MUKADIMAH
"Wa berada di Australia sekarang bro. Tapi tak apa, boleh temubual melalui WhatsApp." Begitulah reaksi Pengasas Ikatan Silaturahim Brotherhood (Brotherhood), AZLAN SANI ZAWAWI ketika dihubungi wartawan Mingguan Malaysia, AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI untuk diwawancara.
Lebih dikenali sebagai Lando Zawawi dan dianggap sebagai wira pengguna jalan raya, beliau tidak pernah menolak untuk bercakap dengan pihak media apabila melibatkan isu masalah jalan berlubang yang sudah lama diperjuangkannya.
Apatah lagi dia sedang sibuk mempelajari sistem penyelenggaraan jalan dari Majlis Daerah Corrigin dan prosedur operasi standard (SOP) keselamatan penyelenggaraan jalan dari kontraktor yang dilantik oleh Majlis Bandaraya Perth.
Menurut Lando, Brotherhood direka sebagai satu watak antagonis bagi memberikan cabaran kepada pihak yang bertanggungjawab terhadap masalah jalan berlubang.
"Seharusnya merekalah hero dalam penceritaan ini. Maka bangkitlah dan tewaskan kami melalui tindakan-tindakan segera.
"Kami masih berharap hero-hero ini akan menang satu hari nanti. Kemenangan anda adalah kemenangan kita semua," katanya.
MINGGUAN: Boleh saudara ceritakan sedikit tentang sejarah penubuhan Brotherhood?
AZLAN: Ikatan Silaturrahim Brotherhood (Brotherhood) ini sebenarnya adalah penjenamaan semula daripada dua kempen keselamatan jalan raya secara kreatif yang pernah dijalankan pada peringkat nasional yang dinamakan Dr. Moto dan Seminar Lans Kopral Mamat Roda-roda Kuala Lumpur sejak 2007 lagi.
Disebabkan pendaftaran pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kami kepada pihak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) telah ditolak, antaranya atas alasan matlamat dan fungsi sama seperti pihak berkuasa tempatan (PBT), maka kami tiada keahlian.
Kami cuma boleh katakan kami mempunyai ramai penyokong. Penyokong aktif yang membuat marking (tanda) laluan bahaya dan melakukan turapan percuma sekitar 500 orang dan penyokong biasa sekitar 4,000 orang di sembilan negeri dan 88 buah daerah.
Apakah yang membuatkan anda nekad tampil melakukan kerja yang sepatutnya dibuat PBT dan Jabatan Kerja Raya (JKR)?
AZLAN: Kematian kenalan dan saudara-mara sendiri yang kini mencecah sembilan orang, disebabkan kemalangan jalan raya telah membuka hati saya untuk melakukan semua ini. Ditambah pula dengan pelbagai kempen keselamatan jalan raya peringkat nasional yang saya sendiri anjurkan namun masih ramai yang tewas di jalanan, membuatkan saya terfikir dan mengkaji lebih mendalam lagi.
Apakah cukup sekadar mendidik pemandu dan penunggang? Sekiranya cukup, masakan masih ramai yang tewas. Di sinilah bermulanya saya menyedari bahawa kerosakan laluan yang diabaikan oleh pelbagai pihak turut menyumbang kepada kadar kemalangan negara yang tinggi. Malangnya ia jarang disebut kerana kebanyakan kes sebegini ‘dirahsiakan’ demi memudahkan urusan tuntutan ganti rugi mangsa kepada pihak insurans masing-masing. Sebagai contoh, A mengelak lubang dan melanggar B.
Bukankah lebih mudah bagi kedua-dua pihak untuk mengaku cuai dan menuntut ganti rugi melalui pihak insurans masing-masing daripada memperjuangkan nasib dengan memohon ganti rugi daripada pemilik laluan? Semua maklum bahawa tuntutan ganti rugi ini mengambil masa berbulan-bulan malah sehingga bertahun-tahun dan pembayaran tidak sepenuhnya.
Sebab kerap berlubang, sudah tentu ada sesuatu tidak kena dengan kualiti jalan raya di Malaysia. Secara peribadi, apa pandangan saudara?
AZLAN: Masalah utama jalan raya di Malaysia adalah kualiti tar dan kualiti turapan. Selagi pihak yang sepatutnya bertanggungjawab tidak menekankan keutamaan ini, selagi itulah kita akan dihantui masalah laluan berlubang.
Jika dibandingkan dengan jalan raya di luar negara, kualiti jalan raya di negara kita masih jauh di belakang. Tak perlu pergi jauh, lihat sahaja Singapura dan Thailand. Mengapa mereka boleh lakukan yang lebih baik? Apa kurangnya kemampuan kita? Ini semua sebenarnya berbalik kepada sikap acuh tak acuh dalam menjalankan kewajiban.
Sudah tentu ada pihak tidak senang dengan tindakan Brotherhood. Pernahkah saudara menerima ancaman?
AZLAN: Sudah tentu. Saya pernah menerima ugutan saman dan kecaman malah ugutan bunuh sebanyak tiga kali. Tetapi saya sudah bersedia untuk semua ini.
Pada saya ia berbaloi. Saya tidak memanggil usaha Brotherhood ini satu kerja amal. Ia lebih kepada perjuangan. Sudah tentu ada yang menentang. Ada yang bimbang tentang kontrak mereka. Ada yang bimbang tentang imej jabatan dan PBT. Tak kurang juga yang bimbang tentang petunjuk prestasi utama (KPI) mereka.
Saya tidak peduli semua ini. Saya bimbangkan keselamatan nyawa dan kerugian harta benda saudara saya. Kita semua mempunyai perjuangan masing-masing dan sebab untuk hidup.
PBT dan JKR mengambil masa yang lama untuk menampal jalan berlubang kerana perlu mengikut prosedur tertentu. Bagaimana pandangan saudara?
AZLAN: Sudah tentu mereka perlukan masa kerana terpaksa melalui proses yang pelbagai. Tetapi bukankah kebanyakan piagam dan janji PBT di Malaysia menetapkan setiap lubang harus diselesaikan dalam tempoh 24 jam? Bukankah alasan menunggu peruntukan tidak lagi diterima pakai sebagaimana ucapan Ketua Pengarah JKR sendiri? Sila rujuk mereka kembali. Saya ada saksi.
Kita bercakap tentang risiko ancaman nyawa dan jika mereka bercakap tentang prosedur, itu masalah prosedur mereka. Sila selesaikan dan cari jalan mempercepatkannya. Kami bayar tol, cukai dan cukai jalan ikut masa.
Cadangan saya adalah agar pihak yang bertanggungjawab menyediakan peruntukan melalui pelan pemantauan dan pembaikan secara berkala, lebih sistematik dan bukan mengumpul dan mengeluarkan tender hanya ketika kehadiran VVIP (orang kenamaan) dan musim pilihan raya.
Selepas perjuangan Brotherhood ini menjadi tular, apakah nampak PBT sudah berubah?
AZLAN: Sejujurnya sudah ada penambahbaikan yang dilaksanakan terutama oleh JKR Pulau Pinang dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Sebagai contoh, penguatkuasaan penggunaan PCC slab oleh pihak DBKL telah banyak menyelesaikan masalah jalan berlubang. Ini wajar dipuji.
Bagaimanapun usaha penambahbaikan perlu terus dipergiatkan. Semoga Aku Janji Sifar Pothole JKR tahun lalu boleh dibawa ke tahun berikutnya pula. Kalau tak sempat tahun hadapan bawalah ke tahun hadapan lagi. Tak mengapa. Kami masih sabar menanti.
Apakah kos menurap lubang jalan mahal dan berapa lama masa yang diambil untuk menampal sesuatu lubang?
AZLAN: Kos menampal lubang bahaya bergantung pada saiz. Kos RM35 untuk 25 kilogram (kg) coldmix (aspal dingin) yang baik dengan kadar bitumen tinggi cukup untuk tampalan satu lubang yang sederhana besar. Semua penyokong aktif Brotherhood mengambil masa kurang dari tiga minit untuk menampal satu lubang bersaiz sederhana.
Bagaimana Brotherhood menampung kos menampal lubang jalan ini?
AZLAN: Saya menggunakan wang simpanan, hasil jualan produk Brotherhood seperti stiker dan baju T serta tar jenama kami bagi membantu menampung kos Ops Brotherhood di sembilan negeri.
Selain itu, setiap penyokong aktif Brotherhood menampung kos pengangkutan dan pembelian cat bagi membuat marking. Itu belum dikira kos masa dan risiko nyawa kami semua di atas jalan raya. Saya amat berterima kasih atas usaha semua unit Brotherhood di seluruh negara.
Mungkin ada pihak mengatakan turapan yang dibuat oleh Brotherhood itu murah kerana tak ikut spesifikasi dan tidak tahan lama. Bagaimana pandangan saudara?
AZLAN: Pada saya itu andaian yang salah. Ini kerana turapan yang dibuat oleh kami lebih lama bertahan jika dibandingkan dengan turapan dibuat oleh JKR dan PBT sendiri.
Malah sudah wujud PBT dan konsesi JKR sendiri membeli tar dari kami. Rata-rata ulasan dari kontraktor dan persatuan penduduk juga mengakui ketahanan tar yang kami hasilkan.
Menurap jalan raya ini juga perlukan kemahiran dan pengetahuan. Apakah Brotherhood mempunyai kemahiran ini?
AZLAN: Sudah tentu. Saya sendiri mempelajari teknik turapan sehingga ke luar negara malah Brotherhood kini menjalinkan kerjasama dengan makmal-makmal swasta yang menjalankan ujian coring. Saya sendiri akan turun mengajar bagaimana untuk melakukan tampalan yang berkualiti kepada setiap unit Brotherhood yang ditubuhkan.
Jadi yang sangsi boleh berkata apa sahaja. Kerana itu sahaja kemampuan mereka, berkata-kata. Jika mereka sangsi keupayaan kami, kami lebih berhak sangsi dengan keupayaan mereka. Kerana mereka lebih berkelengkapan, mempunyai gaji, malah sepatutnya menjalankan amanah berbayar dengan baik, bukan kami.
Jika turapan itu benar sangat sukar, mengapa kami lihat rata-rata pekerja yang menurap terdiri daripada warga asing yang entah dikutip dari mana? Mengapa banyak turapan mereka sering pecah semula?
Jalan berlubang ini perlu tindakan segera. Apakah peranan yang boleh dimainkan oleh pengguna jalan raya?
AZLAN: Sebagai pengguna jalan raya yang membayar cukai dan berhak mendapat laluan yang selamat, mereka boleh membuat aduan kepada pihak yang sepatutnya bertanggungjawab. Sama ada melalui talian hotline, kaunter aduan, e-mail aduan, Facebook serta aplikasi aduan lubang jabatan dan PBT yang disediakan.
Saya juga ingin menasihati para pengadu agar segera mengingatkan No Wrong Door Policy sekiranya ada mana-mana pihak yang menafikan laluan itu di bawah tanggungjawab mereka. Saya juga menasihatkan agar setiap aduan itu dilakukan secara bertulis agar menjadi bukti aduan telah dilaksanakan. Sekiranya pihak yg sepatutnya bertanggungjawab mengabaikan aduan, serahkan salinan kepada mana-mana Facebook Brotherhood. Kami ada cara yang lebih berkesan.
Sekiranya lebih ramai orang buat kerja sukarela seperti Brotherhood, apakah ini satu perkembangan yang sihat? Nanti pihak yang sepatutnya lepas tangan pula.
AZLAN: Sudah tentu ia bukan perkembangan yang sihat. Saya sendiri sering berdoa agar saya boleh menghentikan dan menutup kesemua unit Brotherhood kerana ia bukan tanggungjawab kami.
Usaha Brotherhood bukan sahaja menagih kewangan sendiri dan masa yang sepatutnya dapat dikongsi bersama keluarga tersayang, malah ia berisiko tinggi.
Maka saya menyeru semua pihak yang sepatutnya bertanggungjawab agar mula prihatin terhadap kepentingan dan hak pengguna laluan jalan raya di negara ini. Gunakanlah segala peruntukan dengan amanah dan bijaksana.
Nampaknya Brotherhood sekarang menyediakan khidmat guaman kepada mangsa. Apakah ini menunjukkan Brotherhood begitu kecewa dengan sikap PBT?
AZLAN: Melalui pengalaman kami, banyak pihak yang cuba melarikan diri dari bertanggungjawab terhadap mangsa akibat kerosakan laluan di bawah seliaan dan jagaan mereka. Penafian atau proses membayar balik tuntutan antara enam bulan sehinga bertahun-tahun (bayaran juga tidak secara penuh) adalah antara taktik mereka.
Bukan sahaja PBT. Malah PLUS Malaysia Berhad (PLUS) kini diketahui sebagai pemilik laluan berbayar nombor satu menafikan hak mangsa. Kecewa? Itu belum cukup menggambarkan perasaan kami. Sebab itu kami menasihati agar mangsa memulakan tindakan saman. Hubungi kami untuk mendapatkan konsultasi berkaitan tindakan saman secara percuma.
Apakah harapan saudara terhadap PBT dan JKR?
AZLAN: Kurangkan berpolitik Cuba letakkan diri anda dan ahli keluarga anda dalam posisi mangsa.Jangan buat kerja lain semasa dalam pejabat seperti pemasaran berlapis (MLM), jualan kuih, baju dan tudung raya. Kalau perlu pendapatan lebih, lakukan di luar waktu pejabat. Tolong sedar amanah tanggungjawab yang anda pegang adalah berbayar.
Akhir sekali, sampai bila saudara hendak buat kerja sukarela ini?
AZLAN: Kalau boleh esok hendak berhenti. Tetapi selagi keadaan ini berterusan, Malaysia akan dapat melihat pertambahan penyokong-penyokong Brotherhood di seluruh negara dan antarabangsa.
Akhir kata, saya telah mereka Brotherhood ini sebagai satu watak antagonis untuk memberi cabaran kepada pihak yang sepatutnya bertanggungjawab.
Seharusnya merekalah hero dalam penceritaan ini. Maka bangkitlah dan tewaskan kami melalui tindakan-tindakan segera.
Kami masih berharap hero-hero ini akan menang satu hari nanti. Kemenangan anda adalah kemenangan kita semua, insya-Allah. Selamat maju jaya.