Wednesday, 5 July 2017

Pengetua meninggal dalam kereta

PIHAK polis melakukan pemeriksaan ke atas kenderaan Hamzani yang ditemui meninggal dunia di dalam kereta di Semesti, Teluk Intan semalam.

TELUK INTAN – Seorang pengawal keselamatan di Sekolah Menengah (SM) Sains Teluk Intan (Semesti) di sini terperanjat besar apabila menemui pengetua sekolah tersebut dalam keadaan tidak bernyawa di dalam sebuah kenderaan yang diparkir di hadapan blok asrama lelaki sekolah itu pada pukul 5 pagi semalam.
Pemergian Hamzani Suien (gambar kecil), 46, ditangisi pengawal keselamatan berkenaan kerana dia baru sahaja beberapa minit berbual dengan Allahyarham sebelum guru tersebut menghembuskan nafas terakhir.
Isteri kepada Hamzani, Rusnani Abdul Razak, 44, memberitahu, arwah suaminya ada memaklumkan bahawa dia akan membuat rondaan di persekitaran sekolah dan asrama Semesti pada pukul 3 pagi dan kemudian akan menunaikan solat Subuh di sekolah itu.
“Pengawal keselamatan yang menemui mayat arwah ada memberitahu saya yang Hamzani mengadu yang dirinya berasa penat sebelum berjalan masuk ke dalam keretanya.
“Melihat kereta suami saya yang tidak bergerak walau enjin telah dihidupkan dalam tempoh agak lama menyebabkan pengawal berkenaan curiga. Dia kemudian menghampiri kenderaan tersebut untuk memeriksanya dan terkejut melihat suami saya sudah tidak bernyawa,” katanya ketika ditemui di Hospital Teluk Intan (HTI) semalam.

No comments:

Post a Comment