Monday, 4 August 2014

Bedilan peluru 'raikan' Syawal (Kosmo)


KETIKA umat Islam di Malaysia sedang bersuka ria menyambut kehadiran 1 Syawal, kira-kira 1.8 juta penduduk di Genting Gaza sedang berduka.
Ramadan yang dilalui juga tidak semeriah Ramadan sebelum ini. Sejak 10 Ramadan lalu, hampir semua penempatan penduduk di Genting Gaza dibedil tentera rejim Zionis sehingga mengakibatkan lebih 1,400 penduduk awam syahid. Daripada jumlah itu, 208 adalah kanak-kanak.
Sebanyak 190,000 pula hilang tempat tinggal manakala sehingga berita ini ditulis, lebih 8,000 orang cedera parah akibat serangan bertubi-tubi tentera rejim Zionis ke atas penduduk awam Gaza.
Gaza yang hanya berkeluasan 360 kilometer persegi iaitu jika dibandingkan bandar Diraja Klang, Selangor ia lebih luas daripada tanah penduduk Palestin. Bandar Klang berkeluasan 573 kilometer persegi.
Ketika rakyat Malaysia sedang bersesak-sesak membeli pakaian untuk berhari raya di kompleks beli-belah, penduduk Palestin sibuk membeli kain kafan.
Ketika anak-anak di Malaysia seronok bermain bunga api, anak-anak Gaza ketakutan mencari perlindungan bedilan hujan peluru Zionis.
Solat jenazah
Ketika ramai keluarga bersiap sedia pulang berhari raya di kampung, keluarga di Gaza pula sibuk mencari sanak saudara mereka di bawah timbunan rumah yang ranap menyembah bumi akibat dibom tentera Israel.
Ketika ayah, ibu, anak-anak seronok menaiki kereta ingin pulang ke kampung, ayah dan ibu di Gaza menaiki ambulans menghantar anak-anak ke hospital sama ada cedera dibedil Zionis. Mungkin ada yang syahid.
Ketika rakyat Malaysia seronok berbaju Melayu menunaikan solat sunat Hari Raya Aidilfitri, penduduk Gaza pula masih memakai baju yang sama sejak 19 hari lepas menunaikan solat jenazah untuk para syuhada yang gugur dengan angka yang semakin bertambah.
Itulah suasana Aidilfitri di Gaza ketika ini. Gencatan senjata selama 12 jam pada 26 Julai lalu hanya membolehkan penduduk Gaza yang rumah mereka dibedil kembali mencari saki baki harta yang musnah.
"Kami tidak tahu sama ada kami masih hidup esok ketika selepas berbuka hari ini kerana serangan datang secara tiba-tiba.
"Kaum wanita memakai jilbab termasuk ada yang memakai telekung tanpa membukanya ketika tidur kerana mereka tidak tahu sama ada mereka masih hidup atau tidak keesokan harinya.
"Dengan memakai jilbab, kaum wanita mengatakan mereka boleh terus dibawa ke kubur untuk disemadikan. Tidak perlu menyusahkan sesiapa," kata Koordinator Media Pejabat Aman Palestin Gaza, Hamza Dierawi.
SILATURRAHIM tetap menjadi agenda utama penduduk Gaza meskipun mereka diserang tentera rejim Zionis

Solat di gereja
Menurut Hamza, apabila malam melabuhkan tirainya, seluruh penduduk Gaza mula risau kerana tidak tahu sama ada akan dapat bernafas keesokkan harinya atau tidak.
Kebanyakan penduduk Gaza yang menetap bersama tidak kurang daripada 10 ahli keluarga dalam satu rumah akan duduk bersama-sama menanti hari siang.
Itulah sebabnya jika ada serangan rejim Zionis ke atas sebuah rumah, paling kurang 10 orang akan terkorban kerana kepadatan penduduk Gaza yang duduk serumah.
"Kami juga kini tidak dapat ke masjid untuk menunaikan solat berjemaah dan tarawih kerana khuatir tentera Zionis akan melakukan serangan dengan bom mortar dan roket.
"Ramai rakan-rakan saya syahid sebaik selesai solat di masjid. Malah sekarang, kami terpaksa solat jemaah di gereja kerana masjid tidak lagi selamat.
"Jika sebelum ini, malam 27 Ramadan amat hidup, kami akan bersama-sama iktikaf di masjid untuk qiamullail dan bersolat bersama-sama, namun kini tidak lagi.
"Kedai-kedai di sini akan sesak dengan penduduk Gaza untuk membeli kuih-muih dan manisan serta kelengkapan Aidilfitri, namun hari ini kawasan kedai-kedai di sini sunyi sepi tanpa ada kedai yang mahu membuka kedai-kedai mereka," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pejabat Aman Palestin Gaza, Omar Seyam berkata, serangan yang dilakukan rejim Zionis sejak sebulan lalu turut mengorbankan lapan ahli keluarga terdekatnya yang menetap di Rafah.
Tidak dipedulikan
Kata Omar, serangan yang dilakukan pada awal pagi itu turut membunuh bayi saudaranya yang berusia sembilan bulan.
"Setiap hari penduduk Gaza menghadapi situasi seperti saya. Malah ada yang lebih teruk, sebagai contoh, seorang petugas perubatan di hospital yang dikejarkan ke lokasi kejadian tidak sedar dia terpaksa menyelamatkan keluarganya sendiri.
"Itu realiti di Gaza sekarang. Israel menganggap setiap rumah yang ada di Gaza menyimpan peralatan perang Briged Izzuddin Al-Qassam. Mereka menghalalkan semua perkara sebagai sasaran membunuh penduduk awam," katanya.
KAKITANGAN Aman Palestin Gaza memastikan bantuan projek kecemasan Aman Palestin diserahkan kepada mereka yang memerlukan.

Hamza dan Omar juga berpendapat bahawa mereka kini bukan lagi berbangsa Arab, kerana jiran-jiran negara Arab di sekeliling mereka diam tanpa mahu membantu mereka.
Mereka lebih senang dikenali sebagai bangsa Palestin dan turut menyanjungi Malaysia kerana tidak putus-putus memberikan bantuan dan sumbangan dalam apa juga keadaan.
Sementara itu Huff Post dipetik melaporkan, Di Beit 'Anan, sebuah perkampungan kecil Arab di Tebing Barat, Haya Dawod dan keluarga besarnya duduk di sekeliling meja bulat di ruang tamu rumah ibu bapanya untuk meraikan sambutan Aidilfitri.
Isnin lalu merupakan sambutan Aidilfitri iaitu hari kemenangan bagi umat Islam di seluruh dunia selepas sebulan mereka menjalani ibadah puasa.
Namun tahun ini, mood sambutan dalam kalangan rakyat Palestin kurang bermaya sekali gus menggambarkan hidangan Aidilfitri Haya. Antara sajian yang dihidangkan termasuklah kambing panggang dan maamoul iaitus jenis manisan manis berkelopak yang diisi madu dan kacang serta fawakih iaitu buah-buahan seperti anggur, epal dan mangga.
"Lazimnya kami menyediakan banyak hidangan," kata Hana, 21. Begitu juga muzik dan permainan tetapi dengan situasi yang berlaku di Gaza mereka menyediakannya ala kadar sahaja.
Tahun ini, media terutama televisyen memaparkan banyak berita mengenai Gaza. Sekurang-kurangnya 300 kanak-kanak ditempatkan di Hospital Al-Shifa yang menjadi mangsa akibat pengeboman di Gaza. Sehingga artikel ini ditulis, pihak berkuasa Hospital Al-Shifa merekodkan lebih 1,400 kematian dicatatkan, manakala 500 adalah kanak-kanak.
"Situasi di Gaza kali ini langsung tidak menggambarkan sambutan Hari Raya Aidilfitri. "Kami tidak gembira. Kami tidak mahu meraikan apa-apa. Ramai dalam kalangan kami yang meninggal dunia,'' kata seorang peniaga bazaar di Kota Lama Baitulmaqdis, Maher Abu Mayaleh.
Aidilfitri lazimnya masa bagi kebanyakan orang membeli pakaian baharu, daging terbaik, manisan dan sayur-sayuran bagi menyajikan makanan terbaik pada musim perayaan. Bahkan, rata-rata akan mengunjungi antara satu sama lain untuk mengeratkan silaturrahim.
Namun, tahun ini ramai yang memilih minum kopi tanpa gula bagi menggantikan manisan. Amalan minum kopi tanpa gula adalah budaya penduduk Palestin sebagai tanda mereka berkabung. Mereka juga lebih banyak bersedekah kepada penduduk Gaza daripada membeli pakaian baharu. Bahkan, rata-rata hanya duduk di rumah dan melekat di depan kaca TV untuk mengetahui perkembangan terkini berbanding pergi bercuti.
Hamed Hamam, 7, anak kepada Abed Alkareem memberitahu dia teruja untuk bertemu keluarganya di Ramallah dan bermain bersama sepupu-sepupunya. Namun, demi perpaduan penduduk Gaza, kanak-kanak lelaki itu enggan menerima hadiah atau permainan baharu pada tahun ini.

KANAK-KANAK ini berdoa di tanah perkuburan sambil ditemani oleh saudara terdekatnya.

Harapan
"Berilah segala-galanya kepada Gaza," kata kanak-kanak yang tinggal di Ramallah iaitu sebuah kota penduduk Palestin di Tebing Barat.
"Saya telah menderma darah semalam untuk membantu penduduk Gaza," kata Ahmed Imam, 16, yang menetap di kawasan kejiranan Sheilh Jarrah, di timur Baitulmaqdis.
"Saya lakukan semua ini sebagai menghormati Aidilfitri. Itulah cara saya menyambut Aidilfitri tahun ini terutama membantu saudara kami."
Sementara itu, Haya yang dikelilingi oleh sepupu-sepupu perempuannya menjelaskan, adakalanya dia rasa bersalah apabila bersuka ria dan gembira ketika saudara-maranya menderita. Namun, dia masih mengharapkan keamanan dan ketenangan.
"Pagi ini saya terlihat gambar penduduk Gaza membuat kuih-muih, maamoul. Lantas apa yang terlintas dalam fikiran saya ialah: "Wah...mereka cukup kuat. Mereka telah memberi saya satu harapan."

No comments:

Post a Comment