Friday, 8 August 2014

Penghargaan buat Zainal Abidin {kosmo}


KRONOLOGI industri muzik di Malaysia menyaksikan pelbagai perubahan genre mengikut kesesuaian sesuatu era itu.
Bermula dari zaman 1960-an, yang terkenal dengan muzik pop yeh-yeh dan zaman 80-an yang dikatakan sebagai kemuncak genre rock di Malaysia sehingga kini, industri muzik Malaysia terus berkembang melahirkan penyanyi dan pengkarya hebat.
Namun, ramai yang tidak menyangka tahun 1990-an menjadi penanda aras kepada transisi baharu arus seni muzik di Malaysia.
Pada era tersebut, muncul banyak penyanyi dengan pelbagai nuasa lagu. Jika Datuk Siti Nurhaliza megah dengan aliran popnya, penyanyi lelaki tersohor negara, Zainal Abidin menarik perhatian menerusi karya uniknya menerusi album yang menyelitkan sifat prihatin terhadap alam sekitar di dalam beberapa albumnya termasuk Orak-Arek, Gamal dan Hijau sepanjang tahun 90-an.
Hijau yang menampilkan Zainal dengan konsep lelaki pribumi, disifatkan sebagai masterpiece terbaik Zainal.
Kini, biar zaman 90-an telah berlalu, dengan lambakan album daripada pelbagai pemuzik tempatan, nampaknya Zainal telah berjaya menarik perhatian saluran televisyen dokumentari tersohor antarabangsa, National Geographic.
Bersama barisan artis antarabangsa lain termasuk Vanilla Ice dan Courtney Love, Zainal telah terpilih sebagai seorang ikon muzik mewakili seluruh industri muzik 90-an Malaysia.
Tujuan sebenar pemilihan penyanyi yang telah memahat kukuh namanya dalam industri seni suara selama dua dekad itu oleh National Geographic adalah bagi menceritakan pengalaman sebenar senario arena muzik Malaysia sepanjang era 90-an.
Zainal bersama barisan karyawan antarabangsa yang lain akan muncul dalam sebuah dokumentari khas berjudul The '90s: The Decade That Connected Us pada 10 Ogos pukul 10 malam di saluran Astro 553 dan 573 (HD).
Mengakui berasa terharu dengan penghargaan National Geographic terhadap dirinya itu, ujar Zainal, beliau berkongsi pengalamannya bermula daripada awal penglibatannya dalam menghasilkan album pertamanya yang berjudul Zainalabidin sehingga sehingga kini.
"Tahun 90-an menyaksikan keunggulan muzik antarabangsa yang terkenal dengan festival muzik gergasi Woodstock pada tahun 1999 dan turut menerima tempiasnya sudah tentu industri muzik tanah air.
"Jika dilihat dengan lebih mendalam era tersebut merupakan transisi daripada arus muzik lama kepada arus muzik yang lebih kritis sekarang ini.
 Zainal begitu teguh dengan pendiriannya mementingkan kualiti anak seni

"Pada tahun itu juga, kita dapat melihat suasana industri muzik menjadi penyumbang kepada ekonomi negara," jelas Zainal membuka bicara tentang perkembangan dan sumbangan muzik terhadap negara.
Beliau menambah, seiring dengan revolusi muzik yang terjadi pada era tersebut, hal yang dibanggakannya ialah tentang kepayahan seseorang anak seni untuk berada pada kedudukan yang baik dalam industri hiburan.
Penyanyi itu tanpa segan silu menyifatkan 'pejuang' era tersebut mempunyai kualiti yang tinggi kerana bergantung kepada bakat dan melalui jalan sukar untuk menembus pasaran.
Ujar penerima Anugerah Emas di Festival Muzik Tokyo 1991 itu lagi: "Penggiat seni dalam kalangan pelakon dan penyanyi yang lahir pada era 90-an juga mempunyai kualiti tinggi disebabkan ketika itu, teknologi dan media sosial masih lagi belum menjadi wacana utama seseorang itu untuk popular.
"Justeru, untuk mencapai suatu tahap untuk seseorang artis itu dikenali, ia mengambil masa yang lama. Disebabkan itulah sehingga sekarang, artis 90-an masih mendapat tempat dalam kalangan peminat industri muzik tempatan."
Kemanusiaan
Bercerita lanjut mengenai kegemilangan dirinya dalam arena muzik pada tahun 90-an, Zainal berkata, beliau mula menapak dalam industri muzik bersama kumpulan Headwind.
Selepas itu, pada lewat 80-an beliau mengambil keputusan untuk berdiri secara solo dalam industri muzik tanah air.
"Pada mulanya ramai yang menempelak keputusan saya untuk berdiri secara solo memandangkan Headwind telah mencetuskan fenomena pada ketika itu sehingga berjaya menjual hampir 500,000 unit album.
"Namun, saya tetap dengan pendirian saya untuk berdiri secara solo dan memperjuangkan genre muzik berbentuk kemanusiaan," katanya.
Ditebak dengan soalan tentang apakah faktor sebenar dia mengambil keputusan untuk memperjuangan genre muzik etnik dan kemanusiaan, penyanyi yang pernah popular dengan lagu Ikhlas Tapi Jauh itu menegaskan, pembangunan negara ternyata memberi kesan yang besar kepada alam sekitar.
"Sebelum ini, saya boleh bermandi-manda bersama kawan-kawan di sungai berhampiran kawasan rumah saya di Johor. Namun, perubahan pembangunan daripada semasa ke semasa menyebabkan sungai itu menjadi kotor dan tercemar.
"Suasana pada ketika itu sangat berlainan dan alam sekitar masih lagi belum tercemar. Sebenarnya, kitalah manusia yang menjadi punca kepada pencemaran itu. Daripada situ, timbul perasaan untuk mengubah keadaan itu melalui muzik.
"Disebabkan kurangnya kesedaran dalam kalangan masyarakat, maka saya mengambil keputusan untuk memperjuangkan muzik yang berkaitan alam sekitar. Ia ternyata memberi pengaruh yang amat besar sehingga lagu tersebut menjadi tema kepada kempen alam sekitar Malaysia," katanya.
 Bekas vokalis Headwind ini teruja dan terharu menjadi satu-satunya pilihan National geographic sebagai wakil penggiat seni muzik 1990-an di Malaysia

Kilang
Diminta mengulas mengenai perkembangan arena muzik tanah air masa kini yang dipenuhi dengan lagu-lagu berunsurkan cinta, akui Zainal, ia telah bertukar suasana dan kebanyakan muzik yang dilakukan bertujuan untuk mendapat pulangan komersial semata-mata.
"Berbanding dahulu, seorang pemuzik itu harus melalui pelbagai liku untuk bergelar anak seni, hanya yang betul-betul berdisiplin dan komited dalam perjuangan seninya akan berjaya.
"Disebabkan itulah penyanyi zaman dahulu lebih tegar untuk menghadapi pelbagai ujian. Tidak seperti sekarang, kualiti diketepikan dan mereka lebih mementingkan pulangan wang sehinggakan penyanyi sekarang tidak bertahan lama.
"Sehingga industri seni kini menjadi seperti kilang mengeluarkan artis yang tidak berkualiti sekali gus memberi impak kepada industri dan menyebabkan ia tidak ke mana. Saya selalu percaya bahawa kualiti memainkan peranan utama," katanya panjang lebar.
Mengakui media sosial menjadi medium utama masyarakat hari ini untuk berkarya, Zainal berkata, terdapat pro dan kontra penggunaan media sosial untuk aktiviti seni.
Beliau tidak menafikan media sosial kini menjadi pemain utama dalam mengerakkan industri seni, bagaimanapun katanya kita perlu tahu, anak seni menghasilkan karya bukan sahaja untuk glamor malah memerlukan lebih daripada itu.
"Kita perlu mengeksploitasi dengan sebaik mungkin teknologi. Namun, jangan ia disalah guna termasuk memuat turun lagu secara haram. Jadi bagaimana industri seni hendak maju?" tegasnya.
Berbicara mengenai industri muzik yang masih dianggap pada takuk lama, ujar Zainal, apa yang perlu dilakukan adalah berfikir di luar kotak.
"Kita perlu berfikir di luar kotak. Kita boleh lihat sebagai contoh, negara luar seperti Korea dan India, cara bagaimana mereka memasarkan industri muzik mereka sehingga menjadi viral di seluruh dunia.
"Kita perlu berani untuk memasarkan muzik kita di luar negara ini, bukan setakat untuk skop 30 juta rakyat di Malaysia, malah muzik sebenarnya universal dan boleh menyatukan dunia.
"Peluang itu perlu digunakan dengan sebaiknya dan saya berharap mungkin suatu hari nanti muzik kita seiring dengan muzik antarabangsa lain," katanya yang akan menerbitkan single terbaharunya menjelang hujung tahun ini berjudul Kompas.

No comments:

Post a Comment