Kumpulan penum­pang pertama yang menggunakan perkhid­matan ETS rata-rata berpuas hati kerana tren itu bukan sahaja menawarkan ruang dalaman yang lebih menarik dan selesa tetapi yang penting masa perjalanan menjadi lebih singkat.

Pasangan suami-isteri, Mohammad Othman, 60, dan Maimunah Saad, 65, dari Perak berkata, sebaik sahaja mendengar pengumuman pelancaran ETS di radio petang semalam, mereka terus ke Stesen KTMB Ipoh untuk membeli tiket.

“Pukul 4 pagi lagi saya dan isteri sudah keluar rumah untuk ke stesen KTMB Ipoh sedangkan perjalanan tren bermula pukul 5 pagi,” katanya.

Mohammad berkata, mereka menaiki ETS pada hari ini untuk menambah rekod peribadi sebagai kumpulan penumpang terawal menaiki pengangkutan awam yang canggih seperti Monorel, Komuter dan terbaharu ETS.


“ETS memang berbeza bukan sahaja perjalanan lebih singkat tetapi ruang dalaman yang lebih kemas dapat memberikan keselesaan kepada penumpang,” katanya yang tidak melepaskan peluang untuk membeli belah di pekan Padang Besar.

Nor Fatin Zainuddin, 20, pelajar Universiti Teknologi Ma­ra (UiTM) berkata, dia tidak menjangka sama menjadi orang terawal menaiki tren ETS sekalipun cuma dari Stesen Sungai Petani ke Arau.

Jelasnya, ruang dalaman ETS bukan sahaja selesa tetapi masa perjalanan lebih singkat iaitu cuma 54 minit dari Sungai Petani ke Arau sedangkan sebelum ini selama satu jam setengah.

Sementara itu, Ya Kasa, 49 dari Yala, Thailand berkata, rakyat negara ini amat beruntung kerana berpeluang menggunakan perkhidmatan ETS yang canggih.