Friday, 15 August 2014

Dulu kad, kini hanya digital [kosmo]


SATU demi satu kad tertera ucapan Selamat Hari Raya dikeluarkannya dari beg bimbit berwarna hitam. Semuanya dihiasi dengan watak-watak kartun yang pernah popular pada era 90-an menerusi majalah humor Gila-Gila dan Ujang.
Lelaki berusia 47 tahun itu menyimpan rapi kad-kad raya kartun tersebut yang dijadikan sebagai koleksi peribadinya sejak tiga tahun lalu kerana mempunyai nilai sentimental padanya.
Nordin Misnan atau lebih popular dengan nama pena Deen menerusi sitkom Atok dalam majalah Gila-Gila berkata, kaedah pesanan menerusi kiriman setem itu tidak lagi menerima sambutan daripada pelanggan sejak tahun 2000.
"Anak-anak muda atau generasi Y pada hari ini telah dimomokkan dengan media baharu yang nyata lebih cepat, interaktif dan menjimatkan. Mereka lebih cenderung memegang telefon pintar di tangan berbanding buku.
"Budaya baharu ini secara tidak langsung turut mencerminkan survival kad-kad ucapan, terutama kad ucapan kartun atau bahan bercetak lain yang semakin tenat di pasaran, malah mungkin hasil kerja seni ini telah dilupakan," ujarnya yang mula serius dalam bidang kad ucapan kartun pada tahun 1995.
Kali terakhir Deen menghantar lakaran kartun untuk kad ucapan hari raya adalah dua tahun lalu. Sejak itu, syarikat pengeluar kad tidak lagi meminta hasil kerja seninya, tetapi sebaliknya hanya mencetak semula karya-karya lama.

Kerja seni kartun turut mengalami transformasi dalam penghasilan kad raya digital


Tambahnya, media baharu yang memberi kemudahan kepada orang ramai untuk menghantar kad ucapan kepada insan tersayang dengan cara lebih mudah dan cepat menerusi laman sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan Myspace menjadikan masyarakat pada hari ini terkecuali daripada memahami 'nilai' sekeping kad.
Koleksi peribadi
Menurutnya, pengalaman memilih kad, menulis isi hati dan ucapan yang ingin disampaikan menggunakan sebatang pen diikuti dengan usaha menghantarnya menerusi kiriman pos memberikan kenangan yang tidak ternilai kepada individu, apatah si penerima.
"Sangat berbeza sekali perasaan menerima ucapan hari raya menerusi mesej pesanan ringkas atau laman sosial kerana ia tidak dapat dipegang dan disimpan sebagai koleksi peribadi.
"Saya yakin mereka yang pernah menerima kad ucapan hari raya masih menyimpannya kerana ia membawa seribu nostalgia antara dirinya dan si pengirim," katanya sambil tersenyum mengenang nilai memori yang tercipta menerusi sekeping kad. Deen sebelum ini turut dikenali oleh penggemar majalah humor menerusi lawak Gelagat dan Gelihati yang popular pada tahun 1995.
Proses cetakan
Bagi karikatur Ruhisham Hashim, 48, atau popular dengan nama pena Kulat, minatnya dalam bidang seni lukis kartun tidak pernah luntur walaupun majalah-majalah humor dan kad ucapan yang pernah dikendalikannya semakin hilang dalam pasaran tempatan.
Ujarnya, dia pernah menghasilkan kira-kira 75 rekaan kartun kad raya untuk lima buah syarikat antaranya Memory Lane, Total Care dan Crystal Greeting.
"Kebiasaannya, saya mula melukis pada bulan Februari atau Mac sebagai persiapan untuk melancarkan proses pencetakan yang dibuat oleh pihak penerbit pada pertengahan tahun. Ketika itu, kad-kad kartun bukan sahaja menerima permintaan tinggi untuk pasaran tempatan malah di negara jiran seperti Singapura dan Indonesia.
"Bagaimanapun, sejak tiga tahun lalu, permintaan hasil seni kad semakin berkurangan dan saya hanya membuat lakaran kartun kad ucapan secara peribadi kepada pelanggan yang berminat," jelasnya.

Ruhisham menyediakan kerja seni dalam bentuk pakej dan siap disunting menggunakan perisian komputer


Kulat mula dikenali ramai menerusi sitkom Mat Metal dalam majalah Gila-Gila.
Terkesan dengan perubahan zaman berteknologi, Kulat mengambil inisiatif meneruskan kad ucapan kartun dalam bentuk dua dimensi dan animasi untuk syarikat-syarikat korporat antaranya, Maxis dan Red Tomato.
Kebanyakan ucapan digital dibuat adalah bersempena dengan sambutan atau penghargaan seperti ucapan Selamat Tahun Baru dan Terima Kasih. Bagaimanapun, anak kelahiran Kelantan ini lebih fokus dalam menghasilkan seni kartun bagi majlis-majlis korporat, promosi atau pelancaran.
Sehingga kini, antara syarikat yang pernah menggunakan khidmatnya ialah Cadbury Malaysia, Dunhill, DiGi, Celcom, Petronas dan Audi.
"Bidang seni tidak akan terpadam jika penggiat mempunyai usaha dan bijak meneruskan kerja seni mereka dalam medium terkini yang digunakan oleh orang ramai.
"Dalam usaha mengukuhkan kerjaya, saya tidak hanya membekalkan kerja seni kepada klien, sebaliknya secara pakej iaitu menyediakan ucapan kartun yang sudah siap disunting menggunakan perisian grafik," katanya sambil tersenyum.
Dalam pada itu, karikatur Anuar Hassan atau Sireh memberitahu, tidak semua pelukis kartun yang berbakat mempunyai kemahiran menginterpretasikan idea-idea mereka ke dalam bentuk digital atau menggunakan teknologi moden.
Segelintir kartunis telah terbiasa dengan kaedah tradisional iaitu melakar, melukis dan mewarna secara manual tanpa bantuan komputer. Justeru, perubahan teknologi yang mendadak merupakan kejutan buat para kartunis dan mempelajari cara memindahkan rupa kartun di atas kertas ke dalam perisian mesin bukan pekerjaan yang mudah.
Platform
Tidak menafikan kedatangan media baharu menyebabkan hasil seni tradisional semakin terhapus, Sireh memberitahu pengenalan laman sosial boleh dijadikan platform jika ia digunakan secara bijak oleh kartunis.
"Menerusi media baharu ini kartunis boleh mewujudkan blog peribadi dan laman peminat untuk berkongsi serta mempromosi hasil seni mereka kepada peminat dan orang ramai.
Anuar lebih selesa menghasilkan kerja seni menggunakan kaedah tradisional iaitu melakukan lakaran di atas kertas

"Saya percaya dengan bergerak seiringan teknologi maklumat, karya seni kartun ini tidak akan tenggelam dek zaman," jelasnya yang kini menjadi pensyarah sepenuh masa di Fakulti Multimedia Kreatif di Universiti Multimedia.
Mengulas lanjut tentang corak pasaran, Pengasas Tang's Art, Hung Huei Hua berkata, sehingga kini permintaan kad ucapan masih ada, namun bergantung kepada strategi pemasaran yang diguna pakai oleh sesebuah syarikat.
Antara strategi tersebut ialah sasaran pembeli, corak kad dan harga. Bagi Tang's Art, syarikat itu menyasarkan kepada golongan remaja dan menghasilkan kad-kad dengan corak comel serta berwarna-warni.
"Selain hasil kad yang menarik, harga turut memainkan peranan penting. Kami menyediakan kad ucapan Selamat Hari Lahir, Selamat Pengantin Baharu, Selamat Hari Ibu, Selamat Hari Bapa dan Mohon Maaf pada harga RM3.50.
"Sehingga kini, syarikat Tang's Art terus diberi kepercayaan oleh orang ramai dan mempunyai peningkatan kadar jualan kira-kira 10 peratus berbanding tahun lalu," katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

No comments:

Post a Comment