Tuesday, 5 August 2014

Memori sekeping kad raya (Kosmo)

Oleh KASANABILAH KAMARUL ZAMAN

ANTARA koleksi kad raya yang masih disimpan oleh Ain yang dianggap sebagai malar segar walaupun sudah lama diterima.

WALAUPUN sekecil buku nota saiznya, ucapan yang ditulis dengan tulisan tangan mampu melembutkan hati yang sedang marah sekali gus meleraikan segala sengketa.
Bait-bait ucapan itu juga menzahirkan keikhlasan seseorang dalam mengucapkan kata maaf selain bertanya persiapan menyambut hari lebaran.
Malah, tiada siapa dapat menyangkal betapa sekeping kad raya mempunyai nilai yang lebih tinggi berbanding harga yang dibayar untuk membelinya.
Namun, kini ramai yang lebih berminat untuk menzahirkan ucapan selamat hari raya di laman sosial berbanding menghantar kad ucapan.
Ucapan digital ini dikatakan lebih mudah dan tidak menelan kos berbanding kad raya yang perlu dibeli, ditulis dan dihantar kepada penerima.
Bagi Nadharathul Ain Ibrahim, 25, walaupun sejumlah wang dikeluarkan untuk membeli kad raya, ia berbaloi kerana ingatan dan nilai yang ada pada kad raya tidak pernah hilang.
Katanya, dalam kad tersebut akan ada ucapan yang ditulis sendiri oleh pemberi. Selain ucapan, biasanya akan diselit pantun yang meminta kad tersebut dibalas dan turut dilekatkan duit syiling sebagai duit raya.
“Setiap kali membuka peti simpanan barang, saya akan membaca kembali kad-kad ucapan yang diberikan oleh kawan-kawan.
“Sebaik kad-kad raya dibuka, saya akan terbayang kembali memori lama bersama kawan-kawan di samping dapat melihat tulisan tangan yang dilakar oleh teman-teman lama,” ujarnya lagi.
Jelas gadis kelahiran Pulau Pinang ini, boleh dikatakan selepas zaman persekolahan pada tahun 2008, dia sudah tidak menerima kad raya, sebaliknya hanya menerima ucapan melalui sistem pesanan ringkas atau di laman Facebook.
“Walaupun tujuannya sama, tetapi nilainya nyata berbeza. Saya rindukan zaman persekolahan dan bertukar-tukar kad raya dengan kawan-kawan sekolah,” kata pelajar Ijazah Doktor Falsafah Pengurusan Perniagaan ini.
Memori

Mengimbau kembali kenangan bertukar kad raya, gadis ini memberitahu, setiap kali menerima kad, dia akan berasa gembira dan teruja kerana rasa dirinya dihargai dan dianggap istimewa oleh teman-teman.
Kata gadis yang lebih mesra dengan panggilan Ain ini, biasanya kad raya tidak akan diberikan kepada semua orang sebaliknya hanya insan-insan yang dirasakan rapat dan dekat.
Ain pernah menerima 30 keping kad raya daripada kawan-kawan sekolahnya. Untuk membalas kembali kad-kad tersebut, dia dan kawan-kawan ke pasar raya berdekatan sekolah untuk membeli kad raya.
“Biasanya, saya akan membeli kad di dalam paket yang mempunyai lima atau enam keping kad. Ia lebih jimat dan mengikut kemampuan saya sebagai pelajar,” kongsinya.
Tegasnya, harga kad atau jenis kad yang diberi atau diterima tidak penting, sebaliknya keikhlasan seseorang memberikan kad raya sudah cukup untuk rasa diri dihargai sebagai kenalan.
Ain juga pernah menerima kad ucapan yang dihasilkan sendiri oleh kawan sekelasnya yang disifatkan sebagai kad yang paling istimewa.
“Kesungguhan dia menghasilkan kad sendiri membuatkan saya begitu tersentuh.
“Tulisan tangan yang tertera walaupun ringkas, tetapi bagi saya ia mempunyai makna yang besar,” jelasnya.
Kongsi Ain, kad-kad raya yang diterima juga dijadikan sebagai hiasan apabila digantung di pokok-pokok bunga hiasan sebagai aksesori yang menghidupkan suasana hari raya.
 Kad_raya_Aidilfitri_1_by_deluzzion.jpg #imej gugel
Kad ingatan
Bagi Rose Zilawati Mohd. Rawi, 25, pula, dia masih menyimpan kad-kad raya yang diterima sejak zaman sekolah hingga perayaan tahun lalu kerana baginya kad-kad tersebut mempunyai kenangan yang tersendiri.
Jururawat muda ini selalu menerima kad raya daripada pesakit-pesakit yang pernah dijaganya di wad semasa bertugas.
“Kad raya mempunyai nilai sentimental, sebagai tanda ingatan. Walaupun sudah lama berlalu, kita masih tidak lupa dan memorinya tetap segar,” jelasnya.
Cerita anak jati Kelantan ini, dia banyak menerima kad raya semasa zaman persekolahan iaitu ketika berada di tingkatan empat dan lima.
Katanya, ketika itu wujud tradisi saling bertukar kad raya bersama kawan-kawan sekelas dan kawan-kawan satu dorm di asrama.
Kini, kad-kad raya tersebut masih elok dalam simpanan yang dijadikan sebagai tanda dan kenangan ketika dirinya merindukan teman-teman sekolah.
Sementara itu jururunding media, Mohd. Syahrullaizam Mohamad Aris berkata, kepantasan teknologi perhubungan menyaksikan orang ramai lebih selesa menghantar kad ucapan elektronik atau menerusi laman sosial.
Namun jelasnya, nilai sentimental pada sekeping kad raya menjadikan mengirim kad ucapan pada masa ini adalah sesuatu yang eksklusif.
“Saya percaya tradisi mengirim kad hari raya akan muncul kembali suatu hari nanti sebagai satu trend,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment