Banting: Kegagalan membuktikan status kewarganegaraan bapa selain tidak mendaftarkan perkahwinan di negara ini menyebabkan tujuh penghuni Rumah Amal Anak Yatim Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Darul Ehsan (PKAYDE) tidak dapat ke sekolah.
Lebih membimbangkan apabila ada penghuni yang berusia antara tujuh hingga 13 tahun itu memegang status bukan warganegara kerana pendaftaran yang dibuat keluarga angkat sebelum ini tidak mengemukakan sijil nikah ibu bapa mereka.
Presiden rumah amal berkenaan, Datuk Ibrahim Osman berkata, pihaknya sudah membuat permohonan dengan pejabat pelajaran daerah bagi memastikan semua kanak-kanak berkenaan dapat ke sekolah, namun permohonan mereka ditolak.
Beliau berkata, antara alasannya, penjaga perlu mengemukakan bukti kanak-kanak itu adalah warganegara atau surat pengesahan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
“Sebenarnya ibu bapa mereka tidak mendaftarkan perkahwinan di negara ini meskipun bapa mereka adalah lelaki tempatan dan berstatus warganegara.
“Selepas ditinggalkan suami, si ibu ingin pulang ke negara asal dan menyerahkan anak yang baru dilahirkan kepada keluarga angkat untuk dijaga,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, baru-baru ini.
Menurut Ibrahim, penjaga kemudian mendaftarkan anak itu di JPN bagi mendapatkan dokumen pengenalan diri iaitu surat beranak, malangnya mereka diberikan status bukan warganegara.
“Berikutan tiada sijil nikah ibu bapa, maka mereka didaftarkan sebagai bukan warganegara sekali gus yuran persekolahan perlu dibayar mengikut kadar warga asing.
“Akibat kesempitan hidup dan tidak mampu membayar kos yuran yang terlalu tinggi maka keluarga angkat kemudian menyerahkan mereka kepada kami,” katanya.
Beliau melahirkan kebimbangan terhadap masa depan kanak-kanak berkenaan kerana selain tidak mempunyai pendidikan, mereka juga tidak diterima bekerja kerana masalah dokumen pengenalan diri.
“Tidak tahu ke mana arah tuju perjalanan hidup mereka yang terpaksa ‘merempat’ di negara sendiri,” katanya.
Sementara itu, jurucakap JPN ketika dihubungi Harian Metro berkata, bagi kelahiran anak yang tidak diketahui status kewarganegaraan, keluarga angkat atau penjaga perlu mengemukakan bukti anak itu benar-benar dilahirkan di negara ini dan mempunyai waris warganegara.
“Sama ada penjaga, keluarga angkat, bidan kampung atau jiran yang ada ketika kanak-kanak itu dilahirkan, mereka perlu hadir ke pejabat JPN negeri untuk membuat akuan bersumpah.
“Atau bagi pasangan yang tidak mempunyai sijil nikah, mereka perlu merujuk kepada pejabat agama terlebih dulu sebelum mendaftarkan kelahiran bayi berkenaan,” katanya.
No comments:
Post a Comment