FIGURA rock tersohor ini menjanjikan suatu kejutan pada Konsert Mega Hayat...45 Tahun Seniman Ramli Sarip.
BUKAN kali pertama diberi peluang untuk berjumpa dengan figura ini. Namun setiap kali mendengar getar lantunan yang terbit daripada kotak suaranya, hati mudah larut, lantas mudik ke alur gema yang berbaur banyak rasa hingga berlabuh di lembah syahdu.
Bukan terlalu memuja tetapi lelaki yang melepasi usia separuh abad bernama Datuk Ramli Sarip ini sebenarnya sudah tersangat layak untuk duduk dan berdiri di atas panggung batu ambar.
Dalam sedar atau tidak, sudah lebih 45 tahun muziknya mengalir mengisi perjalanan zaman. Kembara seninya subur membiak. Tahun 2014 menjadi cerminan bahawa anak Melayu Singapura itu masih perkasa berlagu tanpa puas.
Gelaran Papa Rock yang diberi tanpa pintanya itu jadi pengukur kredibiliti Ramli bahkan tidak keterlaluan dia juga menjadi sumber rujuk kepada benih rock yang mahu bercambah.
Betapa nyanyian figura ini dirasakan keluar daripada jiwa yang dalam dan meresap ke jiwa para penggemar karyanya.
Meminjam emosi Konsert Mega Hayat...45 Tahun Seniman Ramli Sarip yang akan dinikmati pengikut setianya bermula 17 hingga 19 Oktober ini, bekas vokalis kumpulan Sweet Charity itu diintai untaian kisah dan ceritanya.
Permulaan
Mengimbau kembali pada era lewat 60-an, beliau sama seperti anak muda biasa. Minat mendalam terhadap bidang muzik membuatkan beliau yang masih berusia 14 tahun pada ketika itu memberanikan diri menyanyi di sebuah majlis kenduri kahwin.
Bertitik-tolak daripada peristiwa itulah, Ramli tidak menoleh ke belakang untuk mendalami bidang muzik secara terperinci. Bersama teman-teman yang terdiri daripada Rahman Sarbani, Wahid Warren dan Joe Salim, lalu terhasil sebuah ikatan dan gabungan sebuah perjuangan muzik dalam bentuk band yang diberi nama Sweet Charity.
Pada ketika itu, platform sebagai seorang anak seni hanyalah di kelab-kelab malam. Tidak terkecuali juga Ramli dan kumpulannya, Kelab Ocean Bar, Sembawang, Singapura menjadi saksi kepada permulaan karier seni mereka.
Hanyalah berperanan menyampaikan lagu-lagu daripada band negara barat termasuk Beatles, Rolling Stone, CCR Cream atau Bad Company, Ramli dan rakannya terus mengorak langkah awal mencipta identiti sendiri.
Kegilaan budaya hippies pada ketika itu, sedikit sebanyak memberi impak kepada gerombolan anak muda yang penuh antusias terhadap muzik itu sehingga mempengaruhi mereka daripada segi pemakaian dan gaya hidup.
Ironinya pada ketika itu, budaya tersebut dianggap budaya kuning dan tidak sihat. Namun, penyanyi bersuara serak-serak basah ini beberapa kali menegaskan akar melayu dan agama menjadi keutamaan kepadanya.
"Ya, sebagai seorang penyanyi yang menjadikan seni suara sebagai medium utama mencari sesuap nasi, kita diselubungi dengan pelbagai pengaruh yang tidak sihat, namun, semua ini berbalik kepada diri kita sendiri.
"Jika akar kemelayuan dan agama kita kuat, sehebat manapun pengaruh yang datang, insya-Allah, kita akan tetap berada di landasan yang betul. Apa yang menjadikan kita terus utuh ialah niat untuk berkarya dan menghiburkan peminat," lontarnya ketika ditemui pada sesi sidang akhbar Konsert Mega Hayat...45 tahun Seniman Ramli Sarip di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Sweet Charity
Dilabelkan sebagai Deep Purple Singapura dan pelopor band rock di Malaysia, sudah tentunya Sweet Charity bukan picisan. Ramli yang mengepalai kumpulan ini sejak penubuhannya pada tahun 1967 mengharumkan namanya dengan kumpulan itu.
Sweet Charity yang lengkap dibarisi Ramli sendiri sebagai vokalis utama, serta teman-teman rapat yang terdiri daripada Rosli Mohalim (gitar), Joe Salim (gitar), Wahid Warren (bass) dan Rahman Sarbani (dram) merupakan gandingan mantap sehingga menjadi rujukan generasi baharu seperti Search dan Lefthanded.
Untaian lagu-lagu seperti Kamelia, Teratai, Sejuta Wajah, Hilang Gelap Terbitlah Terang cukup memberikan kesan yang begitu mendalam terhadap industri muzik rock yang baru menapak di Malaysia pada ketika itu.
Menjadi masyhur di nusantara melalui lagu Kamelia (lagu asal Ebiet G. Ade) yang telah diberi suntikan irama yang lebih 'keras' dengan suara nyaring dan serak basahnya, Ramli menjulangkan lagi nama kumpulan legenda tersebut.
Selama Ramli bersama kumpulan itu, Sweet Charity telah menghasilkan tujuh album bermula Sweet Charity pada tahun 1979 diikuti Pelarian (1980), Sejuta Wajah (1981), Penunggu (1982), Batu (1983), Koleksi (1984), Berita Gempa (1985) dan Sweet Charity 88' (1988).
Ketika kariernya bersama kumpulannya itu sedang mencanak, tahun 1986 menjadi sejarah apabila Ramli mengambil keputusan untuk bergerak secara solo dan Sweet Charity pula tetap meneruskan perjuangan bersama vokalis wanita yang dikenali sebagai Zaitun.
Bagi Ramli, keputusan tersebut diambil atas alasan untuk memperkembangkan karier seninya. Walaupun berdiri secara solo, hubungannya dengan anggota Sweet Charity yang lain masih erat seperti biasa.
"Saya merasakan ada kurang sesuatu jika persembahan dilakukan tanpa kumpulan saya, mereka bagaikan semangat untuk saya berada di atas pentas dan terus menghiburkan peminat.
"Lagipun, dahulu kami pernah susah senang bersama dan saya juga begitu senang diiringi oleh mereka disebabkan persefahaman yang terjalin berdekad lamanya," ujarnya lagi.
Keluarga
PEJUANG muzik rock kental ini membuktikan kredibilitinya apabila meraih gelaran Papa Rock.
Sudah tentunya ramai yang ingin mengetahui kehidupan peribadi di sebalik legenda rock tanah air ini memandangkan sifatnya yang begitu misteri apabila bercerita mengenai hal keluarganya.
Beliau yang menidakkan kenyataan tersebut berkata, beliau tidak mempunyai masalah untuk mendedahkan keluarganya.
Malah, figura ini tidak keberatan jika pihak media ingin merakam potret beliau dan isteri tersayang, Sapiah Omar, 57, bersama puteri mereka, Zaheera yang kini menginjak usia 34 tahun.
"Saya tidak mempunyai masalah untuk mendedahkan mereka, namun secara peribadinya saya tidak berapa gemar untuk mencampur-adukkan hal kerja dan peribadi.
"Jika hanya jemputan nyanyian untuk dua atau tiga buah lagu, saya rasa tidak berbaloi untuk membawa mereka. Tetapi jika konsert tersebut besar dan ia bermakna bagi saya, insya-Allah, saya akan memastikan keluarga saya berpeluang menyaksikannya.
"Mereka juga tidak keberatan jika diajak bersama untuk menyaksikan konsert saya malah begitu teruja sekali untuk menyaksikannya," ujarnya yang bercadang untuk membawa ahli keluarganya untuk turut menyaksikan Konsert Mega Hayat..,45 tahun Seniman Ramli Sarip itu.
Hayat
Sementara itu, selepas bisanya diluahkan dalam jelajah konsert Blues Buat Teman beberapa bulan lalu, kini Ramli berpadu sekali lagi bersama teman seperjuangannya untuk konsert tersebut.
Ditebak dengan soalan kenapa istilah hayat itu dipilih untuk judul konsertnya itu kali ini, ujar Ramli, konsert pada kali ini sangat berbeza berbanding konsert sebelumnya. Hal ini demikian kerana konsert ini lebih kepada penceritaan melalui lagu sepanjang 45 tahun beliau berkecimpung dalam muzik.
"Konsert ini akan membawa penonton menghayati pengembaraan seni yang saya lalui sepanjang 45 tahun, Terlalu banyak perkara yang mahu saya kongsikan kepada peminat-peminat menerusi konsert ini nanti.
"Ia juga akan dipakejkan supaya ia lebih bercorak antarabangsa berbanding konsert sebelum ini yang bersifat lokal," ujarnya yang pernah menggondol Anugerah Nadi Cipta pada majlis Anugerah Persatuan Perlindungan Hak Cipta Karyawan Muzik (M) Berhad (MACP) pada tahun 2012.
Tambah Ramli, agak sukar untuk mencari judul yang sesuai bagi menggambarkan kronologi sebenar sepanjang beliau bergelar anak seni.
"Hayat bukan sahaja mengenai persembahan lagu, malah ia lebih daripada itu, Insya-Allah peluang melakukan persembahan bersama teman akan dilakukan sebaiknya untuk memberi kepuasan kepada penonton," katanya.
Memandangkan ikon ini sinonim dengan dua buah negara, Malaysia dan Singapura, konsert tersebut akan diadakan di kedua-dua buah negara tersebut.
Figura itu akan membuka tirai konsertnya di Istana Budaya, Malaysia pada 17 hingga 19 Oktober ini dan akan meneruskan kesinambungan konsert Hayat di Esplanade Singapura pada 21 Oktober ini.
Tambah menarik, turut dijemput untuk mewarnai lagi konsert tersebut ialah Dayang Nurfaizah dan Aris Ariwatan.
Menurut Ramli, pemilihan mereka sebagai artis jemputan dilakukan berdasarkan keserasian vokal di samping ikon ini mempunyai pengikut dan kelas yang tersendiri.
"Mereka mempunyai kelas mereka tersendiri dan zaman mereka, saya berasa amat berbesar hati kerana diberi peluang buat pertama kalinya untuk bekerjasama dengan dua penyanyi berbakat ini," luahnya.
Selain Dayang Nurfaizah dan Aris Ariwatan, seperti biasa konsert kali ini juga akan didukung oleh barisan pemuzik yang sudah biasa bekerjasama dengan beliau.
"Antara barisan pemuzik yang bakal mengiringi saya pada malam bersejarah tersebut termasuklah Man Kidal, Rizal Halim, Zaman, Din Safari dan Tom Anuar, mereka ini bukan pemuzik biasa, malah bertaraf bintang," katanya yang menjanjikan kejutan besar pada malam konsert tersebut
Tambah menjadi tarikan utama pada konsert kali ini, Ramli bakal menjemput rakan seangkatannya daripada tanah seberang iaitu vokalis kumpulan God Bless, Achmad Albar.
"Sudah lama saya bercadang untuk menjemput beliau (Achmad Albar) untuk hadir memeriahkan konsert pada kali ini. Memandangkan kami merupakan sahabat baik dan pernah berganding tenaga suatu ketika dahulu, saya rasa gabungan kali ini pasti menggamit kembali memori kegemilangan rock.
"Bagaimanapun, ia masih lagi dalam perancangannya dan jika berkesempatan dan mempunyai masa terluang tentunya beliau akan datang bergabung tenaga dengan saya," ujarnya teruja.
Melanjutkan perbualannya, konsert itu akan dibahagikan kepada empat segmen iaitu Blues Rock, akustik, kerohanian dan muzik berkumpulan.
"Insya-Allah, persembahan yang dibawakan pastinya berbeza dengan konsert-konsert sebelum ini.
"Memandangkan terlalu banyak koleksi lagu yang ada, saya bersama pemuzik-pemuzik akan meneliti sebaik-baiknya agar memilih lagu yang terbaik buat penonton, Malah para peminat juga boleh memberi cadangan lagu kegemaran mereka menerusi akaun Facebook saya," ujarnya.
Sementara itu, orang ramai boleh mula membeli tiket konsert Hayat di Istana Budaya yang telah mula dijual bermula seminggu lalu pada harga RM83 hingga RM443.
Tiket tersebut juga boleh ditempah menerusi laman web www.iLassotickets.com atau talian 03-79576088. Sementara di Singapura pula dijual pada harga RM102 ($40) hingga RM204 ($80) menerusi laman web www.sistic.com.