Friday, 8 August 2014

Modenas bukan produk lapuk

Oleh Shawkath Azde


TEMPOH berdiam diri selama 12 bulan lalu mencetuskan pelbagai persoalan mengenai hala tuju syarikat Motosikal dan Enjin Nasional Sdn. Bhd. (Modenas). Malah ada yang berpendapat syarikat motosikal nasional itu ibarat sudah tersungkur di tanah air sendiri.
Jika diimbas sepanjang tempoh itu, Modenas ternyata gagal memperkenalkan sebarang motosikal baharu ke pasaran domestik. Keadaan itu jauh berbeza dengan para pesaingnya dari Jepun dan Korea Selatan yang berlumba-lumba melancarkan pelbagai produk yang berdaya saing.
Harus diakui, populariti Modenas tidaklah segah era 1990-an. Pengguna pula berasa skeptikal terhadap jenama kebangsaan itu. Sudahlah tiada model-model baharu, kelemahan khidmat servis selepas jualan dan kesukaran mendapat alat gantian bagi model-model motosikal Modenas mengeruhkan lagi keadaan.
Biarpun begitu, ia tidak bermakna Modenas sudah kehilangan kepercayaan pengguna. Jatuh bangun itu lumrah dunia perniagaan bagi mana-mana syarikat. Senario itu pernah dialami oleh beberapa pengeluar jentera dua roda antarabangsa seperti Ducati dan Harley-Davidson.
Apa yang pasti, Modenas masih mempunyai pengaruh kuat dalam kalangan peminat tempatan khususnya di kawasan luar bandar dan bandar kecil. Masih ramai yang memilih jenama Modenas sebagai motosikal kegunaan harian.
Malah, komen-komen dalam laman sosial Facebook dan blog-blog permotoran tempatan jelas menunjukkan orang ramai tetap memberi sokongan dan menanti produk terbaharu daripada Modenas.
Usaha transformasi jenama Modenas masih giat dilakukan. Perkara itu dimaklumkan kepada penulis bersama beberapa rakan permotoran lain sewaktu mengunjungi ibu pejabat Modenas di Gurun, Kedah untuk satu sesi tunggang uji berkumpulan.

LAMPU belakang model Modenas ini tampak sedikit kecil, namun paparan pencahayaan masih jelas kelihatan.


Sebanyak dua model terkini disediakan untuk sesi kali ini iaitu Modenas 118 EFI dan Ace 115. Objektifnya adalah untuk kami memperoleh pemahaman mendalam berhubung kelebihan dua buah motosikal itu. Umum diketahui, kedua-dua model itu bukannya produk baharu. Ia sudah berada dalam pasaran sejak beberapa tahun lalu.
Setanding model Jepun
Sesi tunggang uji itu bermula di Gurun, Kedah menuju ke Pulau Langkawi sebelum kembali semula ke ibu pejabat Modenas di Shah Alam, Selangor. Program selama tiga hari itu melibatkan tunggangan di beberapa laluan termasuk jalan kampung, lebuh raya dan mendaki bukit serta di bandar-bandar kecil.
Perjalanan bermula seawal 10 pagi dari Gurun menuju Kuala Perlis. Kami terpaksa memerah pendikit hingga tahap maksimum sejauh 106 kilometer (km) itu untuk memastikan tidak ditinggalkan feri ke Pulau Langkawi. Jadual yang disediakan terlalu padat dan masa ternyata amat berharga untuk kami.
Model 118 EFI menjadi jentera tunggangan pertama penulis pada hari pertama. Modenas 118 EFI dilancarkan pada 30 Jun 2013 dan menjadi kapcai pertama Modenas yang dilengkapi dengan sistem pancutan bahan api secara langsung. Komponen generasi pertama itu diperoleh daripada syarikat Synerject.
Komponen yang menepati standard piawaian Euro 3 itu membantu Modenas 118 EFI merekodkan penjimatan penggunaan petrol jika dibandingkan dengan model-model berasaskan sistem karburator.
Jika mengekalkan kadar kelajuan antara 80km hingga 90km sejam (km/j), satu tangki penuh minyak membolehkan penulis mencecah jarak tunggangan sejauh 240km. Saiz tangki minyak Modenas 118 EFI hanyalah 4.3 liter.

REKAAN ekzos bersegi ACE 115 membuatkan 'kapcai' itu kelihatan lebih menarik pada bahagian sisi jentera.


Penulis mendapati, sepanjang sesi tunggangan model mesra alam itu, ia menawarkan kadar pecutan dan penukaran gear yang lebih efisien berbanding model ACE 115. Prestasi keupayaan mendaki laluan berbukit masih lancar, namun tidak sepantas varian karburator.
Menyentuh aspek keselesaan tunggangan, nampak gayanya jurutera Modenas berjaya mengadun kepakaran binaan yang agak impresif. Badan dan lengan tidak terasa lenguh untuk tunggangan jauh. Cuma pelana yang keras membuatkan punggung terasa kebas.
Motosikal itu masih stabil biarpun memecut pada had kelajuan maksimum 110km/j. Sistem suspensi dan fork berjaya menyerap segala kesan hentakan dengan baik biarpun sedikit keras. Penulis merasakan profail tayar yang digunakan mudah membuang apabila meredah laluan licin atau basah.
Keupayaan membrek dan memberhentikan jentera dibantu menerusi kombinasi brek cakera pada roda hadapan dan gelendong (belakang). Tiada sebarang masalah untuk mengawal jentera tunggangan. Ia masih efisien.
Selera golongan muda
Sesi tunggangan hari kedua membabitkan model ACE 115. Selayang pandang, motosikal itu jelas menunjukkan kombinasi rekaan sebuah skuter dan kapcai. Ia dicipta untuk memenuhi selera golongan muda. Ergonomik binaannya lebih tertumpu ke arah tunggangan lebih agresif berbanding 118 EFI.
Modenas ACE 115 menggunakan sistem karburator untuk campuran petrol dan udara sebelum disalurkan ke dalam kebuk pembakaran. Saiz tangki petrol 5.3 liter itu membolehkan catatan jarak sejauh 240km jika kekal paras kelajuan antara 80 hingga 90km/j.
Tindak balasnya lebih lincah ketika bermain di kawasan selekoh. Penukaran gear terasa sedikit kasar dan senggukan terhasil menambah keseronokan tunggangan. Model ini lebih responsif sewaktu mendaki Gunung Raya berbanding model 118 EFI. Motosikal ini mampu mencatat kelajuan maksimum sehingga 115km/j.
Model ini kelihatan sedikit rendah ekoran penggunaan rim berukuran 16 inci dan pelana lebar yang nyata empuk. Profail tayar yang digunakan menawarkan kadar cengkaman yang lebih baik berbanding Modenas 118 EFI.

BARISAN motosikal Modenas didatangkan bersama pelbagai inovasi baharu yang seiring dengan edaran semasa cita rasa pengguna tempatan.


Secara keseluruhan, kedua-dua produk ciptaan Modenas itu boleh diberi pujian. Malah tidak keterlaluan jika dikatakan kualiti produk Modenas jauh lebih baik berbanding sesetengah motosikal jenama Jepun dan Korea Selatan.
Cuma Modenas perlu memastikan orang ramai menikmati pengalaman pemilikan motosikal yang lebih bermakna menerusi tawaran servis terbaik. Modenas juga perlu menimbang semula pembabitan secara langsung dalam sukan berlumba Cub Prix kerana itu satu-satunya platform yang berpotensi melonjakkan semula popularitinya.
Jika tidak mampu mengekalkan.kekal momentum-momentum itu, tidak mustahil jenama Modenas perlu berdepan laluan sukar untuk bangkit semula mendominasi pasaran ‘kapcai’ tempatan.
Sebelum terlupa, ada khabar bahawa Modenas sedang bersiap sedia untuk memperkenalkan beberapa motosikal baharu tidak lama lagi. Jika tidak silap, ada sebuah jentera dalam kelas 150cc.
Nantikan sahaja pengumuman terkini daripada pengeluar motosikal nasional itu. Jangan pula mengambil masa yang terlalu lama. Takut-takut pengguna kembali bosan menunggu.

2 comments:

  1. kini ternyata model efi118 gagal di pasaran...ace115 pon kurang sambutan

    ReplyDelete
  2. Hahh apaa.. modenas.. benda apa tuhh.. kuih raya ka

    ReplyDelete