Zahari menunjukkan satu2nya tangki yg disediakan utk menampung penggunaan air bagi 9 rumah
-------------------------------------------------------------------------------------------
RAUB - Ketiadaan air setiap kali Aidilfitri menyebabkan penduduk Kampung Sain, Sega, dekat sini hilang kemeriahan menyambut suasana hari raya.
Difahamkan, sembilan rumah membabitkan sembilan keluarga tidak dapat meraikan Aidilfitri dengan sempurna kerana kampung mereka tidak dilengkapi kemudahan air yang sempurna.
Seorang penduduk, Muhamad Iqbal Abdul Manan, 27, berkata, masalah itu telah berlarutan sejak hampir lapan tahun lalu.
Menurutnya, keadaan bertambah sukar apabila saudara-mara pulang ke kampung untuk menyambut hari raya.
“Kami hilang mood untuk berhari raya kerana setiap kali musim perayaan, pasti akan ada masalah air.
“Tak dinafikan pihak berkaitan ada hantar air ke kampung kami tetapi apabila ramai saudara pulang, bekalan yang diberi tidak mencukupi,” katanya.
Muhamad Iqbal berkata, hanya ada satu tangki yang disediakan untuk menampung bekalan bagi sembilan rumah.
“Maklumlah hari raya, ramai tetamu datang rumah, pinggan mangkuk kotor juga banyak yang perlu dicuci.
“Memang kami marah bila tiada air kerana rutin terganggu dan susah untuk membersih diri, rumah dan sebagainya,” katanya. Katanya, masalah ini turut dihadapi pada hari-hari biasa dan penduduk terpaksa berhadapan gangguan bekalan air sehingga lima atau enam kali dalam setahun.
Anak sungai yang menjadi sumber air penduduk Kg Sain setiap kali ketiadaan air
-------------------------------------------------------------------------------------
Mandi sungai
Ketiadaan bekalan air ini menyebabkan penduduk kampung terpaksa pergi ke anak sungai berhampiran untuk mandi dan mencuci pakaian.
Seorang lagi penduduk, Zahari Ahmad, 44, berkata, anak sungai terbabit terletak kira-kira 50 meter dari kediaman mereka.
“Bekalan air yang diberi memang cukup-cukup untuk makan dan minum sahaja.
“Kalau hendak mandi, basuh kain, pinggan dan sebagainya, kami terpaksa pergi ke anak sungai,” katanya.
Menurut Zahari, keadaan bertambah parah apabila ada ketikanya pihak berkaitan tidak menghantar bekalan air sehingga seminggu lamanya menyebabkan penduduk terpaksa mengangkut air sungai untuk memasak.
Muhd Iqbal menunjukkan paip di singki rumahnya yg tiada air
-----------------------------------------------------------------------------------------
Bayar bil tapi tiada air
Katanya lagi, meskipun bil air dibayar setiap bulan, namun masalah yang sama tetap timbul.
“Setiap kali kami buat aduan kepada pihak berwajib, mereka sering memberikan jawapan yang sama sedangkan masalah ini sudah lama dan ia sepatutnya diselesaikan hingga ke akar umbi,” katanya.
Menurutnya, penduduk terpaksa mengeluarkan kos untuk membeli tangki dan tong air yang ditempatkan di hadapan rumah bagi mendapatkan bekalan air lebih banyak daripada lori tangki.
“Kami mahukan air yang sudah ditapis dan bersih untuk kegunaan harian kerana bimbang dijangkiti penyakit berbahaya seperti kencing tikus,” katanya.
Terpaksa guna lampin pakai buang
Ketiadaan air sememangnya menyukarkan penduduk khususnya warga emas untuk berulang-alik dari kediaman mereka ke anak sungai berhampiran.
Seorang warga emas, Fatimah Sam, 86, berkata, dia yang mengalami lumpuh separuh badan mengalami kesukaran untuk membersihkan diri setiap kali ketiadaan air.
“Ramai warga emas di sini terpaksa guna lampin pakai buang kerana kami sudah tidak larat untuk berjalan ke sungai,” katanya.
Katanya, keadaan bertambah sukar apabila anak-anak sudah pulang ke kediaman masing-masing kerana tiada sesiapa yang dapat menolong mereka untuk mengangkut air.
“Apabila anak-anak pulang ke kampung, mereka akan bantu sediakan keperluan kami tapi apabila mereka sudah bekerja, tiada siapa dapat tolong kami untuk angkut air,” katanya.
Sinar Harian telah memaklumkan perkara ini kepada pihak berwajib dan difahamkan akan memberi maklum balas berkaitan isu ini.
No comments:
Post a Comment