Monday, 4 August 2014

Tiga aspek lelaki sejati (Kosmo)


REJIM penjagaan wajah yang berterusan boleh mengelakkan penuaan di luar sedar kepada kulit golongan lelaki.

TERDAPAT tiga perkara perlu diutamakan kaum Adam bagi membentuk keterampilan menyeluruh. Gaya berpakaian, penjagaan wajah dan kulit serta amalan pemakanan sihat menjadi panduan terpenting kepada seorang jejaka.
Takrifan lelaki sejati sebenarnya melingkungi tiga aspek tersebut. Mereka yang berjaya mengimbangi ketiga-tiganya pasti meraih keyakinan tinggi dan mudah menjadi tarikan.
Sebagai satu alternatif mendidik lelaki sejati, Suria KLCC baru-baru ini mengadakan majlis mesra bersama media bertemakan Real Men. Acara santai padat aktiviti menguji minda itu turut disertai rakan runcit pusat beli-belah tersebut, Fred Perry, Kiehl’s dan Boost Juice.
Menerusi segmen pertama, penyandang gelaran Best Dressed Man majalah Esquire 2011, Rudolph la Faber atau mesra dengan nama Rudy bertindak selaku jurucakap bagi label fesyen Britain, Fred Perry.
Sebagai ikon fesyen tempatan, Rudy berkongsi pengetahuannya tentang baju-T berkolar Polo. Helaian lelaki kasual yang intim terhadap jenama itu disifatkan Rudy masih relevan untuk digayakan.
Begitupun, kecetekan ilmu kebanyakan lelaki tempatan ketika membeli dan menyarungkan baju-T tersebut membuatkan pengaruhnya kian tenggelam. Sebenarnya, jika ia digayakan mengikut panduan betul, pesona maskulin si pemakai pasti dapat ditonjolkan.
“Baju-T jenis ini tidak boleh terlalu labuh, cukuplah setakat paras pinggang. Lengannya juga perlu sekadar otot bisep, tidak mencecah siku. Saya sarankan agar kolar baju tidak dinaikkan,” kongsi Rudy yang turut mengakui betapa kuatnya pengaruh monokrom dan cetakan dalam trend masa kini.
Suai padan
Usai penerangan ringkas Rudy, kebijaksanaan jemputan media melakukan suai padan pakaian diuji. Setiap kumpulan diminta tampil dengan satu gaya kreatif bertemakan Tetamu Pertunjukan Fesyen. Pasukan yang berjaya menambat hati Rudy telah memenangi hadiah istimewa daripada Fred Perry.
Majlis yang diadakan di restoran Chinoz On The Park itu kemudiannya diteruskan dengan slot kendalian jenama kosmetik Amerika Syarikat, Kiehl’s. Wakil Kiehl’s Malaysia, Stephen Lian mengambil masa itu untuk melakukan ujian paras minyak wajah ke atas setiap hadirin.
TERDAPAT beberapa garis panduan yang perlu dipatuhi jejaka ketika menyarungkan baju-T berkolar Polo.


Sebagai pilihan penyelesaian masalah biasa yang dialami kebanyakan lelaki itu, Lian mencadangkan penggunaan produk baharu jenama itu, Kiehl’s New Oil Eliminator yang diformulasi khusus bagi mencegah masalah kulit beminyak dan menyegarkan kulit.
Namun, masalah utama golongan lelaki sebenarnya ialah kedutan di bahagian dalam kulit. Bagi mengatasi masalah tersebut, Lian menggalakkan agar setiap lelaki mencuci muka dengan cara yang betul.
“Krim pembersih muka dapat membantu menyingkirkan kotoran yang melekat pada wajah. Namun, untuk pembersihan menyeluruh, ia mesti dibilas dengan sama rata.
“Kesilapan yang sering dilakukan lelaki juga adalah apabila melibatkan rejim mencukur. Seharusnya, wajah dicuci terlebih dahulu sebelum misai, janggut atau jambang dicukur. Dengan cara ini, liang pori dapat dibuka dan memudahkan pencukuran,” jelas Lian panjang lebar.
Pemakanan
Melengkapi tiga aspek identiti lelaki sejati pada hari itu adalah penerangan berkenaan penjagaan pemakanan. Pemilik dan Pengarah Tempatan Boost Juice Bars Malaysia, Singapura dan Brunei, Erwin De Silva berkongsi kepakarannya terhadap kepentingan diet seimbang kepada lelaki.
Menurut De Silva, buah-buahan dan sayur-sayuran ialah dua kumpulan makanan yang tidak boleh diabaikan sesiapa pun sekiranya ingin mendapatkan kesihatan luaran dan dalaman yang berpanjangan.
“Senaman juga penting. Saya sendiri berbasikal ke tempat kerja,” ucapan pendek De Silva disambut hilai tawa hadirin.
Para jemputan media turut diberi kesempatan menghasilkan sendiri minuman berkhasiat Boost Juice, Gym Junkie dan 5-A-Day Juice. Kumpulan yang berjaya menyediakan minuman terbaik dihadiahkan sagu hati istimewa daripada De Silva. – ALIF ABU BAKAR

No comments:

Post a Comment