkan sebagai juara pada acara 4,000 meter kejar mengejar individu lelaki (B) apabila menamatkan perlumbaan dengan catatan satu minit 13.212 saat (s) meninggalkan rakan senegara, Mohd. Afiq Afify Rizan dan Muhammad Khairul Adha Rasol yang me­raih perak dengan kelebihan 8.514s.

Frost angkat kaki


SELEPAS dua tahun berperanan sebagai Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost Hansen (gambar) melepaskan jawatan itu berkuat kuasa semalam.
Meskipun peletakan jawatan itu berkuat kuasa semalam, namun Frost, 59, diberikan notis selama enam bulan bagi berbincang dengan BAM serta Majlis Sukan Negara (MSN) berhubung masa depannya.
Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, pihaknya menerima surat peletakan jawatan daripada Frost pada 11 September lalu dan Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) sebulat suara bersetuju dan menerima permohonannya melepaskan jawatan.
“Dukacitanya saya ingin memaklumkan peletakan jawatan Morten (Frost) hari ini (semalam) selepas menerima surat beliau 11 September lalu. Selepas berbincang dengan jawatankuasa C&T, kami sebulat suara menerima peletakan jawatan beliau.
“Beliau mengambil keputusan ini adalah kerana perkara peribadi. Saya ucapkan selamat maju jaya dan terima kasih kepada Morten selama berkhidmat bersama BAM,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat C&T di Bukit Kiara, Kuala Lumpur semalam.