KERIAN – Seorang pegawai tentera yang memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Honda Odyssey terkejut besar apabila terserempak dengan kenderaan sama yang digunakannya ketika berhenti di Perhentian Rehat dan Rawat Gunung Semanggol di sini semalam.
Dia yang tidak berpuas hati dengan keadaan itu kemudian bertindak merampas kunci daripada pemandunya sebelum menghubungi polis.
Difahamkan, MPV klon tersebut baru dibeli oleh pemiliknya untuk pulang ke kampung bagi menyambut Aidilfitri dengan harga murah daripada satu sindiket yang sedang disiasat polis.
Kedua-dua MPV tersebut kemudian diletakkan bersebelahan untuk diambil gambar sebelum kes itu menjadi tular di laman-laman sosial. Setakat pukul 10 malam tadi, ia mendapat 8,000 like dan hampir 1,500 perkongsian pengguna internet.
Berdasarkan pada status di satu laman Facebook, pemilik asal MPV tersebut merupakan seorang pegawai tentera di Kementerian Pertahanan di Kuala Lumpur dan kenderaan itu digunakan oleh isterinya yang bertugas di Batu Pahat, Johor.
Pemilik kenderaan klon itu pula merupakan seorang lelaki yang tinggal di Subang Jaya, Selangor.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob ketika dihubungi lewat malam tadi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian tersebut.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai kejadian itu kerana bimbang mengganggu siasatan.
“Siasatan sedang dijalankan polis,” katanya ringkas ketika dihubungi Kosmo! semalam.
No comments:
Post a Comment