SUHAINI bersama anakanak ketika menghadiri majlis konvokesyen anak sulungnya, Nil Aina Adibah.
Esok genap lima tahun, Suhaini Che Man, 47 beraya tanpa suami di sisi. Pemergian Allahyarham Mior Ahmad Fuad Mior Badri atau Din Beramboi sememangnya dirasai Suhaini dan anak-anak.
Arwah yang menceriakan keluarga ketika bersama-sama bergotong-royong melakukan persiapan raya, tetapi tidak lagi sejak lima tahun lepas.
Pada saat kebanyakan keluarga sibuk bertungkus-lumus mengemas rumah dan menyediakan juadah raya bersama keluarga, berbeza pula dengan apa yang dilalui wanita cekal bersama tiga orang anak ini.
Secekal mana pun, hatinya terusik apabila mengenangkan memori raya bersama arwah.
Kata Suhaini, rumah menjadi meriah dengan gelagat si suami yang mengundang tawa seisi keluarga tetapi saban tahun masing-masing tidak bermaya kerana kehilangan 'nyawa' rumah itu.
Tiga orang anaknya, Nil Aina Adibah, 22; Mior Shafiq, 16; dan Nil Ain, 10, turut merasai perbezaan ketara namun menghormati perasaan ibu, jadi mereka tidak pernah merungut apa-apa.
"Dulu arwah selalu gunakan alasan anak-anak untuk bermain mercun. Sebenarnya arwah yang ingin bermain mercun. Masa itu suasana sangat meriah.
"Masih terbayang-bayang gelak-tawa dan gelagat arwah ketika bermain mercun bersama jiran-jiran kami," katanya yang mempunyai butik pakaian sendiri dengan label Beramboi.
Selama hidup dengan Allahyarham Din, sukar benar untuk Suhaini melupakan segala pengalaman yang pernah dilalui khususnya menjelang hari raya.
Setiap kali tibanya Aidilfitri, arwah katanya, akan mencari bunga api dan mercun untuk menceriakan sambutan hari raya.
Kerana sayangkan keluarga juga, Din juga sering menolak segala tawaran kerja seminggu sebelum tiba hari raya.
Semua itu ujar Suhaini dilakukan suaminya bagi memastikan persiapan raya untuk mereka sekeluarga dilakukan.
"Arwah sangat sayangkan anak-anak. Setiap kali hari raya, sama ada beliau ada duit atau tidak, arwah akan pastikan anak-anak dapat baju raya baharu yang berjenama. Kami pernah tidak berduit tetapi arwah tidak mahu anak-anak berasa susah," ujarnya.
Allahyarham Din Beramboi menghembuskan nafas terakhirnya pada 2 April 2010 di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Selayang akibat demam denggi berdarah.
Bercerita tentang perniagaannya, Suhaini menumpukan pada pakaian wanita seperti jubah, tudung dan palazo. Kebanyakan pakaian tersebut direka sendiri. Suhaini kerap ke Bangkok, Thailand untuk mencari fabrik terbaik untuk produknya.
"Dulu semasa hayat arwah, dia bertanggunjawab sepenuhnya mencari rezeki buat kami. Saya pula banyak menguruskan jadual beliau. Setelah pemergian arwah, saya akui hilang punca rezeki.
"Alhamdulillah, peluang perniagaan terbuka untuk saya. Perlahan-lahan saya belajar selok-belok perniagaan. Sebelum memulakan perniagaan ini, saya menyertai pelbagai kursus termasuk pemasaran. Saya mahu menghasilkan pakaian menggunakan fabrik dan corak yang berbeza. Dalam masa yang sama, saya tidak akan mengeluarkan kuantiti yang banyak. Misalnya satu jenis tudung itu, saya akan keluarkan dalam 20 hingga 30 helai.
"Walaupun memiliki butik sendiri, saya masih berjual di bazar-bazar tertentu seperti orang lain. Nama Beramboi itu sendiri sudah menjadi identiti keluarga kami. Misalnya anak sulung kami menggunakan nama Nil Beramboi dalam karier seninya," ujarnya.
Suhaini turut bersyukur kerana anak sulungnya berjaya memperolehi Ijazah Sarjana Muda daripada Universiti Limkokwing dalam bidang perfileman. Katanya dalam nada sayu, inilah hajat dan impian arwah untuk melihat semua anaknya melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat universiti.
"Limkokwing telah memberi tajaan pelajaran kepada anak-anak saya yang mahu belajar di universiti berkenaan. Peluang ini memang tidak disia-siakan Nil.
"Lebih mengharukan saya, anak-anak tidak pernah meminta lebih termasuklah dalam perihal kelengkapan belajar. Apa yang ada dan mampu saya berikan, mereka terima dengan hati yang terbuka. Bahkan 1 Syawal esok kami sambut dalam suasana yang meriah tetapi sederhana di Melaka," kata Suhaini.
No comments:
Post a Comment