PENDANG – Luluh hati seorang bapa apabila menemui anak bongsunya yang berusia setahun 10 bulan dalam keadaan sudah tidak bernyawa di dalam tali air dekat rumahnya di Rancangan Tanah Pinggir Bukit Mak Insun di sini kelmarin.
Mayat Faridah Afrina Mohd. Fadhlisham (gambar kecil) ditemui pada pukul 6.30 petang oleh bapanya yang keluar mencarinya sebaik menerima panggilan mengenai kehilangan anak perempuannya itu.
Lebih menyayat hati, tragedi lima Syawal itu berlaku ketika mangsa masih lagi bergembira dengan baju kurung baharu berwarna ungu yang dibeli ibu bapanya untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Kanak-kanak itu dikatakan terjatuh ke dalam tali air tersebut apabila keluar dari rumah bersendirian melalui pintu dapur untuk bermain air selepas hujan lebat pada pukul 4.30 petang.
Mengimbau semula kejadian itu, bapa mangsa, Mohd. Fadhlisham Che Me, 39, berkata, dia yang sedang membeli barangan keperluan harian di pekan Pendang di sini bergegas pulang sebaik menerima panggilan mengenai kehilangan anaknya itu.
“Selepas sejam mencari bersama penduduk kampung, saya temui anak saya dalam keadaan tertiarap di dalam parit sedalam hampir satu meter kira-kira 500 meter dari tempat dia dikatakan terjatuh.
“Ketika kejadian, isteri saya keluar bekerja di sebuah kilang dekat sini manakala Faridah Afrina dan dua abangnya, Muhd. Aiman Fikhri, 12, dan Muhd. Afiq Farish, 8, tinggal di rumah nenek mereka yang terletak bersebelahan dengan rumah saya. Mereka dijaga tiga adik ipar dan beberapa orang anak saudara,” ceritanya ketika ditemui di sini semalam.
No comments:
Post a Comment