Monday, 11 August 2014

Usia 40 tahun kritikal (Metro)

Oleh Basyar Mustapha

Terdapat pepatah lama yang mengatakan mencegah itu lebih baik daripada merawat. Namun, ramai antara kita seolah-olah terlepas pandang pepatah ini apabila ia membabitkan penjagaan kesihatan diri sendiri.
Secara umumnya rakyat Malaysia kini dilihat semakin memandang berat mengenai amalan gaya hidup sihat, namun masih ramai tidak sedar kepentingan ujian saringan kesihatan.
Menurut pegawai kanan kesihatan pusat pemeriksaan kesihatan GHHS Healthcare Dr Goh Kim Leng, ujian saringan kesihatan penting dalam usaha memastikan kesihatan seseorang individu itu berada di tahap yang baik untuk masa akan datang.

“Ia membabitkan pemeriksaan, ujian fizikal dan beberapa prosedur bertujuan mengesan penyakit berbahaya termasuk kanser lebih awal sebelum ia berlaku.
Foto Thoo (kiri) berbincang dengan Dr Zhong Bo
“Apabila simptom awal penyakit kronik dikenal pasti, ia memudahkan usaha pencegahan dan rawatan. Setiap individu terutama golongan dewasa dinasihatkan menjalani ujian ini walaupun pada dasarnya mereka kelihatan sihat dan cergas secara fizikal,” kata Dr Goh.
Ujian saringan kesihatan berbeza daripada ujian diagnostik yang dilakukan apabila seseorang itu sudah menunjukkan tanda atau gejala penyakit dihidapinya.

“Itulah yang kita tidak mahu iaitu apabila kita sudah mendapat tanda sesuatu penyakit dan terlewat untuk mencegahnya. 

“Ujian saringan terbahagi kepada beberapa jenis yang setiap satunya dapat mengesan kewujudan penyakit berlainan. Terdapat beberapa bahagian dalam menjalani ujian saringan kesihatan.

“Ia bermula dengan pemeriksaan sejarah kesihatan individu dan ahli keluarga kandungnya, simptom yang dialami sekarang dan ubat-ubatan diambil.

“Kemudian pemeriksaan fizikal dilakukan termasuk bacaan tekanan darah dan pemeriksaan ke atas organ serta sistem utama tubuh badan. Selepas itu, ujian makmal yang sangat penting akan dilakukan. 

“Sampel darah dan air kencing diambil dan diperiksa kerana dua bahan ini boleh menentukan penyakit dan status yang tidak boleh dilihat secara mata kasar atau pemeriksaan fizikal. Malah ia juga membantu dalam mendapatkan keputusan yang tepat,” katanya.

Dr Goh berkata, ujian tambahan seperti ujian sinar-X dada, ECG, ultra bunyi dan Pap smear sama penting dan melengkapi sesuatu ujian saringan itu.

“Setiap orang dewasa boleh dan perlu menjalani ujian saringan. Ini terutama mereka yang berumur 40 tahun ke atas dan mereka yang mempunyai risiko tinggi dalam mendapat penyakit berdasarkan gaya hidup, persekitaran dan pemakanan.

“Kekerapan menjalani ujian bergantung kepada umur individu. Namun, saya sarankan setiap orang seharusnya menjalani ujian sekurang-kurangnya sekali dalam setahun.

“Walaupun kini ramai yang sedar mengenai kepentingan gaya hidup sihat dan bersenam, ia tidak mencukupi dalam memastikan kita hidup sihat terutama dalam jangka panjang kerana badan manusia sememangnya sesuatu yang kompleks.

“Justeru, lebih baik jika amalan menjalani ujian saringan ini dimulakan pada usia lebih muda untuk mendapatkan masa hadapan yang lebih sihat,” katanya.
Saring kesihatan menyeluruh

Melangkah masuk ke pusat pemeriksaan kesihatan GHHS ini, pandangan mata menjadi sayup dan perasaan tenang menyelubungi diri. Ia jauh sekali dengan persepsi biasa tempat yang lazimnya dilakukan pemeriksaan kesihatan dan uji kaji.

Terletak di Hotel Palace of the Golden Horses, pusat kesihatan ini menawarkan servis ujian saringan kesihatan yang menyeluruh.

Pengurus Besar GHHS Healthcare, Thoo Thean Beng berkata, pusat kesihatan itu satu-satunya yang berkonsepkan pusat kesihatan dalam persekitaran resort di negara ini.

“Kami mula beroperasi sejak 2002 dengan memberi tumpuan menyediakan khidmat ujian saringan kesihatan menyeluruh dengan persekitaran yang tidak tipikal seperti di hospital atau klinik.

“Ini supaya pelawat dan pelanggan kami berasa tenang dan tidak tertekan sewaktu menjalani ujian. Bukan itu saja, teknologi yang kami gunakan juga terkini, malah pakar dan kakitangan kesihatan terdiri daripada mereka yang mempunyai kelulusan yang diiktiraf dan berpengalaman luas,” kata Thoo.

Servis di pusat pemeriksaan kesihatan itu merangkumi semua yang diperlukan untuk seseorang itu memastikan tahap kesihatan mereka.

“Pemeriksaan sejarah kesihatan, fizikal, ujian makmal dan pelbagai ujian tambahan lain semuanya disediakan. Keputusan ujian akan diberi secepat mungkin dan selalunya hanya beberapa jam selepas ujian dijalankan. 

“Pelanggan yang mendaftarkan diri sebagai ahli mendapat lebih kebaikan termasuk dari segi promosi dan kos. Misalnya jika mereka mengambil satu pakej ujian kesihatan untuk satu jangka panjang, ia hanya memerlukan kos sekarang dan kekal pada harga itu selama-lamanya walaupun pada masa hadapan kos kesihatan akan meningkat,” katanya.

Dalam usaha GHHS Healthcare memberikan servis kesihatan terbaik, Pusat Perubatan Tradisional Cina atau TCM ditubuhkan di Mines Wellness City tidak jauh dari pusat pemeriksaan kesihatan berkenaan.

Seperti namanya, TCM menawarkan servis kesihatan tradisional yang sudah diamalkan sejak ribuan tahun dahulu dan diperakui keberkesanannya. 

Antaranya bacaan nadi yang dilakukan pakar seperti ahli perubatan tradisional Cina bertauliah Dr Zhong Bo dan ubat-ubatan tradisional berdasarkan herba yang halal.

Selain itu pusat rawatan ini menawarkan servis akupuntur, urutan tradisional, bekam, senaman Qi Qong dan seumpamanya.

“Kami ingin ahli GHHS Healthcare menikmati servis penjagaan kesihatan terbaik daripada kedua-dua dunia iaitu teknologi hebat moden barat dan kehebatan perubatan tradisional timur,” katanya.

No comments:

Post a Comment