Friday, 24 July 2015

5 samseng tahi lembu diberkas

 Jalan masuk ke Felda Jengka 17, lokasi dua lelaki dibelasah dan dipaksa makan tahi lembu Selasa lalu

MARAN – Polis menahan lima warga tempatan semalam bagi membantu siasatan berhubung kes dua lelaki dibelasah sebelum mereka dipaksa memakan tahi lembu di Felda Jengka 17, Maran Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Mat Rizal Mat Razi berkata, kelima-lima lelaki itu ditahan di rumah masing-masing di Jengka 15 dan Jengka 17 selepas polis menerima maklumat orang awam.
Menurut beliau, ujian air kencing ke atas kelima-lima suspek itu mendapati salah seorang daripada mereka positif dadah.
Kelima-lima lelaki itu direman dan disiasat berhubung kejadian membelasah dan memaksa dua mangsa memakan tahi lembu.
“Setakat ini, belum ada laporan polis dibuat oleh mana-mana individu memaklumkan haiwan ternakan mereka dicuri atau hilang.
“Polis hanya menerima laporan dibuat oleh mangsa-mangsa yang dipukul selepas dituduh mencuri lembu,” kata beliau ketika dihubungi di sini semalam.
Mat Rizal memberitahu, salah seorang daripada mangsa yang dibelasah beransur pulih dan dibenarkan keluar dari Hospital Bandar Jengka.
Oleh IKHWAN IDERIS

No comments:

Post a Comment