Monday, 21 July 2014

Metrowealth jelajah rumah kebajikan (Kosmo)


SEMPENA dengan kehadiran bulan Ramadan yang mulia ini, banyak pihak mengambil peluang untuk menganjurkan aktiviti kebajikan seperti majlis berbuka puasa dan penyerahan sumbangan kepada anak-anak yatim dan golongan yang memerlukan.
Menariknya, syarikat produksi yang paling banyak menerbitkan filem, Metrowealth Pictures Sdn. Bhd. (Metrowealth) turut tidak ketinggalan menganjurkan aktiviti sedemikian sepanjang bulan puasa ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Metrowealth, David Teo berkata, sejak syarikatnya itu ditubuhkan pada tahun 2000, pihaknya telah menjadikan aktiviti tersebut sebagai acara tahunan mereka.
“Pada tahun ini kami membuat jelajah di enam buah rumah kebajikan di sekitar Lembah Klang. Berkenaan dengan pemilihan rumah kebajikan tersebut, kami terlebih dahulu membuat kajian.
“Kami hanya memilih rumah kebajikan yang tidak dikenali dan kurang mendapat sumbangan daripada orang ramai. Kalau sesebuah rumah kebajikan itu semakin banyak mendapat sumbangan, kami akan pilih rumah yang lain pula,” ujarnya ketika ditemui semasa acara berbuka puasa dan penyerahan sumbangan di Rumah Amal Limpahan Kasih, Puchong, Selangor baru-baru ini.
Selain Rumah Amal Limpahan Kasih, Metrowealth turut mengadakan jelajah di lima buah lokasi lagi iaitu rumah Persatuan Ibu Tunggal (Taman Medan), Rumah Orang-Orang Tua Al-Ikhlas (Puchong), Rumah Nur Hikmah (Kajang), Rumah Kanak-Kanak Tengku Budriah (Cheras) dan Rumah Amal Chaya Tengku Ampuan Rahimah (Subang).
Menurut David, biarpun sambutan untuk filem-filem terbitan Metrowealth pada tahun ini agak kurang memberangsangkan tetapi ia langsung tidak menghalang mereka untuk terus memberikan sumbangan kepada golongan yang memerlukan.
Meskipun perbelanjaan syarikat terpaksa dipotong lantaran sambutan filem yang tidak memuaskan, David memberitahu, pihaknya tidak akan menyekat sebarang perbelanjaan untuk aktiviti kebajikan.

SUASANA meriah pada majlis berbuka puasa anjuran Metrowealth bersama penghuni Rumah Amal Limpahan Kasih, Puchong, Selangor baru-baru ini.

“Ada beberapa perbelanjaan yang terpaksa dipotong seperti mengadakan majlis berbuka puasa di hotel. Sebaliknya, kami rasa aktiviti kebajikan ini lebih penting memandangkan ia sudah dilakukan setiap tahun.
“Sudah menjadi ketetapan kepada pihak syarikat untuk berkongsi rezeki dengan mereka yang tidak berkemampuan. Saya percaya bahawa setiap amal kebajikan yang dilakukan akan mendapat balasan yang baik pada masa akan datang,” jelasnya.
Menurutnya, dengan penganjuran aktiviti sebegini juga dilihat boleh memberikan kesedaran kepada barisan pengarah dan artis yang bernaung bawah Metrowealth supaya sentiasa bersyukur dengan rezeki yang diperoleh.
“Menerusi aktiviti kebajikan ini pihak Metrowealth telah membuka ruang kepada pengarah dan artis kami untuk sama-sama memberikan sedikit sumbangan supaya kehidupan akan lebih diberkati,” ujarnya.
20 filem
Meskipun sambutan terhadap filem-filem terbitan Metrowealth pada tahun ini seperti Muka Surat Cinta, Jangan Pandang Belakang Boleh?, Lu Gua Bro, Sniper, Awak Nak Kahwin Dengan Saya dan Pengantin Malam kurang mendapat sambutan tetapi ia langsung tidak merisaukan David sebagai penerbit.
Berbanding dengan filem Jangan Pandang Belakang Boleh? dan Pengantin Malam yang mendapat kutipan melebihi RM1 juta, beliau menyedari tentang situasi yang berlaku terhadap sambutan filem Melayu dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.
“Saya akui terdapat beberapa filem yang kami terbit mencatatkan kutipan yang rendah tetapi masih ada beberapa lagi filem yang akan ditayangkan seperti Adnan Sempit Sawadikap, Nasi Kangkang, Kelibat dan Kaki Kitai.
“Saya percaya kesemua filem ini akan mendapat maklum balas yang positif daripada penonton serta kutipan yang baik memandangkan ia merupakan filem yang dapat memenuhi cita rasa penonton,” jelasnya.
Ujar David, selepas sambutan Hari Raya Aidifitri nanti, Metrowealth akan memulakan penggambaran filem untuk tahun hadapan dan pihaknya menyasarkan sebanyak 20 buah filem akan diterbitkan sepanjang tahun 2015.

No comments:

Post a Comment