NEW YORK – Rusia semalam menyatakan akan menolak draf resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang diedarkan Malaysia untuk membentuk sebuah tribunal antarabangsa bagi mendakwa pihak bertanggungjawab menembak jatuh pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 di Ukraine.
Timbalan Duta Rusia ke PBB, Petr Iliichev mengesahkan bantahan Moscow terhadap rancangan tersebut dengan memberitahu pemberita bahawa ‘ini bukan masa sesuai dan tidak produktif.’
Iliichev juga mengesahkan Rusia akan menolak cadangan tersebut.
Malaysia kelmarin mula mengedarkan draf resolusi Majlis Keselamatan PBB bagi penubuhan tribunal tersebut dan beberapa mesyuarat telah diadakan dengan Rusia serta China untuk menilai tahap sokongan mereka.
Kesemua 298 penumpang dan anak kapal dalam penerbangan MAS itu terbunuh selepas pesawat tersebut ditembak jatuh pada 17 Julai 2014 di timur Ukraine.
Pemberontak pro-Rusia disyaki bertanggungjawab menggunakan peluru berpandu darat ke udara yang dibekalkan Rusia namun Moscow menyangkal dakwaan tersebut sebelum menuduh Ukraine yang bertanggungjawab.
Draf resolusi yang diperoleh agensi berita AFP itu menyeru penubuhan tribunal di bawah Bab 7 Piagam PBB iaitu usaha-usaha mahkamah untuk mendakwa pihak bertanggungjawab boleh dilaksanakan melalui sekatan antarabangsa.
Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte pula menyatakan mahkamah antarabangsa adalah pilihan terbaik untuk pendakwaan tetapi masih ada pelan sampingan jika Rusia menyekat cadangan tribunal tersebut.
No comments:
Post a Comment