WALAUPUN nama mereka mula meniti di bibir peminat, keempat-empat figura yang sedang hangat dengan suhu populariti ini tetap menyambut Lebaran dalam kesederhanaan tetapi meriah.
Justifikasi meriah bagi mereka adalah menyambut Aidilfitri bersama keluarga tercinta memandangkan masing-masing masih belum berpunya dan masih mencari pasangan hidup.
Akui Zara Zya, Syatilla Melvin, Mia Ahmad dan Syarul Ridzwan pada saat usia meningkat, semakin kurang kemeriahan menyambut Aidilfitri. Namun, apa yang semakin mereka sedari adalah kesyukuran yang berlipat ganda kerana masih diberi peluang untuk menyambut bulan mulia dalam keadaan yang serba sempurna dan sihat walafiat.
Ikuti kisah empat selebriti popular ini mengenai Aidilfitri mereka sebelum dan selepas menjinakkan diri dalam industri seni tanah air.
Bisnes, pengalaman raya Zara Zya
Zara atau nama sebenarnya Zainurul Razia Mohd. Zainuddin, 29, mempunyai kisah menarik untuk dikongsi bersama peminat.
Menurut pelakon kecil molek itu, ketika berusia lingkungan enam tahun dia pernah dikejar anjing bersama rakan-rakan di kampungnya di Temerloh, Pahang.
“Waktu itu saya teruja sangat mahu kutip duit raya. Saya tidak sedar pula rumah yang kami mahu kunjungi itu bukan milik orang Melayu dan ada banyak anjing.
“Saya dan kawan-kawan siap bagi salam. Bagaimanapun, bukan orang yang keluar, tetapi anjing yang keluar kejar kami! Saya pun apa lagi, terus berlari pecut ke rumah tanpa menoleh belakang,” ceritanya sambil ketawa.
Pelakon yang mendadak popular selepas drama Love You Mr. Arrogant menyifatkan raya pada zaman kanak-kanak merupakan momen paling meriah. Bila sudah besar ini, mood untuk beraya itu sudah tidak berapa kuat berbanding zaman kanak-kanak dulu,” kata Zara yang menjalankan bisnes kuih raya sepanjang bulan Ramadan bersama ibu dan kakaknya.
Menurutnya, kuih raya yang paling laris adalah kuih gunting yang mencecah sehingga 70 kilogram untuk tempahan pelanggan di Singapura.
Dalam pada itu, Zara turut menceritakan pengalamannya beraya seorang diri di ibu kota tahun lalu.
“Entah apa ada di kepala saya tahun lepas kerana menyambut hari raya seorang diri di Kuala Lumpur. Saya masak lontong dan makan sendiri seorang diri.
“Waktu itu, semua pulang ke Temerloh. Ada sekumpulan kanak-kanak datang beraya di rumah, saya bagi mereka rasa lontong saya. Saya perasan apa yang mereka mahukan cuma duit raya sebab mereka tidak pandang sangat pun lontong yang dihidangkan.
“Saya tidak marah atau terasa hati pun sebab dulu masa kecil pun sama seperti mereka. Datang beraya sebab mahu kumpul duit, bukan makan,” katanya dalam nada ceria.
Zara juga berpendapat semakin meningkat usia, kemeriahan Aidilfitri sudah berkurangan.
“Saya akui perkara tersebut sampai mahu buat baju raya pun tiada mood. Kalau baju raya tidak dapat siap pun tidak mengapa, saya tidak kisah,” ungkap Zara yang menyambung semula aktiviti seninya seminggu selepas Syawal.
Syatilla risau ayah
Berbeza cerita dengan yang lain, pelakon bertubuh ramping, Syatilla Melvin, 24, lebih memberi keutamaan kepada kesihatan ayahanda tersayang, Amirol Melvin Abdullah, 70, yang pernah dihimpit kisah pahit apabila diserang penyakit jantung pada malam raya, dua tahun lalu di Pulau Pinang.
“Waktu itu, hanya Tuhan yang tahu perasaan saya. Saya membawa dia ke hospital dan membuatkan saya berasa seperti tidak akan beraya dengan dia.
“Keadaan dia sudah seperti nyawa-nyawa ikan dan ketika itu ayah mula bercakap bukan-bukan. Syukur saya sempat menghantarnya ke hospital tepat pada waktunya dan dia dapat diselamatkan.
“Waktu menunggu di luar wad kecemasan, emosi saya sangat rapuh. Bayangkan, malam raya dan saya terpaksa menempuhi satu peristiwa yang sangat mencabar dalam hidup.
“Saya bersyukur dia masih lagi ada bersama kami sekeluarga buat masa ini,” cerita Syatilla penuh syukur.
Berhari raya di Pulau Pinang, Syatilla memberitahu tiada perancangan yang istimewa melainkan momen indah bersama keluarga tercinta setiap kali Aidilfitri menjelma.
“Alhamdulillah, tahun ini masih lengkap bilangan kami sekeluarga. Itu yang penting. Baju raya tahun ini cuma sepasang saja. Semuanya ala kadar dan saya tidak mahu membazir,” ujarnya yang menyukai rendang dan tart nenas setiap kali hari raya menjelma.
Bercakap soal perhubungannya dengan pelakon lelaki popular, Shaheizy Sam, Syatilla memberitahu dirinya dan Sam memang rapat. Bagaimanapun, dia tidak mahu bercakap lebih lanjut kerana berasa tidak manis untuk seorang perempuan bercerita perkara yang belum rasmi.
“Saya akui memang rapat dengan Sam. Saya tidak segan untuk mengakui dia adalah antara orang paling rapat dengan saya buat masa ini. Bagaimanapun, itu sahaja yang dapat dikongsikan.
“Keluarga kami sudah saling mengenali. Kami saling mengunjungi pada hari raya bagi mengeratkan silaturahim. Insya-Allah,” ujarnya menutup bicara.
Mia Ahmad trauma baju raya
Namanya mula menyerlah saat membintangi drama bersiri Hati Perempuan. Pelakon kelahiran Taiping, Perak ini melepaskan hilai tawa sebelum menyudahkan cerita tentang pengalamannya meraikan Lebaran. Pernah berdepan dengan pengalaman ngeri apabila impian untuk menyarung baju kurung pada pagi Syawal tidak kesampaian disebabkan kegagalan tukang jahit menyiapkan tempatan Mia.
“Beberapa hari sebelum raya, saya telah ke kedai jahit namun katanya baju akan siap dan boleh diambil pada pagi raya.
“Namun sebaik tiba detik yang dinantikan, harapan saya musnah apabila mengetahui baju raya masih tidak siap dan terpaksa diambil pada minggu kedua Syawal.
“Disebabkan itu, sebaik sahaja menjelang Syawal isu baju raya pasti akan meninggalkan kesan trauma kerana takut jika perkara tersebut berulang,” jelasnya sambil ketawa.
Bagi pelakon berusia 27 tahun itu, baju raya antara simbol Lebaran selain daripada juadah dan kepulangan sanak saudara di desa. Gembira meraikan Syawal di kampung halaman, Mia teruja berkongsi cerita mengenai persiapan menyambut Aidilfitri.
Tahun pertama beraya sebagai selebriti popular, Mia menyuarakan kebimbangannya tentang kehadiran tetamu yang bakal berkunjung ke kediamannya pada hari pertama Syawal.
“Selepas apa yang berlaku sekarang, saya bimbang dengan jumlah kehadiran tetamu. Pelbagai persoalan bermain di fikiran bagaimana jika tiada sesiapa datang berkunjung atau terlalu ramai tetamu yang hadir,” ujarnya.
Ayam masak merah Syarul
Bagi aktor kacak yang menjadi kegilaan ramai, Syarul Ridzwan, 26, Syawal kali ini disambut dalam keadaan yang sederhana tetapi meriah.
Baginya, apa yang menjadi keutamaan pada hari raya ialah kehadiran keluarga tersayang.
“Saya beraya di sini (Kuala Lumpur) saja kerana kebanyakan ahli keluarga semua ada di sini termasuk ibu dan bapa saya. Jadi, raya tahun ini tidak akan beraya di Kelantan.
“Tambahan, kakak ipar saya sedang sarat mengandung. Kami sekeluarga fikir raya tahun ini mahu jaga dia takut kalau tiba-tiba ‘bakal’ anak buah saya itu ingin keluar awal (tertawa),” ujarnya berseloroh.
Bercakap soal pengisian Ramadan lalu, Syarul mengatakan bahawa dia memutuskan untuk berehat sebentar daripada aktiviti lakonan. Sebaliknya, Syarul sempat menjejakkan kaki ke tanah suci Mekah dan Madinah bersama ibu dan bapanya bagi menjalankan ibadah umrah.
“Alhamdulillah, berpeluang mengerjakan umrah merupakan impian saya sejak kecil. Lebih manis apabila ibadah umrah dilakukan bersama kedua ibu dan bapa saya.
“Sekembalinya ke tanah air dari tanah suci, saya berasa begitu tenang dan tidak sabar untuk kembali ke sana lagi apabila mempunyai rezeki dan peluang yang lebih,” katanya yang berada di Mekah selama empat hari dan Madinah selama tiga hari dalam tempoh seminggu mengerjakan umrah.
Dalam pada itu, rata-rata peminatnya mengetahui bahawa Syarul sibuk berniaga kuih raya yang diusahakan bersama rakan karibnya, Aryl Salak sepanjang bulan Ramadan yang lalu.
“Sebenarnya, saya tidak sangka kuih raya yang saya buat mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai. Syukur Alhamdulillah, rezeki tahun ini melimpah-ruah.
“Sejujurnya, saya tidak mahu berasa terlalu selesa dengan apa yang saya sudah kecapi kerana bagi saya semua ini hanya bersifat sementara jika tiada usaha yang berterusan. Jadi, saya kurangkan aktiviti seni pada bulan Ramadan dan buat perkara lain (bisnes kuih raya).
“Saya percaya peminat akan mudah bosan dan muak apabila cerita tidak penting dijaja sana sini terutama cerita yang melibatkan peribadi. Jadi, saya sudah mula perlahankan aktiviti seni tapi bukan bersikap terlalu selektif mahupun menaikkan harga bayaran,” tutur Syarul yang menjadi sebutan ramai melalui watak utama sebagai Tengku Zaril dalam drama Hati Perempuan.
Berbicara lebih lanjut soal Lebaran, Syarul turut berkongsi menu raya kegemarannya.
“Kalau raya, ayah saya memang pakar masak rendang ayam dan daging. Kami sekeluarga setia untuk merasa masakan dia pada pagi raya (ketawa).
“Saya rasa saya warisi bakat memasak ayah. Kalau raya, masakan saya yang paling ditunggu-tunggu oleh ahli keluarga ialah ayam masak merah,” ungkapnya menutup bicara.
No comments:
Post a Comment