KUALA LUMPUR – Isteri pemain dram kumpulan Search, Yazid Ahmad, Ramlah Mat mengesahkan pihaknya telah menerima tawaran daripada tiga orang penderma buah pinggang sejak berita mengenai suaminya sedang menunggu organ tersebut dilaporkan akhbar pada awal bulan ini.
Ramlah nyata bersyukur dengan tawaran tersebut namun berdasarkan kesihatan suaminya yang masih lemah dan mengalami jangkitan kuman pada jantungnya, pembedahan pemindahan buah pinggang tidak digalakkan oleh doktor buat masa terdekat.
“Saya tidak mengenali penderma tersebut tetapi bersyukur kerana ada pihak yang sudi membantu suami. Namun saya tidak boleh terlalu berharap kerana menurut doktor pembedahan untuk pemindahan buah pinggang tidak digalakkan buat masa terdekat.
“Keadaan suami masih lemah dan jantungnya juga dijangkiti kuman. Pembedahan tersebut terlalu berisiko untuk dilakukan. Buat masa sekarang, suami dirawat dengan antibiotik.
“Doktor ingin memastikan keadaan jantungnya stabil terlebih dahulu. Proses pemulihan mungkin mengambil masa yang panjang sebelum pemindahan buah pinggang dapat dilakukan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Yazid, 53, yang menghidapi masalah buah pinggang sejak enam tahun lalu dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada hujung Jun lalu akibat jangkitan pada jantungnya.
No comments:
Post a Comment