Wednesday, 30 July 2014

Sering tunda hasrat pulang ke kampung (Kosmo)


KETIKA Shahrom Shah, 36, bersama isteri dan tiga orang anaknya bersiap-siap untuk pulang ke kampungnya di Mantin, Negeri Sembilan pada pagi 1 Syawal tahun lalu, tiba-tiba telefon bimbitnya berdering.
Panggilan tersebut rupa-rupanya daripada pegawai tuntutan insurans (Call Man) yang menyampaikan maklumat kemalangan di Lebuh Raya Utara Selatan berdekatan Kajang.
Panggilan tersebut telah mengubah keputusannya untuk pulang ke kampung. Demi tugas dan kepercayaan yang diberikan, dia terpaksa membatalkan hasrat keluarganya untuk beraya di kampung pada hari raya pertama.
"Aidilfitri tahun lalu bukanlah pertama kali saya terpaksa membatalkan niat untuk pulang ke kampung. Sejak menceburi bidang perkhidmatan lori tunda lima tahun lalu, kemalangan banyak berlaku pada 1 Syawal di sekitar Lembah Klang," ujarnya yang menetap di Seksyen 2, Bandar Baru Bangi, Selangor.
Walaupun sedih, Shahrom terpaksa meninggalkan isteri dan anak-anak buat sementara waktu untuk melaksanakan tugasan. Persalinan baju Melayu, songkok dan samping ditubuhnya ditukarkan dengan kemeja T dan berseluar jean.
Shahrom bertuah kerana isteri dan anak-anak begitu memahami tugasnya.
Sebelum keluar melaksanakan tugasan, Shahrom sempat menjamah lemang dan rendang yang disediakan isterinya.
Boleh dikatakan, hampir setiap tahun Shahrom terpaksa berbuat demikian ketika merancang untuk menyambut hari pertama lebaran di kampung. Apabila tugasnya selesai, dia segera pulang ke rumah untuk meneruskan rancangannya bersama keluarga.
Pekerjaan sebagai pemandu perkhidmatan lori tunda sentiasa bersedia untuk membantu sekiranya kereta rosak di jalan raya atau berlaku kemalangan.
Menurut pemilik Shah Towing Service itu, dia pernah menerima panggilan daripada pegawai tuntutan insurans ketika berada di kampung, namun, terpaksa menolak tugasan tersebut kepada rakan yang lain.
Tidak mudah
"Bekerja pada hari pertama Aidilfitri tidak semudah disangka kerana banyak kemalangan besar berlaku. Bagaimanapun, saya gembira kerana dapat membantu pemandu yang sedang kesusahan. Sekiranya berlaku kemalangan maut, saya turut bersimpati terhadap mereka.
"Pekerjaan ini amat berisiko. Saya sering memberitahu kepada isteri bahawa ini merupakan punca rezeki keluarga. Setakat ini, isteri menerima dan memahami tugasan saya," ujarnya.
Shah Towing Service merupakan antara perkhidmatan lori tunda yang aktif mengadakan rondaan di sekitar Bangi, Kajang dan Putrajaya.

KETIKA umat Islam bergembira menyambut lebaran, Mohd. Fahmi gigih mengangkat batang sokongan untuk menunda kenderaan.


Jelasnya, pemandu lori tunda tidak akan menunda kenderaan yang rosak atau kemalangan dengan mudah. Apabila pegawai tuntutan insurans sampai di tempat kejadian, mereka akan memberi surat persetujuan.
Apabila surat itu telah ditandatangani oleh pemilik kenderaan, pegawai tuntutan insurans akan menelefon lori tunda untuk membawa kenderaan itu ke bengkel.
Selain memandu lori, pekerjaan perkhidmatan tunda kenderaan tidak semudah disangka. Mereka perlu menurun penyendal dan tali besi untuk mencangkuk kenderaan sebelum ditunda ke bengkel.
Digelar sebagai longkai yang merujuk kepada pemandu lori tunda, Shahrom tidak pernah peduli dengan gelaran itu. Dia tidak pernah mencetuskan pergaduhan dengan pemandu kenderaan mahupun pemandu lori tunda lain.
Dia mahu bekerja dengan ikhlas dan mencari rezeki yang halal untuk keluarganya.
Seorang lagi pemandu lori tunda kenderaan, Mohd. Fahmi@Izriq Abd. Rahman, 35, turut merasai pengalaman menyambut lebaran di jalan raya sama seperti Shahrom.
Pada hari pertama Aidilfitri tahun lalu, Mohd. Fahmi telah menunda kira-kira tujuh buah kenderaan yang terlibat dengan kemalangan di sekitar Lembah Klang.
Bapa kepada empat orang cahaya mata itu merupakan pemilik Botak Towing Enterprise dan menjalankan perkhidmatan tersebut secara sendirian.
Ceritanya, seluar baharu untuk Aidilfitri yang dipakai semasa bertugas terkena minyak hitam ketika membantu membaiki kereta pelanggan sebelum ditunda.
"Apabila sampai di bengkel, pelanggan yang menerima perkhidmatan lori tunda saya memberi sehelai seluar jean sebagai ganti. Saya amat terharu dengan sikap prihatin itu," ujarnya yang berasal dari Kajang, Selangor.
Selain menunda kenderaan, Mohd. Fahmi juga terpaksa melayan ragam pelanggan yang menyatakan rasa tidak puas hati dengan harga perkhidmatan tunda pada hari raya. Kebiasaannya, caj harga lori tunda pada 1 Syawal lebih mahal berbanding hari-hari biasa.
Jelasnya, pemandu lori tunda tidak mengambil kesempatan terhadap pelanggan. Sebaliknya, bayaran itu setimpal dengan perkhidmatan mereka terutamanya pada hari cuti umum.
"Kebiasaannya, saya bertugas di sekitar Kajang dan Putrajaya. Pada Hari Raya Aidilfitri, saya juga terpaksa pergi di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur apabila mendapat panggilan daripada pegawai tuntutan insurans. Tambahan pula, ramai pemandu lori tunda bercuti pada hari raya.
"Jalan-jalan persekutuan di ibu negara lengang pada hari pertama Aidilfitri. Namun, berbeza pula di lebuh-lebuh raya terutamanya Lebuh Raya Utara Selatan. Keadaannya lebih sesak. Namun, kemalangan banyak berlaku di jalan persekutuan walaupun tidak banyak kenderaan," jelasnya.
Baginya, kemalangan terutama pada Hari Raya Aidilfitri berpunca daripada kecuaian pemandu di jalan raya.

SHAHROM terpaksa meninggalkan keluarga tercinta demi tuntutan kerjanya pada 1 Syawal.


Cebisan mayat
Apabila caj untuk menunda kenderaan lebih mahal daripada kadar biasa, pelanggan memarahi pemandu lori tunda. Sedangkan pemandu kenderaan tidak sedar bahawa kemalangan tersebut terjadi disebabkan kecuaian mereka.
Ketika ditanya mengenai pengalaman pahit sewaktu bertugas semasa Hari Raya Aidifitri, Mohd. Fahmi memberitahu, dia pernah menunda kereta yang terlibat dalam kemalangan maut di Bangi.
"Kemalangan itu berlaku pada 1 Syawal dua tahun lepas. Saya turut membantu pihak polis mengutip cebisan mayat seperti tangan, kaki dan telinga mangsa.
"Ketika mengangkat mayat itu, timbul keinsafan dalam diri. Saya juga terfikir penerimaan keluarga mangsa terhadap perkhabaran buruk itu. Walaupun sering berada di kawasan kemalangan, kejadian tersebut merupakan yang terburuk sepanjang 12 tahun saya memandu lori tunda," ujarnya.
Walaupun bertugas pada 1 Syawal, Shahrom dan Mohd. Fahmi turut menyambut lebaran bersama rakan-rakan pemandu lori tunda sekitar Bangi dan Kajang.
Walkie-talkie merupakan alat komunikasi yang digunakan oleh pemandu lori tunda untuk berhubung antara satu sama lain. Walaupun di tepi jalan raya, mereka tetap akan berkumpul beramai-ramai sambil menikmati juadah hari raya yang dibawa dari rumah.

KEMALANGAN yang berlaku pada musim perayaan kebanyakan berpunca daripada kecuaian. - Gambar hiasan


Sementara itu, seorang lagi pemandu lori tunda, Narulezam Rahmat, 39, memberitahu, lebaran tahun ini merupakan kali pertama dia tidak pulang ke rumah keluarganya di Dengkil, Selangor kerana tuntutan kerja.
Empat tahun lalu, bapa kepada tiga orang cahaya mata itu bekerja secara makan gaji sebagai pegawai tuntutan insurans.
Kini, dia memiliki syarikat perkhidmatan lori tunda dan menguruskan perniagaan itu secara sendirian sejak setahun lalu.
"Bekerja sendiri lebih bebas terutamanya dari aspek pengurusan masa. Namun, panggilan kecemasan boleh berlaku pada bila-bila masa. Saya perlu bersiap sedia setiap masa.
"Aidilfitri ini pasti berbeza kerana sebelum ini, saya mendapat cuti daripada majikan. Tahun ini terpaksa bersiap sedia berhadapa sebarang kemungkinan yang berlaku di jalan raya," ujarnya.

No comments:

Post a Comment