Tuesday, 4 July 2017

Adi Putra bimbing pelajar minat matematik

ADI PUTRA menghuraikan formula matematik ringkas kepada pelajar-pelajar yang menghadiri seminar Adimatik kelolaan FPP, UiTM cawangan Pahang, Kampus Raub baru-baru ini.
PERAWAKAN pemuda berkaca mata berbingkai separuh dan berkemeja putih polos itu kelihatan mesra. Senyum manis mengiringi setiap patah bicara ketika menghuraikan formula matematik ringkas di hadapan ratusan pasang mata yang menghadiri seminar Love Math with Adimatik anjuran Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (FPP), Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Pahang Kampus Raub.
Ternyata, tempoh 12 tahun yang dilalui semakin mematangkan Adi Putra Abdul Ghani, 18.
Dia pernah mencetuskan fenomena global ketika berusia enam tahun sekitar 2005 kerana kemahiran luar biasa dalam subjek matematik.
“Sehingga kini, saya telah menghasilkan 286 formula baharu yang praktikal dan berguna untuk pengiraan matematik.
“Ia meliputi kaedah pengiraan congak yang ringkas dan sesuai untuk semua peringkat pengajian. Terdapat juga formula lebih kompleks khusus buat pelajar institusi pengajian tinggi (IPT),” ujarnya sewaktu ditemui Kosmo! di UiTM cawangan Pahang Kampus Raub baru-baru ini.
Program Adimatik kelolaan syarikatnya, Adimatik Genius Solutions merupakan sebuah program tidak konvensional untuk menggalakkan minat pelajar terhadap matematik menggunakan formula ringkas ciptaan Adi Putra sendiri. Dia juga memperkenalkan konsep pengiraan sebaris yang mudah diikuti.
Ia mula dianjurkan pada bulan November 2016 dan telah melalui enam siri setakat ini melibatkan negeri Selangor, Pahang, Perak serta Kelantan. Pengisian yang dilakukan termasuk buku, kelas dan seminar.
Sasaran peserta ialah pelajar sekolah rendah dan menengah, guru serta ibu bapa.
Antara formula terkenal yang mudah diikuti ialah Formula Gunung, Pelangi dan cara menghafal sifir dalam masa dua hari.
Anak bongsu daripada tiga adik-beradik kepada pasangan Abdul Ghani Abdul Wahid, 59, dan Serihana Elias, 42, itu mula mengajar serta berkongsi kaedah pengiraan matematik sejak berusia enam tahun lagi.
Malah, pada penghujung setiap program Adimatik kendaliannya, dia akan membuat ‘pertunjukan silap mata’ khusus untuk tatapan peserta.
Sekeping papan putih akan ditulis 100 nombor di atasnya secara rawak dan Adi Putra diberi masa selama dua minit untuk menghafalnya.
Menyifatkan daya ingatan sebagai anugerah Allah yang tidak ternilai untuknya, Adi Putra berjaya menyebut dengan lancar kesemua 100 nombor yang ditulis pada papan putih itu dalam tempoh masa singkat.
Lebih mengagumkan, pemuda itu juga berupaya menyebut semula kesemua nombor tersebut secara terbalik bermula dari bawah tanpa sebarang kesalahan.
“Sewaktu mengandungkan kakak dan abangnya, saya banyak membaca al-Quran, namun tidak mengkhususkan kepada mana-mana surah. Berbeza halnya sewaktu mengandungkan Adi Putra, saya lebih banyak memfokuskan bacaan pada surah Yusuf, Luqman dan Mariam.
“Adi Putra juga tidak memakan organ dalaman haiwan,” ujar ibunya, Serihana ketika diajukan soalan mengenai kebarangkalian Adi Putra dikurniakan daya ingatan yang kuat.
Momen manis
ADIMATIK merupakan sebuah program tidak konvensional untuk menggalakkan minat pelajar terhadap matematik menggunakan formula ringkas ciptaan Adi Putra sendiri.
Selama tempoh 12 tahun sejak bakat pintar Adi Putra dalam bidang matematik diguna pakai untuk mengajar pelajar sekolah, dia mengakui, walaupun perkara itu adakalanya memenatkan terutama bagi kanak-kanak seusianya, momen itulah yang mencatat pengalaman manis dalam hidupnya.
“Saya masih ingat, sewaktu mengadakan program di Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, Johor sebelum ini. Ada ibu bapa yang membawa anak mereka yang langsung tidak minat subjek matematik untuk menyertai seminar itu.
“Selepas habis program, seorang ibu muda menghampiri saya dalam keadaan sebak sambil memanjatkan rasa terima kasih kerana anaknya telah menunjukkan minat mendadak terhadap subjek kira-kira dan memintanya membelikan buku latihan matematik.
“Saya terharu dengan penghargaan itu. Perkara itu semakin menguatkan semangat saya untuk berkongsi ilmu dan menarik minat pelajar terhadap matematik,” jelasnya yang menjadikan Allahyarham Prof. Datuk Dr. Ismail Md. Salleh sebagai idola.
Ditanya apakah faktor yang membuatkan dia petah dan tampil yakin di atas pentas, pemuda yang menggemari minuman bercoklat itu memberitahu, ia berlaku mungkin kerana telah terbiasa dengan perbuatan tersebut sejak kecil.
Belajar di rumah
Menyifatkan rasa gugup di atas pentas sebagai lumrah setiap manusia, kongsi Adi Putra, setiap kali berasa gemuruh dia akan membaca surah al-Insyirah, memakan produk minda keluarannya sendiri iaitu Adi-Q dan memulakan seminar dengan sembang kosong berkaitan dirinya atau situasi rawak.
Adi Putra mendapat pendidikan tidak formal di rumah sejak sedekad yang lalu selepas mengambil keputusan untuk berhenti belajar di Sekolah Islam Antarabangsa, Gombak sambil menyifatkan sistem pendidikan yang diterima pada waktu itu tidak sesuai dengannya.
“Benar, saya hanya belajar di rumah. Namun, saya gunakan sepenuhnya masa dan peluang itu untuk memantapkan kemahiran lain termasuk menghafaz al-Quran serta belajar bahasa,” katanya yang petah berbicara setiap kali perbualan diselang-selikan dengan bahasa Inggeris.
Di sebalik populariti dan kontroversi yang diraih seawal usia enam tahun, anak kelahiran Parit Buntar, Perak itu juga sebenarnya masih berkongsi jiwa sama seperti remaja seusia yang lain.
Adi Putra mengakui, dia sangat gemar bermain permainan video terutamanya Dota 2 dan Heartstone.
Malah, dia juga mengakui, permainan video merupakan sebahagian daripada dirinya. Kebiasaannya, Adi Putra akan bermain video antara pukul 12 tengah malam hingga 4 pagi kerana itu merupakan tempoh masa badan dan otaknya paling aktif.
Dalam tempoh masa itu jugalah dia sering mendapat ilham untuk menghasilkan formula matematik terbaharu.
“Ilham untuk formula baharu akan muncul secara tiba-tiba. Adakalanya pada waktu yang tidak dijangka.
“Justeru, saya akan cepat-cepat mencatatnya apabila ilham itu singgah di minda,” kongsinya sambil memberitahu, dia hanya akan tidur selepas pukul 4 pagi pada setiap hari.
Selain itu, dia juga gemar melakukan aktiviti mendaki bukit, bermain gitar dan memasak terutamanya masakan Barat apabila berkelapangan.
Perancangan
Menebak perancangan masa depan, Adi Putra yang tinggal bersama keluarganya di Tanjung Malim, Perak itu berhasrat untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Monash, Melbourne, Australia bagi mendalami ilmu matematik dengan lebih serius kerana IPT itu menyediakan platform pengembangan bakat khusus buat pelajar genius sepertinya.
“Saya hendak sambung pelajaran dalam bidang matematik dan membuat kajian terperinci untuk mengembangkan lagi formula al-Khawarizmi serta memecahkan kod kira-kira yang dihasilkan oleh ilmuwan Islam itu lebih 1,000 tahun lalu.
“Baru-baru ini, saya berjaya mengembangkan formula paskal tetapi masih berada pada fasa kajian kerana saya belum mengetahui bila dan bagaimana untuk menggunakannya,” akui anak muda pemalu dan berjiwa besar itu.
Sehingga kini, Adi Putra memiliki dua buah universiti angkat iaitu Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang dan UiTM cawangan Pahang, Kampus Raub.
“Fungsi universiti angkat ialah pelajar yang berkenaan akan mendapat kelebihan untuk mengikuti bengkel matematik yang saya kelolakan ujarnya penuh harapan.
ADI PUTRA (kiri) mengabadikan potret hari raya bersama bapanya, Abdul Ghani (dua dari kiri); ibu, Serihana (dua kanan) dan abang, Amirul Izuan.

No comments:

Post a Comment