Wednesday, 30 July 2014

‘Saya minta maaf’ (HMetro) Ustaz minta maaf, tak berniat hina agama Hindu (The Malaysian Insider)

“Saya mohon maaf kepada semua khususnya kepada kaum India,” kata penceramah bebas Ustaz Shahul Hameed MPH Seeni Mohd selepas video ceramahnya yang didapati menyinggung perasaan kaum India tersebar luas.
Berjaya bertahan sehingga minggu ke tujuh, sekali gus berjaya ... #pic gugel
Menurut penceramah bebas yang dicungkil bakat dalam program Pencetus Ummah itu, dia mengadakan ceramah terbabit secara tertutup namun mendakwa ada individu tertentu yang merakam dan memuat naik video berkenaan tanpa pengetahuannya yang didapati mempunyai niat buruk.
Shahul dalam permohonan maaf yang dimuat naik melalui video bedurasi 1 minit 41 saat dalam akaun Facebook miliknya juga mendakwa apa saja yang dikatakannya dalam ceramah terbabit adalah berdasarkan amanah ilmu yang difahaminya.

“Mungkin ada beberapa perkataan yang menimbulkan rasa tidak puas hati dan menyinggung perasaan terutamanya kaum India dan jika ia menyinggung perasaan mereka saya memohon maaf.
“Saya harap isu ini tidak dipanjangkan lagi dan saya akan pastikan perkara sepertinya ini tidak akan berulang lagi,” katanya dalam rakaman video permohonan maaf terbabit.
Terdahulu, seramai 30 ahli termasuk wakil Pemuda, Putera dan Wanita MIC negeri serta Parti Progresif Penduduk (PPP) serta NGO Hindu yang lain berkumpul jam 10 pagi di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) di sini semalam bagi membuat laporan polis dan meminta satu siasatan dijalankan terhadap penceramah bebas itu.
Ketua Putera MIC negeri, N G Senthelnathan berkata, tindakan itu dibuat selepas melihat Shahul Hameed didakwa sengaja menyentuh sensitiviti penganut agama Hindu dan melakukan tindakan provokasi berunsur perkauman dan meminta dia berhenti daripada terus menjalankan sebarang ceramah sehingga siasatan selesai.
Menurutnya, tindakan tegas perlu dikenakan ke terhadap beliau dan pihaknya tidak menyalahkan Shahul Hameed untuk menjalankan ceramah agama atau sebagainya, namun berharap ia tidak menyentuh kepercayaan dan agama kaum lain.
“Kami merayu dan meminta kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap Shahul Hameed dan juga mana-mana pihak yang cuba melakukan provokasi terhadap kepercayaan agama lain di negara ini kerana tindakan sedemikian tidak seharusnya berlaku.
“Negara kita mempunyai berbilang bangsa serta agama dan tidak seharusnya isu ini berlaku yang dilihat boleh mencetuskan rasa tidak tenteram,” katanya.
Shahul Hameed adalah Naib Juara program realiti, Pencetus Ummah dimana satu ceramahnya yang dimuat naik di laman Youtube menyentuh mengenai penggunaan serbuk kari jenama Alagapas di kalangan umat Islam di negara ini.
Video berdurasi 1.02 minit itu bertajuk Serbuk Kari Babas dan Alagapas (sempoi) dimana Shahul Hameed mempersoalkan tindakan umat Islam tidak menggunakan serbuk rempah keluaran syarikat Islam.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, siasatan menyeluruh akan dilakukan terhadap laporan yang dibuat.
=+=+=+=+=+=+=+=+=+=+=+=+=+=+=+=+=+=+=+=+=+=+=+=+=+=+=+=+=+=+=+

   Pendakwah bebas Ustaz Shahul Hamid Seeni Mohd hari ini tampil mengemukakan permohonan maaf dan menafikan niat menghina kaum India atau agama Hindu dalam ceramahnya empat tahun lalu.
Pendakwah daripada Pulau Pinang itu berkata, beliau tidak berniat menyinggung perasaan mana-mana pihak apabila melarang membeli produk Hindu seperti serbuk kari Alagappa's dan Baba's di hadapan penonton.
Beliau dalam ucapannya empat tahun lalu turut mempersendakan patung dewa Hindu yang terletak dihadapan premis kilang Alagappa's di Bukit Mertajam.
"Bukan niat saya untuk menghina dan mencetuskan ketegangan kaum.
"Saya cuma hendak tarik perhatian pendengar," katanya pada sidang media di masjid daerah Seberang Prai Tengah, Pulau Pinang hari ini selepas kenyataannya direkodkan polis.
Shahul menimbulkan kemarahan penganut Hindu apabila rakaman videonya menghina agama terbabit dimuat naik di YouTube.
Semalam, Pemuda MIC dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) mengadakan protes di Brickfields, mendesak pihak berkuasa mengenakan tindakan tegas terhadap Shahul.
Di George Town, Pulau Pinang semalam, 30 wakil MIC, Parti Progresif Penduduk (PPP) dan beberapa NGO India membuat laporan polis, menjadikan 400 jumlah keseluruhan laporan dibuat ke atas Shahul di seluruh negeri.
Pendakwah itu dalam rakaman berkata: "Jika kamu pergi ke kilang Alagappa's dekat Permatang Pauh, kamu tengok dekat pintu gerbang ada kepala tokong terjelir lidah panjang. Tuan-tuan tahu kenapa dia jelir lidah? Pasal mana yang rempah baru tokong kena rasa dulu sebelum jual."
Presiden MIC Datuk Seri G Palanivel dalam kenyataan hari ini juga menyatakan bukan tugas Shahul untuk mengkritik kepercayaan Hindu.
Shahul juga meminta maaf kepada masyarakat beragama Hindu dan rakyat Malaysia dalam akaun Facebook dan menyiarkan video maaf kerana kenyataannya sebelum ini.
Beliau mengulangi dakwaan tidak sedar ceramah yang sudah lama itu direkodkan dan dimuat naik dalam media sosial.
"Sejujurnya saya minta maaf atas kenyataan itu dan mungkin menghina komuniti India beragama Hindu. Saya jamin perkara ini tidak akan berulang... ini kali terkahir," katanya.
Shahul berkata beliau sedar dirinya juga berketurunan India.
"Saya rela berjumpa pemimpin masyarakat India dan menjelaskannya sendiri.
"Saya juga berharap laporan polis yang dibuat terhadap saya ditarik balik dan saya tidak akan dikenakan hukuman.
"Saya harap ada peluang untuk saya perbetulkan keadaan," katanya.
Beliau turut menafikan membuat kenyataan itu atas kapasitinya sebagai ahli PAS.
"Kalau beri ceramah saya buat atas kapasiti sebagai seorang penceramah peribadi bukan ahli PAS. Saya tidak pegang apa-apa jawatan parti.
"Saya tidak faham kenapa hendak dijadikan isu, kenapa hendak kaitkan dengan parti politik," katanya.
Beliau turut mengakui menerima ugutan bunuh melalui panggilan telefon dan Facebook sejak video itu tersebar dan sudah membuat laporan polis mengenainya.
Sebelum itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata semua rakyat Malaysia perlu bersatu demi mempertahankan keamanan dan keharmonian negara.
Ahli Parlimen Parit Buntar itu berkata, Shahul sudah pun meminta maaf dan isu itu perlu dihentikan segera.
Katanya, isu itu akan menyemai kebencian masyarakat jika terus dimainkan. – 31 Julai, 2014.

No comments:

Post a Comment