TINDAKAN menggunakan WiFi di tempat awam untuk urusan perbankan dalam talian boleh mengundang padah kerana sumber internet itu mudah diceroboh penggodam. – Gambar hiasan
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menasihatkan pengguna internet agar tidak menggunakan kemudahan WiFi di tempat-tempat awam untuk melakukan sebarang urusan transaksi perbankan dalam talian.
Timbalan Pengarah Jabatan Pembangunan dan Perancangan Jangkauan SKMM, Nurhalili Nadia Mustapha Kamal berkata, pengguna tidak digalakkan menggunakan kemudahan WiFi percuma di tempat awam demi keselamatan kerana akaun bank pengguna mungkin boleh digodam.
“Lebih selamat gunakan talian internet sendiri kerana kita ada kata laluan dan hanya kita yang gunakan kemudahan itu. Tidak digalakkan guna WiFi awam kerana penggodam dengan mudah menggodam akaun bank kita,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Sementara itu, seorang pakar teknologi maklumat, Mahyudi Md. Yusof berkata, pengguna perlu bijak mengenal pasti identiti sumber WiFi yang digunakan ketika melayari internet supaya dapat mengelak pencerobohan data.
Menurutnya, ramai orang tidak tahu bahawa penggodam boleh menggodam peralatan elektronik seperti telefon dan komputer riba melalui WiFi awam seperti di kedai mamak.
“Kita perlu tahu sumber WiFi yang sambung seperti sama ada menggunakan syarikat telekomunikasi yang sah seperti Telekom, Maxis dan Celcom.
“Jika kita sambung kepada mana-mana WiFi yang tidak diketahui sumbernya, besar kemungkinan kita mudah dipecah masuk oleh penggodam,” katanya ketika dihubungi semalam.
Ikuti berita selanjutnya di akhbar Kosmo!
No comments:
Post a Comment