Monday, 20 July 2015

Aaishah raya sakan (anak Che'Ta) -kosmo


Raya tahun ini Che Ta dan Zain merancang mengadakan rumah terbuka di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Setiap kali tiba Lebaran, aktres dan pengacara jelita Rozita Che Wan awal-awal lagi sudah menempah puluhan baju raya glamor daripada pelbagai pereka fesyen. Bukan sahaja baju raya itu dipakai pada hari raya tetapi juga akan dipakai ketika menghadiri rumah terbuka dan acara hiburan.
Bagaimanapun, senario tahun kedua Rozita atau Che Ta sebagai isteri kepada pelakon Zain Saidin agak berbeza. Masakan tidak, tahun ini merupakan kali pertama Che Ta menyambut raya bersama anak bongsunya Aaishah Dhia Rana, 8 bulan.
Tanpa berselindung, Che Ta yang mempunyai dua orang anak lelaki, Ammar Effendy, 19, dan Aniq Ezzra, 17, hasil perkahwinan terdahulunya memberitahu, sebelum ini dia hanya memandang kegembiraan orang lain mendandan anak perempuan mereka kerana tidak mempunyai anak perempuan sendiri untuk digayakan. Namun, raya kali ini, Che Ta mahu melepaskan geram yang telah lama disimpannya.
“Sebelum ini saya asyik tengok orang lain seronok mendandan anak perempuan mereka. Saya hanya mampu pandang sahaja sebab tidak ada anak perempuan sendiri. Sekarang sudah ada Aaisyah, bolehlah saya lepaskan geram dan impian yang disimpan selama ini. Awal-awal lagi saya sudah siapkan baju raya Aaisyah. Baju kurung semuanya ditempah manakala, gaun ada tempah dan ada yang dibeli.
“Boleh dikatakan sepanjang 30 hari raya, Aaisyah pakai baju baharu. Warna pula mengikut baju saya dan Zain. Jika baju raya saya warna biru, Aaisyah pun akan ada baju kurung serta gaun biru. Memang raya kali ini persiapan lebih kepada Aaisyah,” kata Che Ta.
Akui wanita berusia 42 tahun ini, bajet rayanya telah dikurangkan demi Aaisyah. Jika raya tahun lalu Che Ta menempah 30 pasang baju raya tetapi, tahun ini dia hanya menempah 20 pasang baju sahaja. Walaupun angka tersebut masih dilihat banyak namun, menurut Che Ta kesemua baju baharu itu bukan sahaja dipakai waktu hari raya tetapi untuk menghadiri jemputan rumah terbuka dan acara hiburan.
“Tahun ini bajet saya diturunkan, 20 pasang baju untuk saya dan 20 pasang untuk Zain manakala, selebihnya untuk Aaisyah. Saya tidak kisah pun jika ada orang yang bising kenapa tempah baju terlalu banyak sebab sebelum jadi artis pun baju raya saya sudah ada tujuh pasang. Sudah menjadi kelaziman sejak dulu, setiap baju akan dipadankan dengan beg dan kasut. Inikan pula apabila jadi artis, lagilah saya perlu banyak baju kerana perlu hadiri banyak rumah terbuka dan acara hiburan.
“Jika saya pakai baju yang sama nanti orang bising juga. Mereka akan mengata sudah tidak ada baju lain ke? Baju yang banyak bukan untuk menunjuk sebaliknya menjadi keperluan disebabkan pekerjaan saya sebagai artis. Aaisyah pula sebab dia satu-satunya anak perempuan yang telah lama saya idamkan, jadi apa salahnya mengayakan dia pada hari raya. Lagipun saya tidak minta duit orang lain beli baju banyak-banyak,” luah Che Ta.
Sementara itu Zain, 31, pula hanya tersenyum dan mengatakan, dia memberi sepenuh kuasa kepada isterinya untuk persiapan mereka sekeluarga terutamanya buat Aaisyah. Memahami hasrat dan impian Che Ta, yang telah lama mengidam anak perempuan, Zain tidak kisah, mereka berhabis wang untuk membeli keperluan Aaisyah.
“Saya memang bagi Che Ta buat segala persiapan untuk raya. Soal baju terutamanya Aaisyah memang semuanya diuruskan oleh Che Ta. Apa yang tahu, kami ada banyak warna baju yang sedondon. Biarlah dia puaskan hati sebab selama ini hanya ada anak lelaki,” ujar Zain sambil menjeling isterinya.
Zain raya bertongkat
Bercerita lanjut tentang raya, mereka sekeluarga mengulang rutin yang sama seperti tahun lepas. Raya pertama akan diraikan di kediaman ibu Zain di Kuala Lumpur dan pada hari raya kedua barulah mereka akan bertolak ke kampung halaman Che Ta yang terletak di Alor Setar, Kedah.
Luah Zain, dia bertuah dikurniakan Che Ta sebagai isteri yang sering beralah soal destinasi raya. Dia juga hanya merasai pengalaman berhari raya di kampung sejak berkahwin dengan Che Ta. Jika tidak, Zain hanya meraikan Lebaran di sekitar Ampang dan rumah arwah neneknya di Gombak, Selangor.
“Saya bertuah kerana sejak bergelar suami, setiap tahun, pasti kami akan raya di rumah ibu saya terlebih dahulu. Che Ta tidak mahu saya susah hati (ketawa). Selepas itu barulah kami akan pulang ke Alor Setar dan berada di sana sehingga hari raya keenam,” tutur Zain.
Sungguhpun mereka teruja untuk menyambut raya, nampaknya tahun ini Zain akan menambah aksesorinya dengan bertongkat apabila dia terpaksa menjalani pembedahan lutut pada 29 Jun lalu akibat cedera selepas bermain futsal. Oleh itu, Zain dinasihatkan oleh doktor untuk bertongkat dan tidak terbabit dalam aktiviti lasak selama enam bulan.
Bagaimanapun menurut Che Ta lebih kurang dua minggu selepas raya iaitu pada 28 Julai, Zain akan menjalani penggambaran drama bersiri Oh My English!
“Raya kali ini Zain akan sentiasa bertongkat dan tidak boleh dukung Aaishah yang seberat 8.5 kilogram. Namun, kecederaannya tidak menyebabkan raya terjejas, saya dan anak lelaki sulung boleh memandu, jadi tidak ada sebarang masalah. Cuma saya berpesan kepadanya supaya selepas sembuh jangan terlalu beria-ria sangat bersukan, bukan dapat pingat emas pun (ketawa). Dia hanya dapat sakit, nanti hendak kerja pun susah,” luah Che Ta.
Rumah terbuka
Beralih bicara kepada menu raya, pengacara program Primadona itu memberitahu makanan yang wajib ada buatnya sekeluarga adalah kari. Katanya, itu merupakan menu yang wajib ada untuk anak jati Kedah.
“Zain suka makan rendang tok dan lontong, manakala saya pula suka makan kari di pagi raya. Biasanya apabila mahu berkunjung ke rumah saudara, saya akan tetap cari nasi (ketawa). Maklumlah perut orang Melayu, tidak boleh tinggal nasi,” ungkap Che Ta yang menempah 10 balang kuih tart nenas dan semprit.
Disebabkan rumah keluarga Che Ta di Alor Setar sering menerima kunjungan tetamu yang agak ramai, keluarganya lebih senang mengupah ketering terutamanya pada hari raya ketiga mereka akan mengadakan rumah terbuka buat peminat.
Sudah menjadi kebiasaan perkarangan rumahnya di kampung dibanjiri puluhan kereta peminat sejak awal pagi pada hari raya ketiga. Selain mengeratkan hubungan bersama peminat, itu juga antara cara keluarga Che Ta berkongsi rezeki.
“Biasanya awal pagi sudah ada peminat yang datang, ada kalanya saya belum sempat bersiap. Penat jangan cakaplah tetapi, rumah terbuka pada hari raya ketiga sudah menjadi tradisi kami sekeluarga. Jadi, apa salahnya diteruskan,” kata wanita yang popular dengan drama Kiah Pekasam itu lagi.
Tradisi rumah terbuka itu akan diteruskan sehingga mereka kembali ke Kuala Lumpur. Terang Che Ta, dia dan Zain merancang untuk mengadakan rumah terbuka sebaik balik daripada bercuti raya selama seminggu. Bagaimanapun, mereka memilih untuk mengadakan rumah terbuka di hotel.
“Saya memang rancang buat rumah terbuka di Kuala Lumpur untuk keluarga, rakan dan media tetapi lokasinya di hotel. Bukan tidak mahu buat di rumah, bagi saya lebih mudah adakan rumah terbuka di hotel kerana lebih tersusun dan mudah.
“Jika makanan tidak cukup, pihak hotel boleh segera menambah. Saya pun tidak perlu pening kepala fikir menu dan penat memasak di dapur, jadi bolehlah saya melayan semua tetamu yang datang,” kata Che Ta.

No comments:

Post a Comment